KRISIS antara Ukraine dengan Rusia iaitu dua pengeluar gandum dan jagung terbesar di dunia telah menyebabkan harga komoditi itu meningkat.
Kenaikan itu adalah didorong oleh apa sahaja kenyataan diplomatik yang dikeluarkan berhubung konflik tersebut sehingga kepada khabar angin tentang sekatan maritim sekali gus menggegarkan pasaran komoditi.
Pasaran komoditi pertanian kini sering mengalami lonjakan dan kejatuhan yang menakjubkan.
"Sama ada perang dan ia (harga komoditi) akan meningkat atau ia (harganya) turun kerana keamanan," kata Gautier Le Molgat iaitu seorang penganalisis di syarikat perunding, Agritel.
Harga pasaran bijirin bertukar tiga kali dalam masa kurang daripada 24 jam baru-baru ini.
Pertamanya adalah didorong oleh kenyataan optimis daripada Menteri Luar Rusia dan kemudiannya mengenai berita Amerika Syarikat (AS) memindahkan kedutaannya dari Ukraine selain mengenai tuntutan Moscow berhubung penarikan semula tenteranya.
Gandum sangat penting buat Moscow kerana Rusia menjadi pengeksport utama bijiran tersebut di dunia manakala di peringkat global, Ukraine pula berada di tempat keempat, menurut anggaran Jabatan Pertanian AS (USDA).
Kedua-dua negara itu menyumbang hampir satu pertiga daripada perdagangan gandum dunia.
Namun, dari segi pengeluaran jagung, Ukraine menduduki tempat keempat dalam kalangan pengeksport dan menyumbang kira-kira 22 peratus daripada perdagangan global.
Namun, pergerakan tentera Rusia mempunyai sedikit kesan ke atas eksport negara itu.
"Jika kita kekal dalam konflik yang tidak stabil, Rusia serta Ukraine akan rugi dalam hal ini," kata Le Molgat.
"Mata wang Rusia dan Ukraine akan susut nilai dan hanya sedikit (pembeli) yang akan mengambil risiko untuk membeli dari tempat yang jauh tanpa terdapat jaminan penghantaran," ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.
Ukraine juga merupakan pengeksport utama minyak bunga matahari dengan Rusia berada di tempat kedua.
"Kami pernah melihat beberapa pelanggan menarik balik pembelian minyak bunga matahari dari Ukraine kerana bimbang tidak akan dapat menghantarnya," kata Arlan Suderman yang merupakan ketua ekonomi komoditi di sebuah organisasi perkhidmatan kewangan iaitu StoneX Financial seperti dilaporkan AFP.
Kebimbangan itu berlaku jika pembeli-pembeli gandum tersebut terlibat dalam satu konflik ketenteraan dengan Rusia.
Jika konflik timbul dan Rusia melakukan sekatan di pelabuhan Odessa, sekatan Ukraine, Kiev akan menghadapi masalah pengeksportan, kata Le Molgat kpada AFP.
"Dalam keadaan sedemikian, seseorang boleh membayangkan bahawa akan ada sekatan ekonomi. AS mungkin memutuskan untuk melarang perdagangan gandum Rusia dengan menggunakan dolar," katanya.
Selain Ukraine dan Rusia, negara-negara yang paling terjejas yang merupakan pembeli gandum terbesar daripada kedua-dua negara berkenaan iaitu Mesir, Turki, Indonesia dan Maghribi yang akan terpaksa mencari gandum di tempat lain.
Ini kemungkinan negara-negara itu sanggup membeli pada harga yang lebih tinggi.
Dari segi penawaran, Kesatuan Eropah (EU), AS dan Australia serta pemain-pemain utama akan menjadi penyumbang utama kepada penjualan bijirin tersebut.
Ketidakpastian dan ketidaktentuan yang luar biasa dalam pasaran pertanian adalah tarikan utama buat pelabur-pelabur.
Harga gandum dan jagung kini tinggi lebih 17 peratus daripada harga asalnya jika dibandingkan pada tahun lepas.
Pengakhiran diplomatik kepada krisis itu atau penerusan status quo di Ukraine akan memberikan kelegaan pada pasaran tetapi harga boleh kekal menjadi tinggi.
Tanaman gandum AS yang akan datang berhadapan dengan ancaman kemarau manakala tanaman jagung juga dijangka berdepan masalah kekurangan hujan seperti di Argentina dan Brazil. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca