KUALA LUMPUR - Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan menjelaskan, sebagai langkah untuk mengatasi masalah ketagihan pornografi dalam kalangan masyarakat, tindakan menyekat laman web berkenaan telah diambil.
"Berpandukan isu-isu viral dan kes melibatkan kanak-kanak terutamanya telah disekat serta-merta oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Tindakan sekatan ini juga dibuat berdasarkan laporan daripada agensi tertentu yang mengesan laman web lucah terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut, berikutan kes-kes yang dilaporkan turut membabitkan kanak-kanak, ibu bapa harus memainkan peranan penting termasuklah pengawasan serta didikan.
Jelasnya, jika hari ini pada usia lima tahun telah diberikan gajet, jadi seawal usia itu jugalah ibu bapa harus memainkan peranan memikirkan cara untuk mendidik di mana pendekatan keluarga perlu diubah sesuai dengan persekitaran.
"Zaman serba canggih hari ini, ibu bapa perlu ada pengetahuan bagaimana hendak memantau. Kaedah yang sesuai dengan perkembangan terkini,” ujarnya.
Jelas beliau, ketagihan pornografi ini memberikan impak kepada individu, ahli masyarakat dan juga secara global iaitu keseluruhan masyarakat di dunia kerana ia akan mengubah landskap jenayah yang lain selain memberi impak psikologi.
"Individu yang gemar mengakses akan menjadi ketagihan hingga mendorong melakukan aksi sebegitu untuk melakukan jenayah seksual atau mempraktikkan apa yang dilihat.
"Selain itu, pengaruh itu menyebabkan mereka juga mudah dieksploitasi. Jadi, jika ada individu atau kumpulan tertentu yang mempengaruhi, memperdaya atau membuka dorongan, dia akan terdorong untuk melakukannya.
"Sekiranya satu perkara ini jadi amalan terutama kanak-kanak, dia akan menerimanya sebagai perlakuan yang normal dan dia membesar dengan menerima budaya sebegitu,” katanya.
Ujarnya lagi, individu yang terjebak membuat capaian video lucah, menyebar dan berkongsi adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Ibu bapa perlu ada kaedah pemantauan yang sesuai untuk memantau anak-anak.
"Sekiranya ibu bapa atau masyarakat ada mengesan anak mereka atau individu lain yang terjebak dengan ketagihan pornografi diminta untuk tampil membuat laporan polis bagi tindakan mengesan pelaku serta pemulihan,” ujarnya.
Jelas Siti Kamsiah, ketagihan pornografi ini ibarat ketagihan dadah dan ia perlu dihentikan dan tindakan daripada semua ahli masyarakat bagi membendung gejala yang boleh menghancurkan masa depan negara.
Klik di sini untuk terus membaca