TAHUN 2022 menyaksikan konflik-konflik geopolitik global yang mempunyai potensi bertukar menjadi konflik bersenjata tidak sedikit pun mereda berbanding 2021.
Jika laut China Selatan dan Asia Barat adalah titik panas konflik, hari ini ia telah melarat ke Eropah. Kuasa-kuasa utama dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia dan China terus bertelagah dalam arena politik, dan sekali sekala berkokok mempamerkan kekuatan aset ketenteraan mereka di kawasan yang menjadi punca persengketaan.
Ukraine dan Laut China selatan adalah dua contoh terbaik. Hubungan negara-negara Asia Tenggara dengan negara kuasa dunia kini dilihat semakin berpolar dan dalam keadaan sedemikian, negara serantau perlu merangka dasar yang tidak akan memberi kesan negatif terhadap hubungan mereka dengan kuasa-kuasa tersebut.
Selain kesinambungan hubungan diplomatik bagi menjamin keamanan, pengukuhan keupayaan pertahanan oleh negara-negara Asia Tenggara dilihat sebagai satu petunjuk kepada kestabilan dan keazaman mempertahan kedaulatan serta persempadanan masing-masing.
Satu petanda yang lazimnya dijadikan kayu pengukur kepada kemahuan dan kemampuan pertahanan itu adalah perolehan aset baharu dilakukan bersesuaian dengan persepsi ancaman. Hari ini menyaksikan negara-negara Asia Tenggara seakan telah merangka pelan perolehan jangka panjang untuk memperkukuh benteng pertahanan masing-masing.
Paling menonjol adalah ancaman pencerobohan ruang udara sama ada di dalam persempadanan diiktiraf atau di kawasan yang dituntut pihak lain.
Penggantian pesawat tempur pelbagai misi menerajui senarai perolehan tersebut. Pada 2020, Singapura adalah negara pertama di rantau ini diberi kelulusan oleh AS untuk memperoleh 12 pesawat F-35B.
Tahun 2021 menyaksikan Filipina membuat permohonan mendapatkan 16 pesawat F-16C Blok 70/72 dan dua pesawat F-16D Blok 70/72 dari AS. Selain itu, ia juga mahukan 12 peluru anti-kapal permukaan Harpoon Blok II dan 24 peluru berpandu anti pesawat jenis AIM-9X Sidewinder Blok II.
Thailand pula tahun ini telah mengejutkan banyak pihak apabila Panglima Tentera Udaranya menyatakan bahawa secara dasar, kabinet negaranya telah bersetuju untuk memperoleh empat pesawat F-35 bermula pada 2023. Permintaan Thailand mungkin menghadapi rintangan dari AS kerana Bangkok mempunyai kerjasama pertahanan dan sejak beberapa lama telah banyak membuat perolehan aset pertahanan dari China.
Indonesia mungkin menjadi negara Asia Tenggara paling aktif membuat perolehan dan dilihat bakal memberi lonjakan kepada keupayaan hakiki angkatan udaranya. Ia telah bersetuju mendapatkan 42 pesawat tempur pelbagai misi jenis Rafale buatan Dassault dari Perancis bagi menggantikan pesawat-pesawat Northrop Grumman F-5E/F.
AS pula mengumumkan bahawa ia juga bersedia menjual sehingga 36 pesawat F-15ID dan peralatan sokongan kepada republik tersebut yang dianggap sebagai rakan pentingnya di rantau ini.
Ramai bertanya bagaimana dengan Malaysia? Perolehan aset baharu berkaitan pertahanan sukar dibincangkan secara terbuka. Banyak program perolehan yang telah lulus sekian lama dengan ada pembayaran telah dibuat kini mengalami masalah kelewatan.
Mungkin cara terbaik negara adalah mempertingkat langkah diplomasi bagi menjamin keamanan serantau. Sememangnya ia adalah langkah bijak tetapi sejarah telah membuktikan bahawa ia tidak pernah menjamin sepenuhnya kedaulatan negara akan dihormati.
Perang Dunia Pertama pernah digelar sebagai the war to end war atau perang yang akan mengakhiri segala perang. Perjanjian Versailles dimuktamadkan menandakan tamatnya perang tersebut oleh kuasa-kuasa dunia ketika itu.
Rentetan tamatnya perang tersebut pada 1919, badan League of Nations (kini dijenamakan semula sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) ditubuhkan dengan negara ahli diberi jaminan bahawa kedaulatan dan integriti sempadan setiap negara akan dihormati.
Mana-mana negara ahli yang melanggar peraturan dan mencetuskan konflik bersenjata atau perang akan dikenakan sekatan ekonomi.
Malangnya, bahasa diplomasi itu kemudiannya dianggap omongan kosong oleh pihak sama yang terlibat dalam perjanjian Versailles dan penubuhan League of Nations apabila perang lebih dahsyat tercetus pada 1939 dikenali sebagai Perang Dunia Kedua.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca