LAPORAN khas Sinar Ahad berkaitan ancaman kepupusan satu lagi spesies haiwan ikonik Malaysia iaitu seladang diharap akan membuka mata rakyat Malaysia dan pihak-pihak yang berkepentingan, betapa perlunya usaha serius ini mendapat sokongan... Klik di sini untuk terus membaca

LAPORAN khas Sinar Ahad berkaitan ancaman kepupusan satu lagi spesies haiwan ikonik Malaysia iaitu seladang diharap akan membuka mata rakyat Malaysia dan pihak-pihak yang berkepentingan, betapa perlunya usaha serius ini mendapat sokongan ramai.

Ia kerana negara kita telah pun menyaksikan bagaimana badak sumbu Sumatera yang sehingga ke akhir tahun 1990-an masih wujud di Semenanjung Malaysia, kini telah disahkan pupus sama sekali dari muka bumi.

Dalam kes badak sumbu Sumatera, ia adalah satu tragedi kerana di dunia habitatnya terus menguncup sehinggakan pada akhirnya hanya terdapat di hutan Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Kini di Malaysia spesies itu telah pupus. Yang terakhir yang terdapat dalam kurungan di Sabah pun telah mati akibat sejenis barah.

Pengarah program Borneo Rhino Alliance atau BORA, Dr Zainal Zahari Zainuddin, yang pernah mengetuai projek penggunaan teknologi pembiakan pada badak sumbu Sumatera di Malaysia, berkata:

"Situasi seladang adalah membimbangkan, sama seperti badak Sumatera yang akhirnya pupus sama sekali bukan kesan daripada kehilangan habitat dan pemburuan haram, tetapi kerana kumpulan kecil yang tinggal tidak dapat bertemu untuk membiak”.

Keadaan itu juga katanya, menyebabkan badak betina mengalami penyakit di dalam sistem reproduksi yang menjejaskan pembiakannya.

Di samping itu, kekurangan zat pemakanan serta kawasan habitat optimum yang terhad turut menyumbang kepada kadar kelahiran yang rendah dan kematian neonatal yang tinggi.

"Selepas beberapa generasi, kadar kelahiran mungkin menjadi lebih rendah daripada kadar kematian, walaupun tidak ada pemburuan haram,” jelas beliau lagi.

Mengambil iktibar daripada pengalaman pahit yang menimpa badak Sumatera sehingga khazanah negara paling berharga ini lenyap dari muka bumi, maka Dr Zainal dan pasukan penyelidiknya kini bertungkus-lumus bersama-sama pasukan Taman Negeri Perak dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memastikan seladang kita juga tidak ditimpa nasib malang yang serupa.

Suatu ketika dahulu, pada tahun 1985, penulis melaporkan bagaimana seekor badak Sumatera ditemui terjatuh dalam lubang sampah di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Endau-Rompin, Johor yang kemudiannya menjadi begitu popular di seluruh dunia kerana badak Sumatera berkenaan ketika itu menjadi satu-satunya spesies seumpamanya yang terdapat di dalam kurungan.

Yang sering kita saksikan di zoo-zoo di serata dunia termasuk di Zoo Negara bukanlah badak sumbu Sumatera tetapi spesies badak sumbu lain.

Di dunia ini, terdapat lima spesies badak sumbu − (i) badak sumbu putih Afrika (ii) badak sumbu hitam Afrika (iii) badak India (iv) badak sumbu Jawa dan (v) badak sumbu Sumatera.

Badak sumbu Jawa yang mendiami Taman Negara Ujung Kulon di Pulau Jawa adalah yang pertama untuk pupus.

Namun begitu, ia kemudian ditemui semula menerusi rakaman kamera tersembunyi dan sehingga 2020, sejumlah 74 ekor badak itu dirakam mendiami Taman Negara Ujung Kulon di hujung barat Pulau Jawa.

Oleh kerana Taman Negara tersebut terletak berdekatan dengan Gunung Krakatao yang masih aktif di Selat Sunda, kerajaan Indonesia sedang berusaha mencari kediaman liar alternatif sebagai usaha untuk memastikan sebarang bencana akibat daripada letusan Krakatao tidak akan mengancam nyawa badak Jawa ini.

Indonesia telah belajar daripada pengalaman silamnya dan berazam tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Sementara tiga lagi spesies badak sumbu tidak begitu terancam dan masih lagi membiak dengan baik di India dan Afrika, badak Sumatera kini hanya boleh didapati di Pulau Sumatera.

Spesies yang terdapat di Semenanjung Malaysia telah pupus sama sekali dan yang terakhir di bawah jagaan BORA di Sabah juga mati pada November 2019 kerana tumor di bahagian uterusnya − penyakit yang dihidapinya sejak tahun 2014.

Spesies itu diisytiharkan pupus di hutan belantara Semenanjung Malaysia pada tahun 2015.

Kali terakhir ia dikesan di Malaysia ialah pada tahun 2007.

Jelas sekali, kita tidak mahu nasib yang sama dialami oleh seladang Malaysia. Suatu ketika dahulu populasinya meluas di seluruh semenanjung terutamanya di Krau, daerah Temerloh, Pahang sehinggakan ia keluar mengawan dengan lembu tempatan dan melahirkan anak hibrid yang digelar Selembu.

Namun kini populasi seladang liar hanya boleh ditemui dalam kawasan yang terhad di Hulu Perak iaitu sekitar Taman Negeri Royal Belum dan kawasan sekitarnya. Situasi itu bukan sahaja menyedihkan tetapi yang lebih dikhuatiri ialah ia diancam kepupusan sepertimana badak sumbu Sumatera.

Kita bersyukur kerana kini, pelbagai pihak telah berganding bahu untuk memulakan program Pemuliharaan Seladang di Taman Negeri Royal Belum, Perak dan kawasan hutan berhampiran yang mana, melalui kajian dan pemantauan, projek dua tahun berkenaan yang bermula pada November tahun lalu adalah bertujuan memastikan kelangsungan hidup seladang di Semenanjung Malaysia untuk jangka masa panjang.

Kita berterima kasih kepada Taman Negeri Royal Belum kerana menyokong inisiatif ini sepenuhnya. Syabas Perak.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca