SHAH ALAM - Menyedari seladang liar kini berada di ambang kepupusan, kerajaan, pengurus kawasan perlindungan dan organisasi pemuliharaan, serta badan bukan kerajaan yang lain telah berganding bahu untuk memulakan program Pemuliharaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menyedari seladang liar kini berada di ambang kepupusan, kerajaan, pengurus kawasan perlindungan dan organisasi pemuliharaan, serta badan bukan kerajaan yang lain telah berganding bahu untuk memulakan program Pemuliharaan Seladang di Taman Negeri Royal Belum, Perak dan kawasan hutan berhampiran.

Melalui kajian dan pemantauan, projek dua tahun ini yang bermula pada November tahun lalu bertujuan memastikan kelangsungan hidup seladang di Semenanjung Malaysia untuk jangka masa panjang.

"Taman Negeri Royal Belum menyokong inisiatif ini sepenuhnya,” kata Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein.

"Kita sedia maklum bahawa populasi seladang liar semakin berkurangan dan tidak banyak kumpulan seladang yang masih wujud.

"Kita juga tahu bahawa terdapat beberapa kumpulan kecil seladang di Royal Belum dan di kawasan hutan berdekatan.

Shah Redza

"Kewujudan kumpulan-kumpulan kecil ini telah direkodkan sejak lebih satu dekad yang lalu. Tetapi kita juga perlu mengetahui dengan lebih lanjut tentang faktor-faktor yang mengehadkan bilangan dan penggunaan habitat oleh seladang.

"Ini penting supaya langkah-langkah strategik dapat diambil untuk mengekalkan dan seterusnya meningkatkan populasi spesies ini,” ujarnya lagi.

Pelaksanaan program ini di kawasan Taman Negeri akan menjadi lebih berkesan dari aspek sumber tenaga kerja dan logistik, serta kesinambungan program tersebut memandangkan adanya pihak pentadbiran yang mampu memberikan sokongan dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, pengurusan hidupan liar bukanlah kepakaran utama pihak Perbadanan Taman Negeri.

"Mujurlah, dengan usaha kerjasama dan sokongan pakar daripada rakan kongsi untuk mengumpul data dan membuat analisis, kami berharap dapat membantu dan seterusnya menyediakan pelan untuk memulihara seladang dengan lebih baik,” kata Shah Redza lagi.

Kaedah utama yang akan digunakan adalah pemasangan perangkap kamera untuk mendapatkan maklumat demografi populasi seladang, melakukan pemetaan serta penelitian terhadap kawasan yang kerap dilalui oleh seladang.

Pakar hidupan liar Malaysia, Dr Zainal Zahari Zainuddin (paling kiri) bersama kumpulan pengkaji seladang sedang berbincang mengenai langkah-langkah menyelamatkan hidupan liar ikonik Malaysia itu di hutan Hulu Perak, baru-baru ini.

Di samping itu, analisis asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh melalui najis dapat menilai kepelbagaian genetik seladang tersebut.

Kerja-kerja penyelidikan ini akan dibiayai bersama oleh dana daripada Tabung Amanah Pemuliharaan Nasional untuk Sumber Asli (NCTF) yang diuruskan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Cadangan untuk projek ini telah disusun oleh pertubuhan bukan kerajaan, Borneo Rhino Alliance (BORA) yang berpusat di Sabah yang baru-baru ini telah dinamakan semula sebagai "Bringing Back Our Rare Animals”.

Pengarah program BORA, Dr Zainal Zahari Zainuddin, yang pernah mengetuai projek penggunaan teknologi pembiakan pada badak Sumatera di Malaysia, berkata: "Situasi seladang adalah membimbangkan, sama seperti badak Sumatera yang akhirnya pupus sama sekali bukan kesan daripada kehilangan habitat dan pemburuan haram, tetapi kerana kumpulan kecil yang tinggal tidak dapat bertemu untuk membiak.”

Keadaan ini juga menyebabkan badak betina mengalami penyakit di dalam sistem reproduksi yang menjejaskan pembiakan. Di samping itu, kekurangan zat pemakanan serta kawasan habitat optimum yang terhad akan menyumbang kepada kadar kelahiran yang rendah dan kematian neonatal yang tinggi.

"Selepas beberapa generasi, kadar kelahiran mungkin menjadi lebih rendah daripada kadar kematian, walaupun tidak ada pemburuan haram,” jelas beliau.

Dalam pada itu, terdapat banyak imej seladang yang diperoleh melalui perangkap kamera yang dipasang di Hulu Perak dan laporan pemantauan yang dijalankan sejak tahun 2007.

Ini bermakna, terdapat banyak data lama dan terkini yang amat berguna untuk penyelidikan ini.

WWF-Malaysia memiliki kebanyakan imej ini dan merupakan rakan usaha sama utama manakala Perhilitan akan menganalisis najis seladang untuk meneliti pembiakbakaan spesies seladang.


INFO SELADANG

Seladang di Semenanjung Malaysia dan Thailand ialah subspesies Bos Gaurus hubbackiDi Semenanjung Malaysia, ia boleh ditemui di Kelantan, Kedah, Perak dan Terengganu

Bos Gaurus turut boleh dijumpai di Bangladesh, Kemboja, China dan India

Di habitat asal, pembiakan spesies ini berlaku sepanjang tahun walaupun terdapat tempoh kemuncak iaitu antara bulan Disember dan Jun.

Boleh membesar sehingga ketinggian 1.9 meter.

Berat boleh mencapai sehingga 1,000 kilogram (jantan) dan antara 500 hingga 700 kilogram (betina)

Jangka hayatnya adalah antara 18 hingga 20 tahun

Tinggal di habitat tanah pamah yang tidak diganggu bergantung kepada sumber air dan makanan

Makan rumput segar, herba dan pucuk muda pokok belukar

Sumber: Perhilitan


Klik di sini untuk terus membaca