SHAH ALAM - Langkah pelaksanaan prosedur pengasingan kontak rapat bukan merupakan langkah berkesan dalam menangani penularan Covid-19 khususnya varian Omicron yang kini sudah merebak ke dalam masyarakat, kata Pakar Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Malina Osman.
Beliau berkata, meskipun kes harian menunjukkan peningkatan yang tinggi, namun kadar vaksinasi yang meluas dilihat menyebabkan kebanyakan kes hanya berada dalam kategori satu dan dua.
"Pada masa ini, strain yang dominan ialah Omicron, ia mudah merebak serta melibatkan ramai yang berada di lapangan secara aktif (mobil) dan mempunyai aktiviti termasuk yang melibatkan interaksi sosial.
"Dalam situasi jangkitan yang sudah berada di mana-mana dan majoriti sudah menunjukkan gejala ringan dan tiada gejala, adalah sukar untuk dilakukan mitigasi secara berkesan melalui tindakan pengasingan,” katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Khamis mengumumkan bahawa pemansuhan prosedur pengasingan bagi individu didapati menjadi kontak rapat akan diumumkan pada minggu depan.
Khairy berkata, keputusan memansuhkan prosedur pengasingan bagi kontak rapat itu ketika ini juga sudah dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam.
Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, langkah pemansuhan prosedur itu juga boleh diperluaskan kepada orang awam dengan mengambil kira situasi sistem perkhidmatan kesihatan negara yang dilihat secara umumnya berada dalam keadaan sangat baik dan terkawal.
"Fokus kita ketika ini adalah untuk mempercepatkan liputan vaksinasi dan dos penggalak kepada semua kumpulan berisiko,” ujarnya.
Tambah Dr Malina, fokus perawatan dan kawalan wabak ketika ini juga perlu tertumpu kepada mereka yang berpotensi mendapat jangkitan serius di samping turut melindungi kumpulan tidak boleh divaksin atau belum divaksin serta belum menerima dos penggalak.
Klik di sini untuk terus membaca