HARI INI, ini Mat Taici tertarik dengan laporan media Barat mendedahkan aset-aset pertahanan Rusia seperti kereta kebal dan pasukan askar negara itu sudah mula digerakkan ke Ukraine atas tujuan pelaksanaan 'misi pengaman'.
Arahan menggerakkan aset-aset pertahanan Rusia itu dipercayai dibuat setelah Presidennya, Vladimir Putin pada Isnin menandatangani dua dekri mengiktiraf dua wilayah Ukraine iaitu Lugansk dan Donetsk sebagai negara merdeka dan berdaulat.
Keputusan itu dibuat setelah krisis keselamatan Eropah berlaku akibat peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) ke arah Timur, menyebabkan Putin merasakan pertubuhan itu hanya menunggu masa untuk menerima Ukraine sebagai negara anggota itu.
Perlu diingat, Ukraine merupakan salah sebuah daripada 14 negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) yang dianggap sebagai zon penampan keselamatan kedaulatan Rusia selain Belarus, Kazakshtan, Georgia, Armenia, Azerbaijan, Estonia, Kyrgyztan, Latvia, Lithuania, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Moldova.
Daripada semua negara bekas USSR berkenaan, majoritinya bagaimanapun telah dianggap pro kepada Kesatuan Eropah (EU) dan Nato menerusi pergerakan 'regime changes' dan revolusi warna yang telah berlangsung sejak tahun 2001.
Ketika ini, hanya negara Belarus yang dilihat masih bersifat pro Rusia kerana baru-baru ini dua negara itu mengadakan latihan ketenteraan membabitkan penggunaan senjata nuklear.
Justeru, Mat Taici tidak hairan Putin amat bimbang dengan langkah Nato dan EU untuk menerima keanggotaan Ukraine.
Hal ini kerana tindakan itu pastinya memberikan akses kepada Nato dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat membina kemudahan ketenteraan di negara itu, sekali gus meningkatkan tahap ancaman keselamatan terhadap Rusia.
Mat Taici juga tidak menolak kemungkinan ketegangan Rusia-Ukraine yang sebenarnya berlarutan sejak tahun 2014 akhirnya bakal mencetuskan perang pada 'bila-bila masa', bahkan tidak mustahil membawa krisis lebih besar iaitu Perang Dunia Ketiga.
Justeru, Mat Taici ingin bertanya, bersediakah Malaysia menghadapi impak akibat kemungkinan-kemungkinan perang yang berpotensi besar tercetus ini?
Dari segi ekonomi, implikasinya sudah mula dirasakan negara kita apabila sektor pertanian berdepan masalah kenaikan harga input makanan haiwan susulan Ukraine dan Rusia merupakan dua negara pengeluar terbesar produk gandum dan jagung - bahan utama penghasilan dedak haiwan di dunia.
Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada bahan makanan import, peperangan yang tercetus sekiranya benar-benar berlaku, pastinya akan memberi kesan besar terhadap harga makanan di Malaysia dan negara-negara ASEAN lain.
Pada masa sama, status Rusia sebagai pengeluar terbesar gas dunia juga akan memberi kesan kepada harga gas dan minyak mentah dunia, melalui langkah negara itu mengetatkan kawalan terhadap dua komoditi itu ke atas permintaan dunia, terutama kepada Eropah.
Mat Taici tidak pandai sangat teori ekonomi, tetapi 'serangan balas' Rusia terhadap intervensi Nato dan EU dalam krisis Rusia-Ukraine pastinya akan mengakibatkan kenaikan drastik harga gas dan minyak mentah dunia yang akhirnya mendorong senario hiperinflasi global.
Sehubungan itu, sedar atau tidak, Mat Taici perlu menyeru rakyat Malaysia untuk menyelami natijah peperangan Rusia-Ukraine yang mungkin tercetus, sebenarnya mampu memberi kesan amat dahsyat kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Ataupun, kita masih mahu jadi buta mata dan hati untuk menjangkakan malapetaka-malapetaka yang bakal menjelma susulan pemimpin politik masih sibuk hendak 'berperang' sesama sendiri demi merebut jawatan Perdana Menteri?
Tepuk dada, tanya selera.
Psss: Dunia sudah penat 'perang' dengan Covid-19, tidak sanggup berdepan satu lagi perang...
Klik di sini untuk terus membaca