INDUSTRI pembinaan adalah salah satu penyumbang terpenting kepada pembangunan ekonomi di Malaysia yang secara konsisten telah menyumbang kira-kira 3 hingga 5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak dahulu... Klik di sini untuk terus membaca

INDUSTRI pembinaan adalah salah satu penyumbang terpenting kepada pembangunan ekonomi di Malaysia yang secara konsisten telah menyumbang kira-kira 3 hingga 5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak dahulu lagi.

Namun, awal 2020, apabila negara kita dilanda pandemik Covid-19, ia telah memberi kesan negatif terhadap sektor ekonomi di Malaysia khususnya dan dunia amnya.

Terdapat beberapa komponen yang melibatkan kos dalam pembinaan iaitu kos tanah, buruh, caj bayaran perkhidmatan ikhtisas, mesin serta peralatan dan yang utama adalah kos bahan binaan. Kos bahan binaan merupakan elemen yang sangat penting dalam mempengaruhi margin keuntungan kepada pihak pemaju dan kontraktor. Konkrit, keluli, batu bata, kayu dan batu baur merupakan bahan binaan asas yang biasa digunakan dalam projek pembinaan.

Kos purata bagi pembinaan bangunan seperti kediaman, pejabat, komersial, perindustrian, pendidikan, kemudahan sosial serta hotel terdiri daripada kos bahan yang menyumbang 65 peratus daripada jumlah kos bangunan, diikuti oleh kos buruh sebanyak 30 peratus dan selebihnya adalah kos bagi penggunaan loji/mesin dan peralatan.

Daripada kajian yang telah dijalankan secara tinjauan dalam talian kepada pengamal industri pembinaan pada penghujung tahun 2021, didapati bekalan dan harga bahan binaan yang menjadi elemen utama dalam pembinaan telah terbukti terjejas teruk akibat penyebaran wabak pandemik Covid-19.

Kesan utama terhadap gangguan terhadap rantaian bekalan bahan binaan ini telah menghentikan pembuatan, pengeluaran dan pengedaran bahan binaan ke tapak bina. Projek jenis kediaman telah dikenal pasti sebagai salah satu jenis binaan yang terjejas teruk akibat kenaikan terhadap harga bahan binaan selain daripada projek jenis komersial, infrastruktur serta projek perindustrian.

TETULANG DAN SIMEN

Hasil dapatan daripada kajian ini menunjukkan bahawa bahan binaan yang paling terjejas terhadap kenaikan harga semasa wabak pandemik Covid-19 melanda negara kita ialah besi tetulang dan simen yang mana bahan binaan ini telah mengalami kenaikan harga antara 10 hingga 15 peratus, kayu dan papan sebanyak 5 hingga 10 peratus serta pasir kurang daripada 5 peratus kenaikan daripada harga sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Kesan akibat daripada peningkatan harga bahan binaan yang melanda negara ketika pandemik covid-19 telah menunjukkan sebahagian besar projek yang sedang dalam proses pembinaan terpaksa diberhentikan sementara bagi mengelakkan pihak yang berkontrak terpaksa menanggung kerugian yang berterusan.

Hanya sebilangan projek sahaja yang dapat diteruskan mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib dan terdapat juga projek yang terpaksa ditamatkan pembinaannya walaupun projek tersebut sudah termeterai kontrak.

Cabaran utama yang dihadapi oleh pengamal industri pembinaan apabila berlakunya gangguan terhadap rantaian bekalan bagi bahan binaan ialah bekalan bahan dan peralatan yang sangat terhad di pasaran, berlakunya kenaikan harga pada bahan binaan dan semestinya kelewatan terhadap tarikh penyiapan projek.

Hasil dapatan daripada kajian ini juga jelas merungkai bahawa peningkatan harga bagi bahan binaan secara mendadak adalah akibat berlakunya gangguan terhadap rantaian bekalan disebabkan ketidakupayaan pihak pembekal untuk membekalkan bahan-bahan binaan yang diperlukan ke lokasi yang dikehendaki oleh pihak kontraktor disebabkan oleh penularan wabak pandemik Covid-19 ini.

Oleh yang demikian, kerajaan telah mengambil satu inisiatif untuk membantu mengawal isu kenaikan harga bahan binaan daripada berterusan mengalami kenaikan harga drastik serta bagi memastikan projek yang dibina mengikut jadual spesifikasi, harga dan masa yang telah ditetapkan dalam kontrak iaitu dengan melaksanakan semula Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi kontrak yang bernilai lebih daripada RM500,000 khususnya bagi kontrak secara konvensional untuk projek pembinaan bangunan, kejuruteraan awam dan kerja mekanikal dan elektrikal.

* Dr Siti Suhana Judi ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ukur Bahan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam, Selangor

Klik di sini untuk terus membaca