SHAH ALAM - Isu membabitkan tiga kanak-kanak yang diislamkan oleh bapa mereka untuk memilih Islam sebagai agama anutan memperlihatkan situasi agama Islam kini dalam keadaan mendukacitakan.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan berkata, ia kerana masyarakat kini dilihat terperangkap dalam satu situasi pemerintahan yang zalim, ulama lesu dan umat yang jahil.
Menurutnya, kezaliman itu adalah kegagalan meletakkan Islam di peringkat tertinggi terutama Mahkamah Syariah dan Undang-undang Islam.
"Islam adalah agama Persekutuan dan majoriti penduduk Malaysia adalah Muslim, dan saya kira sepatutnya ia berada di peringkat yang tertinggi.
"Tetapi hari ini tidak berlaku demikian malah kita lihat mereka yang memimpin dan mentadbir negara tidak mempunyai satu kesungguhan meletakkan syariat itu pada tempat yang betul akhirnya menyebabkan Islam lemah,” katanya pada Wacana Sinar Edisi ke-325 yang bertajuk Anak Mualaf: Agama, Undang-undang dan Keluarga pada Selasa.
Program tersebut turut menampilkan panel Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya dan Peguamcara di MAHA Lawyers, Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman, manakala Amin Idris selaku moderator.
Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, ulama ketika ini juga dilihat tidak peduli dengan akidah umat Islam serta undang-undang syariah Islam yang menyebabkan perkara seperti itu boleh berlaku.
Menurutnya, malah pemimpin Islam terutama kebanyakan pemimpin ulama lebih cenderung untuk bertelagah dengan isu-isu fikah.
"Orang politik bertelagah cara politik, orang agama dengan cara mereka, tidak ada satu pergerakan berkesan untuk memastikan umat Islam dipandang mulia dan hebat oleh negara.
"Kita tengok tiada suara daripada pemimpin negara sehinggakan terpaksa kita buat laporan polis untuk kes tersebut. Ini sangat mendukacitakan.
"Apabila perkara ini berlaku maka tidak pelik lah kalau peristiwa ini terjadi. Kita lihat umat Islam seperti tidak ada apa-apa berlaku dan tidak sensitif,” ujarnya.
Tambah beliau, sentimen semangat dan sikap prejudis sebahagian masyarakat untuk menentang Islam semakin tebal sehingga mereka mengambil kesempatan untuk membuat tekanan walaupun mereka tahu Islam itu sebagai agama Persekutuan.
"Semangat kebencian, perkauman masih tebal sehingga pantang ada isu sebegini maka dia akan meledak sehingga menjadi satu polemik dalam negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, ia merupakan perkara serius yang perlu dipandang terutama pemimpin negara kerana mereka adalah pembuat dasar di Parlimen.
Menurutnya, sudah sampai masanya untuk meminda Perlembagaan yang boleh memberi hak dan pengiktirafan kepada enakmen yang diputuskan di peringkat negeri.
"Sebab saya lihat kalau perkara ini dibiarkan berlaku, ia akan menjadi satu ancaman yang besar kepada undang-undang syariah.
"Fenomena ini juga akan menyebabkan ancaman kepada enakmen pentadbiran Islam di negeri juga bidang kuasa Mahkamah Syariah yang pada bila-bila masa boleh menyebabkan keputusan di sana tidak ‘valid’.
"Dia turut mencabar kuasa Sultan, Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama di negeri-negeri itu,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca