JENAYAH seksual melibatkan golongan kanak-kanak semakin membimbangkan berpunca daripada pengaruh pornografi di media-media sosial. Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11)... Klik di sini untuk terus membaca

JENAYAH seksual melibatkan golongan kanak-kanak semakin membimbangkan berpunca daripada pengaruh pornografi di media-media sosial.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kes melibatkan jenayah tersebut didapati meningkat dengan ketara.

Jelas beliau, rekod menunjukkan terdapat 405 mangsa dilaporkan bagi tempoh dua tahun sejak tahun 2020 dan jumlah ini termasuklah kanak-kanak.

"Bagi tahun 2020, ada 166 mangsa terdiri daripada 30 lelaki dan 136 perempuan.

"Ada tiga mangsa membabitkan usia enam hingga sembilan tahun, usia 10 hingga 12 tahun (6), usia 13 hingga 15 tahun (12), usia 16 hingga 18 tahun (25) dan 18 tahun ke atas (120),” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Tambah Siti Kamsiah, tahun 2021 pula merekodkan 239 mangsa terdiri daripada 43 lelaki dan 196 perempuan.

"Jumlah ini meliputi usia bawah enam tahun (1), usia enam hingga sembilan tahun (16), usia 10 hingga 12 tahun (38), usia 13 hingga 15 tahun (35), usia 16 hingga 18 tahun (31) dan 18 tahun ke atas (118),” ujarnya.

Menurut Siti Kamsiah, hasil usaha yang dilakukan telah membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seramai 196 suspek iaitu 69 orang pada tahun 2020 dan 127 orang pada tahun 2021.

Beliau berkata, kes sedemikian dilihat semakin menular dan ia memang membimbangkan walaupun jumlahnya kecil.

"Jenayah ini dilihat mudah berkembang kerana dengan adanya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain gaya hidup masyarakat hari ini hingga boleh membudayakan perkara ini.

"Walaupun jumlah kes tidak besar, ia tetap merunsingkan kerana kita melihat ia akan terus berkembang tidak kira di peringkat umur mana pun,” ujar beliau.

Kata Siti Kamsiah, tidak dinafikan bahawa dalam masyarakat hari ini ada golongan pedofilia atau mereka yang memiliki kecenderungan ke arah sesama jantina mencari mangsa.

"Apabila capaian atau akses mudah, semua bolah dicapai di internet dengan kemajuan ICT, dijangka jenayah melibatkan platform internet dan media sosial akan terus berkembang terutamanya kes seksual kanak-kanak,” katanya.

- SH: Budak 7 tahun rogol rakan gara-gara video lucah

Siti Kamsiah berkata, pihak polis turut menerima kes melibatkan kanak-kanak yang melakukan perbuatan seksual.

Jelas beliau, kematangan akal pemikiran kanak-kanak adalah terbatas dan mereka tidak tahu membezakan mana baik dan buruk hingga mengakibatkan mereka menjadi mangsa atau pelaku seksual.

"Ada kes yang dilaporkan di mana budak lelaki berusia tujuh tahun yang ketagihan menonton video lucah bertindak merogol rakan perempuan yang berusia enam tahun.

"Pada awalnya dia menyelak kain rakan perempuannya sebelum merogol. Ini antara contoh kes yang dilaporkan akibat pengaruh menonton video lucah selain dorongan nafsunya. Bila dia lihat budak perempuan, ada peluang dia cuba buat.

"Kes ini memang berlaku. Mungkin bagi mereka itu bukan satu kesalahan. Mereka tidak tahu kesan dan akibat. Kanak-kanak ini seronok mencuba sesuatu yang baharu,” ujar beliau.

Siti Kamsiah memberitahu ada juga kes kanak-kanak terbabit menerima mesej daripada individu tertentu di media sosial untuk berkenalan dan menjadi kekasih sehingga terdorong untuk berkongsi gambar tubuh.

"Malah didapati ada pihak turut melakukan perbuatan yang merangsang naluri seksual kanak-kanak terbabit.

"Apabila terlalu terdedah dengan perkara sebegini, alat seksualitinya akan matang mendahului pemikiran sehingga sukar dikawal. Jadi dia tidak dapat kawal dorongan nafsunya dan itu yang mendorongnya melakukan sesuatu di luar batas,” jelas Siti Kamsiah.

Kes tangkapan dan profil mangsa jenayah seksual

A. Tangkapan kes sebar video lucah

2020: 69 orang

2021: 127 orang

Jumlah - 196 orang

B. Pecahan usia mangsa

TAHUN 2020

Bawah 6 tahun: 0

6-9 tahun: 3 orang

10-12 tahun: 6 orang

13-15 tahun: 12 orang

16-18 tahun: 25 orang

18 tahun ke atas: 120 orang

Jumlah - 166 orang

TAHUN 2021

Bawah 6 tahun: 1 orang

6-9 tahun: 16 orang

10-12 tahun: 38 orang

13-15 tahun: 35 orang

16-18 tahun: 31 orang

18 tahun ke atas: 118 orang

Jumlah - 239 orang

C. Pecahan jantina mangsa

2020: 30 lelaki & 136 perempuan

2021: 43 lelaki & 196 perempuan

Klik di sini untuk terus membaca