SHAH ALAM - Isu murid-murid menggalas beg berat masih berlaku sehingga ke hari ini walaupun Kajian Berat Beg Sekolah Murid Sekolah Rendah pernah dilakukan pada tahun 2018 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Laporan kajian itu mengatakan buku teks hanya menyumbang 28 peratus daripada beg sekolah berat dan lebihan 72 peratus disumbangkan oleh barangan lain seperti alat tulis, buku kerja swasta, uniform sekolah agama dan kokurikulum, bekalan makanan, gajet serta berat beg itu sendiri.
Bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, penyelesaian jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu itu secara menyeluruh adalah dengan kaedah pembelajaran, kokurikulum dan sistem pendidikan sedia ada perlu dirombak dan digantikan dengan model pendidikan baharu.
"KPM perlu memikirkan solusi jangka masa panjang untuk anak-anak Malaysia tidak lagi menggalas beban buku teks. Kita perlu kembali ke model pendidikan baharu yang telah dicadangkan oleh jawatankuasa dasar pendidikan negara yang telah ditubuhkan pada tahun 2018.
"Model pendidikan baharu adalah ‘game changer’ yang menyediakan satu sistem pembelajaran yang berbeza dengan apa yang kita ada pada hari ini dan tidak konvensional.
"Kita akan pergi kepada pendidikan modular era baharu dan pendidikan yang anak-anak tidak perlu galas beban beg berat lagi. Ini merupakan solusi kepada isu Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan beg berat,” katanya kepada Sinar Premium.
Sebelum ini, Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang pernah berkuat kuasa pada Januari 2019 meminta sekolah-sekolah dan guru menyediakan jadual anjal untuk memastikan beg murid tidak berat.
Maszlee berpandangan bahawa KPM perlu merujuk kepada pekeliling semula dan memperbaiki apa yang perlu bersesuaian dengan keadaan pasca pandemik.
"Pertama, kita perlu kembali kepada pekeliling tersebut. Pada tahun 2019, isu beg berat tidak lagi timbul namun malangnya pada tahun 2020, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku dan selepas mereka kembali ke sekolah, isu ini berulang semula.
"Pekeliling sudah ada namun mungkin ada banyak perubahan yang perlu dilakukan selari dengan suasana pembelajaran yang baru seperti PdPR. Apabila isu ini timbul, apa yang dibawa oleh ibu bapa dan guru menunjukkan ia isu yang penting dan memerlukan respon dari KPM,” katanya.
Selain itu beliau berkata, pendekatan segera atau jangka masa pendek yang perlu dilakukan adalah memberikan autonomi kepada pihak sekolah dan guru untuk membuat jadual yang anjal.
"Kita patut menyerahkan autonomi dan kreativiti kepada guru dan sekolah untuk membuat keputusan yang terbaik untuk isu ini.
"Beri peluang jika sekolah memutuskan untuk tidak perlu membawa buku teks dan menjadikan buku teks sebagai rujukan di rumah. Mungkin juga ada cikgu yang meminta buku teks untuk dibawa ke sekolah tetapi meninggalkannya di lokar atau bakul sekolah selepas pembelajaran,” katanya.
Dalam pada itu Maszlee menegaskan, KPM kena perlengkapan setiap sekolah kepada pembelajaran digital serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang baharu berdasarkan keadaan pasca pandemik.
"Pada zaman saya, sewaktu timbulnya isu beg berat ini, idea untuk mendigitalisasi buku teks timbul namun terhalang disebabkan isu pemilikan peranti dan capaian internet yang lemah.
"Namun sudah dua tahun kita berada dalam keadaan pandemik dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sepatutnya sudah menyediakan capaian internet yang baik di setiap sekolah termasuk kawasan pedalaman,” katanya.
Seterusnya beliau berkata, pendekatan jangka masa pendek yang perlu diambil perhatian agar isu beg sekolah berat dapat diselesaikan adalah dengan penggunaan buku teks digital di sekolah.
Sekarang ini di portal KPM katanya, telah ada buku teks digital untuk rujukan pelajar dan ibu bapa.
"Kita mesti menanamkan pandangan bahawa ini satu usaha untuk memperbaiki capaian internet di semua sekolah dan beralih kepada buku teks digital untuk digunakan di sekolah.
"Namun adakah pencetak buku sedia untuk pergi ke teknologi yang baharu? Ini perlu dikaji dengan lebih mendalam dan terperinci oleh KPM,” katanya.
INFO:
Tiga solusi jangka masa pendek isu beg sekolah berat :
1. Rujuk kembali Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang pernah berkuat kuasa pada Januari 2019 dan perbaiki dengan keadaan pasca pandemik
2. Memberikan autonomi kepada pihak sekolah dan guru untuk membuat jadual anjal
3. Memberi perlengkapan setiap sekolah kepada pembelajaran digital seperti buku teks digital
Solusi jangka masa panjang isu beg sekolah berat:
1. Model pendidikan baharu
Klik di sini untuk terus membaca