SHAH ALAM - Krisis Perlembagaan Pas dianggap selesai selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, berkuat kuasa serta merta mulai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Krisis Perlembagaan Pas dianggap selesai selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, berkuat kuasa serta merta mulai Ahad lalu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, ketika dihubungi Sinar Premium berkata, Mohd Khairuddin mengumumkan beliau menarik diri daripada menjadi Ahli dan Setiausaha Majlis Syura Ulama sejurus sebelum mesyuarat badan pengurusan tertinggi Pas itu, bermula semalam.

Hashim berharap semua pihak terutama penyokong Pas dapat menerima peletakan jawatan Mohd Khairuddin selaku Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama secara terbuka serta terus kekal istiqamah dengan perjuangan parti berkenaan.

"Ya, saya mengesahkan bahawa Mohd Khairuddin memang ada menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas, pada Ahad. Tujuan utama Mohd Khairuddin hadir sebelum mesyuarat bermula adalah untuk memaklumkan bahawa beliau menarik diri daripada menjadi ahli dan meletakkan jawatan secara sukarela sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuat kuasa serta merta.

"Justeru, Mohd Khairuddin kini bukan lagi ahli mahu Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas. Saya berharap peletakan jawatan beliau selaku ahli dan Setiausaha Majlis Syura Ulama akan menyelesaikan isu krisis perlembagaan yang melanda Pas baru-baru ini," katanya.

Hashim berkata demikian ketika ditanya kenapa Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dikatakan menghadiri Majlis Syura Ulama dalam mesyuarat badan tertinggi Pas itu, pada Ahad.

Isu pemecatan Mohd Khairuddin menjadi perbualan hangat apabila dikatakan terang-terang bercanggah dengan Fasal 8 (5) Perlembagaan Pas yang menyebut bahawa pemecatan Ahli Majlis Syura Ulama berada di bawah bidang kuasa Majlis Syura Ulama.

Antara sebab-sebab yang membolehkan Majlis Syura Ulama memecat sesiapa sahaja daripada menjadi ahlinya juga bukan sebarangan kerana ia telah ditentukan oleh Fasal 8 (5) Perlembagaan Pas, khususnya yang melibatkan keadilan dan maruah seseorang ahlinya.

Berikutan itu, Majlis Syura Ulama Pas sebulat suara menerima peletakan jawatan Mohd Khairuddin sebagai ahli dan setiausaha majlis berkenaan berkuat kuasa mulai semalam.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, selepas mengadakan perbincangan Majlis Syura Ulama Pas semalam juga sebulat suara bersetuju melantik Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas baharu.

Beliau berkata, Nik Muhammad Zawawi juga mengesahkan bahawa beliau bersetuju untuk menggalas tugas dan tanggungjawab besar itu.

Sementara itu, Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa beliau secara rasminya meletakkan dua jawatan itu mulai Ahad.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu meletakkan jawatan secara rasmi semasa menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang diadakan secara hibrid.

"Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7). Saya juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli Majlis Syura Ulama berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(5).

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pas yang memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama sejak 2013 seterusnya Setiausaha Majlis Syura Ulama sejak 15 Disember 2020," katanya kepada Sinar Premium.

Mohd Khairuddun merakamkan jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan semua Ahli MSU yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan Pas untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti.

"Saya terus istiqamah menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen Pas dan juga tugasan-tugasan lain dalam parti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca