BIASA tiap-tiap pagi Mat Taici akan belek surat khabar sebab aura membaca lebih naik 'feel' dengan membelek helaian kertas tambahan pula aroma kertas yang menggamit memori.
Mat Taici bukanlah tua sangat, umur masih muda tetapi perangai betul-betul sama macam abah yang usia cecah 70 tahun. Gemar membaca surat khabar.
Sambil makan karipap, Mat Taici baca kisah penyalahgunaan RM25 juta wang rampasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan ketika itu ialah Datuk Hasanah Ab Hamid yang sebelum ini didakwa atas tuduhan pecah amanah mencecah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.
Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrum Nizam Baharuddin, 41, dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta.
Mula-mula Mat Taici baca agak terkejut sebab Shahrum Nizam pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang sebanyak empat kali.
Tetapi bila diingatkan semula, Mat Taici di sekolah rendah jadi penolong ketua kelas dan dapat anugerah murid terbaik darjah lima.
Mat Taici waktu itu pernah kena sebat dengan abah sebabnya ambil duit dalam dompet dia tanpa pengetahuannya. Bukan besar pun nilainya. RM5 sahaja untuk beli enjin tamiya dashinkuro.
Tanpa sebarang kehadiran peguam untuk membela, dua hayunan rotan hinggap di betis. Abah bertindak sebagai hakim dan pelaksana hukuman.
Marah sungguh bila anaknya ambil duit tanpa memaklumkan. Katanya itu mencuri dan satu dosa besar. Mujur lepas itu abah maafkan dan hadiahkan enjin tamiya dashinkuro.
Lepas kejadian itu, Mat Taici tidak akan sesekali ambil duit abah tanpa pengetahuannya. Kalau ada duit baki beli barang pun Mat Taici akan pulangkan kerana tidak mahu pecah amanah dan hakis kepercayaan ibu bapa.
Dalam kes Shahrum Nizam ini juga, yang melakukan adalah dirinya tetapi imej yang tercemar adalah SPRM dan ramai mahukan penjelasan bagaimana prosedur rampasan wang dilakukan. Bagaimana di simpan? Bagaimana dikira dan disahkan?
Apa pun, kes Shahrum Nizam itu bukan salah SPRM. Macam Mat Taici, bukan salah abah tetapi salah diri sendiri sebab inginkan wang bukan milik kita.
Harap nanti, Shahrum Nizam sedarlah akan kesilapan. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Pss: Terbayang rasa sakit kena pukul dengan abah
Klik di sini untuk terus membaca