RADIO dan Televisyen Malaysia (RTM) adalah organisasi media atau lebih tepat lagi badan penyiaran milik kerajaan. Statusnya adalah sebuah jabatan iaitu Jabatan Penyiaran Malaysia yang dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Parti politik mana yang berkuasa, parti itulah akan menguasai output pelbagai program berita dan bukan berita RTM.
Tentunya keutamaan RTM dari segi liputan berita menerusi program-program berita dan program ehwal semasa yang lain, baik menerusi saluran TV atau radio adalah untuk memberi publisiti kepada kegiatan harian para pemimpin dan penghebahan dasar-dasar kerajaan, baik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri serta pegawai tinggi dan kanan kerajaan yang lain.
Bukan tiada cadangan supaya RTM membuka ruangan berita yang disediakannya kepada parti-parti politik bukan kerajaan terutama semasa pilihan raya diadakan, tetapi cadangan itu dipandang sepi.
Semasa Barisan Nasional (BN) berkuasa, RTM bertindak sebagai lidah rasmi kerajaan BN. Sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 18 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, Menteri KKMM PH juga mengambil pendirian yang sama dengan BN iaitu menjadikan RTM sebagai suara rasmi kerajaan PH, pada hal sewaktu menjadi pembangkang, para pemimpinnya mengkritik hebat BN kerana menjadikan RTM sebagai mesin propaganda BN.
Malah PH dalam manifesto Buku Harapannya menjanjikan untuk menjadikan RTM sebagai sebuah badan penyiaran perkhidmatan awam yang profesional, barangkali sama seperti British Broadcasting Corporation (BBC) tetapi janji itu tidak ditunaikan. Mungkin belum sempat lagi untuk ditunaikan, kerajaan PH telah ditumbangkan.
Bagaimanapun di bawah kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dasar editorial RTM yang menafikan liputan parti-parti politik pembangkang mungkin berubah, sekurang-kurangnya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.
Hal itu dikatakan demikian kerana semasa kempen PRN Johor berlangsung selama 14 hari selepas hari penamaan calon pada 26 Februari hingga hari mengundi pada 12 Mac 2022, RTM akan membuka liputan program berita dan ehwal semasanya kepada semua parti politik yang bertanding.
Calon parti pembangkang dan bebas dijanjikan tidak dipinggirkan oleh program berita dan ehwal semasa RTM dalam upaya memperkenalkan diri dan menyampaikan mesej yang diperjuangkan kepada para pengundi.
Janji itu dibuat sendiri oleh menteri yang mengawal selia RTM, Tan Sri Annuar Musa pada 29 Januari lalu, selepas melawat RTM Johor dan ditegaskan lagi pada Ahad lepas.
Pada pengumuman 29 Januari itu, melalui Berita Perdana yang bersiaran pada jam 8 malam di TV1, Annuar dilaporkan sebagai berkata, calon yang bertanding dalam PRN Johor diberi ruang menggunakan saluran disediakan oleh RTM sebagai medium memperkenalkan diri kepada para pengundi.
Menurut beliau, inisiatif itu disediakan kepada semua calon pembangkang dan bebas kerana pendekatan demikian akan mewujudkan demokrasi yang matang.
"Menerusinya para calon boleh sampaikan mesej bagi lebih dikenali masyarakat dan memberi peluang pengundi memilih wakil rakyat masing-masing,” ujarnya.
Apa yang lebih menarik adalah Annuar juga berjanji "RTM akan memainkan peranannya secara adil dan saksama”.
Kamus Dewan mentakrifkan adil sebagai "tidak berat sebelah dalam memberikan layanan”, manakala saksama pula bermaksud "sama rata dan tidak berat sebelah atau tidak menaruh prasangka”.
Kalau maksud adil dan saksama yang difahami oleh Annuar ialah menyerupai definisi oleh Kamus Dewan, maka satu sejarah baharu bakal tercatat dalam sejarah penyiaran negara amnya dan RTM khususnya dalam memberi liputan kepada parti politik pembangkang sekurang-kurangnya semasa PRU diadakan.
Apa-apa yang dilakukan oleh RTM itu sudah pasti akan ditiru oleh organisasi badan penyiaran lain yang dikendalikan oleh pihak swasta dalam layanan kepada parti-parti politik.
Saya boleh katakan janji Annuar itu bukanlah omongan kosong kerana sewaktu mengumumkan dasar editorial baharu RTM semasa kempen PRU Johor, Jabatan Penyiaran Malaysia sendiri membuat persiapan memainkan peranannya sebagai media kerajaan yang memberi ruang kepada parti pembangkang dan bebas semasa PRN Johor itu berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Che Roslan Che Daud yang mengiringi Annuar dalam lawatan ke Johor dipetik Berita Perdana pada 29 Januari itu sebagai memberitahu, RTM akur dengan keputusan yang dibuat oleh menteri.
Beliau memberitahu, RTM akan merangka liputan PRN Johor dalam program berita dan bukan berita. Secara lebih spesifik, ruang akan diberikan kepada calon pembangkang dan bebas untuk muncul dalam semua program berita TV dan radio, program Selamat Pagi Malaysia, rancangan bual bicara dan juga program grand stand PRN Johor yang juga akan dibuat semasa kempen-kempen berlangsung.
Tentulah menarik untuk disaksikan selepas ini adalah sejauh mana segala dijanjikan oleh Annuar bakal dilaksanakan oleh RTM secara sungguh-sungguh adil dan saksama atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Sama-samalah kita saksikan nanti.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)
Klik di sini untuk terus membaca