PEMERINTAH England, Ratu Elizabeth II sebelum ini dimalukan oleh anak lelakinya, Putera Andrew selepas beliau bersetuju membayar satu jumlah yang besar dalam penyelesaian di luar mahkamah di Amerika Syarikat (AS) berhubung kes serangan... Klik di sini untuk terus membaca

PEMERINTAH England, Ratu Elizabeth II sebelum ini dimalukan oleh anak lelakinya, Putera Andrew selepas beliau bersetuju membayar satu jumlah yang besar dalam penyelesaian di luar mahkamah di Amerika Syarikat (AS) berhubung kes serangan seksual terhadap seorang gadis dari negara 'Uncle Sam' itu baru-baru ini.

Ratu yang berusia 95 tahun itu didakwa membantu Putera Andrew membuat pembayaran tersebut.

Pemerintah England itu juga menyaksikan seorang anak lelaki sulungnya, Putera Charles yang memegang gelaran sebagai Putera Wales terlibat dalam satu kontroversi terbaharu berhubung skandal wang tunai untuk mendapatkan penghormatan atau bintang kebesaran UK.

Dalam kes tersebut, polis London menyatakan ia sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang pembantu kepada Putera Charles menawarkan penghormatan UK malah kewarganegaraan kepada hartawan Arab Saudi sebagai balasan kerana memberikan sumbangan kepada sebuah yayasan amal pewaris pertama takhta diraja England itu.

Namun, Pejabat Putera Wales mengulangi bahawa beliau tidak mengetahui tentang tawaran yang dikatakan dilakukan oleh Michael Fawcett yang selama beberapa dekad ialah pembantu paling rapat dengan Putera Charles.

Pendedahan itu berlaku sehari selepas Putera Andrew menyelesaikan tuntutan mahkamah yang dibawa oleh Virginia Giuffre yang menuduh anak Ratu Elizabeth II itu melakukan serangan seksual ketika wanita berkenaan masih berada di bawah umur.

Bagaimanapun, butiran perjanjian itu tidak diumumkan kepada umum dan wakil Putera Andrew memberitahu AFP tidak ada komen mengenai kandungannya perjanjian di luar mahkamah tersebut akan dikeluarkan.

Akhbar The Daily Telegraph menyatakan penyelesaian di luar mahkamah itu melibatkan pembayaran wang sebanyak £12 juta (RM68.41 juta) iaitu £10 juta (RM57.01 juta) untuk Giuffre dan £2 juta (RM11.40 juta) lagi dibayar kepada sebuah badan amal untuk mangsa-mangsa pemerdagangan seks.

Akhbar itu menyatakan bahawa wang itu datang daripada hasil daripada salah satu hartanah yang dimiliki oleh Ratu Elizabeth II.

SUMBER WANG

Sehubungan itu, para orang ramai menuntut ketelusan tentang sumber-sumber pembayaran di luar mahkamah tersebut bagi menentukan sama ada wang pembayar cukai daripada warga Britain turut digunakan untuk melunaskan penyelesaian berkenaan.

"Saya fikir ia sesuatu yang dahsyat bahawa semuanya telah disapu di bawah permaidani," kata Yasmine Ollive iaitu seorang pengurus akaun berusia 34 tahun di London seperti dilaporkan oleh AFP.

Selepas kontroversi lain berlaku ke atas cucu Ratu Elizabeth II, Putera Harry dan isterinya yang berkulit hitam iaitu Meghan Markle, Ollive berkata, jika keluarga diraja terus melakukan perkara-perkara yang sedang mereka lakukan, maka ia mungkin menjadi pengakhiran buat mereka.

Ramai rakyat United Kingdom menyanjungi institusi diraja England. - Foto AFP

Sebelum ini Putera Andrew yang berusia 61 tahun menafikan melakukan serangan seskual tersebut.

Mark Stephens iaitu seorang pakar media di firma undang-undang Howard Kennedy, memberitahu AFP bahawa Putera Andrew cuba menjaga maruah keluarga diraja dengan bersetuju untuk menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.

Skandal Putera Andrew itu berlaku ketika Jubli Platinum Ratu Elizabeth II bagi meraikan pemerintahannya selama 70 tahun.

Media British meminta Putera Andrew untuk menarik diri daripada terlibat dengan aktiviti melibatkan orang awam, selepas beliau dilucutkan daripada pangkat ketenteraan kehormatannya dan gelaran 'Duli Yang Teramat Mulia'.

Ruangan rencana pengarang akhbar tabloid popular, The Sun menyatakan bahawa 'Putera Andrew mesti berundur sepenuhnya daripada kehidupan awam dan menjalani persaraannya dalam keaiban.'

TIDAK ADA JALAN BALIK

Seorang Ahli Parlimen pembangkang, Rachael Maskell menuntut bahawa gelaran Duke of York tidak lagi dipakai oleh Putera Andrew untuk menunjukkan 'penghormatan' bagi rakyat bandar raya Inggeris utara yang diwakilinya.

Akhbar Daily Mail menyatakan dalam tajuk halaman depannya bahawa 'tidak ada jalan balik' untuk Putera Andrew.

Ia juga membidas putera tersebut kerana melakukan 'kempen yang jahat' terhadap Giuffre.

Pengulas-pengulas British dan pengguna media sosial juga menyindir Putera Andrew kerana beliau mendakwa tidak pernah bertemu dengan Giuffre tetapi bertanya mengapa anak Ratu Elizabeth II itu telah bersetuju untuk menyelesaikan kesnya dengan membuat pembayaran yang besar.

Ramai yang menunjukkan gambar Putera Andrew itu bersama Giuffre ketika wanita tersebut berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, peguamnya putera berkenaan telah mempersoalkan keaslian foto itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca