KOMUNITI antarabangsa kini memberi tumpuan penuh kepada pemimpin yang penuh misteri ini.
Masing-masing menanti dengan penuh debar jika kempen pencerobohan ke atas Ukraine benar-benar berlaku dan ia dikatakan hanya menunggu arahan daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Adakah Putin akan menyerang Ukraine? atau ia hanya muslihat Presiden Rusia berkenaan untuk memanjangkan krisis bersama Kiev sebagai cubaan meraih perhatian negara antarabangsa dengan menunjukkan kekuatan tentera dan kehebatan pertahanan mereka?
Sehingga kini, ia masih tidak terjawab malah media dan pemimpin Barat terus berteka-teki tentang rancangan sebenar Putin kerana tindak tanduknya sukar dijangka malah ada yang beranggapan beliau sememangnya terkenal dengan taktik ‘perang psikologi’.
Penganalisis Rusia, Tatiana Stanovaya menyifatkan Presiden Rusia tersebut berasa sangat berkuasa kerana menganggap dirinya sebagai Tsar moden pada abad ke-21 yang boleh mengubah perjalanan sejarah.
Putin, 69, seringkali digelar sebagai Tsar iaitu gelaran bagi raja di Moscow sebelum berlakunya revolusi pada 1917 sebagai usaha untuk memulihkan kegemilangan Rusia sebelum ini sebagai sebuah empayar dan kuasa besar.
EMPAYAR RUSIA
Beberapa pengkritik mendakwa Putin berkeras mahu negara bekas Kesatuan Soviet seperti Ukraine kembali ke dalam genggamannya.
Pegawai kanan risikan Amerika Syarikat (AS), Fiona Hill yang juga penasihat dasar yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump berkata, Putin telah berusaha untuk menguasai Ukraine sejak beberapa tahun lalu.
"Beliau telah memegang tampuk pemerintahan selama 22 tahun dan Kremlin pernah cuba memberi tekanan kepada Kiev dengan memotong bekalan gas kepada Ukraine pada 2006. Putin mahu menjadi pemimpin yang berjaya merampas semula Ukraine dan beliau terlampau taasub dengan rancangan itu.
"Matlamat itu mungkin tercapai kerana beliau dijangka menjadi presiden sehingga 2036,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan Putin jika dapat menguasai semula Ukraine akan menjadi satu kebanggaan besar buat pemimpin tersebut yang mahu menubuhkan ‘empayar Rusia’.
Menerusi ucapannya pada 2015 kira-kira setahun selepas Semenanjung Crimea dikuasai Moscow, Putin sering merujuk Kiev sebagai ‘mahkota permata Rusia’ sehingga meningkatkan kebimbangan terhadap agensi risikan AS bahawa beliau mungkin merancang untuk merampas negara tersebut.
Selain itu, Putin menggelar Rusia dan Ukraine sebagai ‘satu rakyat’ menerusi hasil tulisan esei beliau pada Julai 2021 malah pemimpin itu menuding jari menyalahkan ‘kuasa pemecah belah’ yang cuba mewujudkan tembok pemisah antara Kiev dan Moscow.
Beliau juga memberikan perspektif sejarah tentang mengapa Ukraine tidak sepatutnya menjadi negara berasingan dengan Rusia.
Penganalisis mendakwa Putin mahu kesemua negara di pinggir Rusia menjadi pro-Moscow dan kerana itulah aspirasi Kiev mahu menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah mengundang kemarahannya.
‘Beliau mahu legasinya menjadi seperti Tsar seperti sebelum ini atau mengetuai Kesatuan Soviet. Putin mahu mengangkat martabat Moscow ke tahap paling dihormati dan digeruni di peringkat dunia,” jelas bekas Ketua Program Rusia di Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Sipher.
BEKAS EJEN KGB
Vladimir Vladimirovich Putin dilahirkan pada 7 Oktober 1952 di Leningrad yang kini dikenali sebagai Saint Petersburg di Rusia.
Selepas tamat persekolahan, beliau melanjutkan pengajian di Leningrad State University dan KGB School No 1 di Moscow.
Beliau pernah berkhidmat selama 15 tahun sebagai ejen agensi risikan era-Soviet, KGB yang menjadi simbol terkenal Perang Dingin selain dipaparkan secara terang-terangan menerusi filem dan novel risikan di AS.
Putin dikatakan boleh bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Jerman.
Pada tahun 1983, beliau mengahwini pembantu penerbangan, Lyudmila Alexandrovna dan dikurniakan dua puteri, Mariya dan Katerina, namun pasangan itu berpisah pada 2013.
Pada tahun 1994, Putin dilantik sebagai Timbalan Datuk Bandar di kota kelahirannya dan kira-kira empat tahun kemudian dinamakan sebagai Pengarah FSB yang menggantikan KGB.
Kira-kira setahun kemudian, beliau dipilih sebagai Perdana Menteri dan dilantik sebagai Presiden iaitu jawatan yang dipegang olehnya sehingga kini.
Sepanjang tempoh lebih dua dekad lalu, Putin telah mengukuhkan cengkamannya dengan melakukan transformasi terhadap mahkamah, media dan institusi kerajaan lain.
Pemimpin yang gemarkan aktiviti lasak ini juga dikatakan berbelanja mewah untuk tentera dan menyasarkan ahli politik pembangkang serta individu yang menentangnya malah meminda Perlembagaan Rusia yang membolehkannya memegang kuasa sehingga 2036.
Nilai kekayaan sebenar Putin turut mencetuskan spekulasi dalam kalangan pengkritik beliau termasuk Bill Browder berpusat di London yang mendedahkan pemimpin itu sebagai salah seorang individu terkaya di dunia.
Pada tahun lalu, Presiden Rusia berkenaan kembali mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila didakwa memiliki ‘istana mewah’ yang tersergam indah di tepi Laut Hitam didakwa bernilai AS$1.35 bilion (RM5.65 bilion) yang dibongkar pemimpin pembangkang yang kini dipenjarakan, Alexei Navalny. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca