SHAH ALAM - Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) tidak bersetuju untuk mengembalikan tiga kanak-kanak yang mualaf kepada pangkuan ibu mereka yang bukan beragama Islam.
Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, ini kerana berdasarkan sejarah sebelum ini, kebanyakan anak yang telah memeluk Islam dan diperintah untuk diserahkan kepada ibu mereka didakwa akan kembali memeluk agama asal.
"Kita faham dan menghormati perasaan ibu dalam konsep keluarga, memang ibu ada hak. Tetapi pengalaman kita, sejak dahulu lagi membuktikan apabila anak-anak yang sudah Islam kembali kepada ibu, mereka terdedah dan kembali ke agama asal.
"Ini yang kita bimbang. Ia bukan satu persepsi, tetapi memang betul-betul berlaku. Sebab itu kita mengharapkan pihak tertentu dapat memantau perkara ini,” katanya dalam Wacana Sinar edisi ke-325 yang bertajuk Anak Mualaf: Agama, Undang-undang dan Keluarga pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Peguam Maha Lawyers, Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman dan Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan manakala Amin Idris sebagai moderator.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyerahkan tiga kanak-kanak kepada ibu kandungannya berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong, 34.
Menurutnya, mahkamah berpuas hati bahawa Siew Hong telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.
Selain itu, Aminuddin turut tidak bersetuju dengan sikap sesetengah parti politik yang turut membangkitkan dan memberi kecaman terhadap isu tersebut.
Dalam masa sama, beliau berharap agar pemimpin Islam dapat bersuara dan mempertahankan perkara tersebut memandangkan ia telah menyebabkan kerisauan pelbagai pihak.
"Perundangan banyak kelompongan. Kita juga seru dan desak supaya kerajaan menaikkan taraf mahkamah syariah sekurang-kurangnya sama tahap dengan mahkamah sivil,” ujarnya.