TUMPUAN dunia kini terarah kepada konflik Rusia dan Ukraine apabila Presiden Vladimir Putin pada Isnin bertindak mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah timur Ukraine iaitu Donetsk dan Lugansk sekali gus mengerah tentera ke kawasan dikuasai puak pemisah pro-Rusia itu sebagai misi pengaman.
Putin turut mencemaskan komuniti antarabangsa apabila mengerahkan lebih 100,000 kekuatan tentera di sempadan Ukraine.
Tindakan tersebut terus di canang oleh kebanyakan media Barat terutama Amerika Syarikat (AS) sebagai tindakan provokatif Rusia ke arah menuju perang skala besar dengan Ukraine.
Mengulas perkembangan terkini krisis itu, Pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (myRISS), Profesor Madya Dr Mohd Mizan Aslam berpandangan, Putin tidak akan sewenang-wenang menyerang Ukraine sekali gus menyebabkan perang yang mungkin merebak ke seluruh Eropah.
"Tidak dinafikan, tindakan Putin menghantar tentera ke wilayah Donetsk dan Lugansk adalah satu isyarat bahawa Rusia mampu menghadirkan kekuatan tentera di Ukraine jika ia mahu.
"Namun harus diingat, Rusia menghantar tenteranya ke wilayah yang pro-Rusia malah dua wilayah terbabit memang mahu keluar dari Ukraine,” kata Mohd Mizan kepada Sinar Harian.Ujarnya lagi, tindakan Rusia membawa masuk tentera ke dua wilayah terbabit boleh dikatakan sekadar ingin menguji reaksi masyarakat antarabangsa.
Malah, AS sendiri tidak mungkin melakukan tindak balas terhadap tindakan Putin. Berdasarkan rekod, AS tidak pernah menyerang negara yang mempunyai kuasa nuklear.
"Keadaan tegang namun seperti diakui oleh Putin sendiri, Rusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Ukraine.
"Rusia mempunyai hubungan ‘istimewa’ dengan Ukraine yang dahulunya merupakan ibu negara Rusia sekitar kurun ke-16 hingga pertengahan kurun ke-17 sebelum berpindah ke Moscow.
"Ukraine juga paling banyak menyimpan teknologi ketenteraan dan sebagainya dari era Kesatuan Soviet.
"Rusia turut mempunyai armada ketenteraan seperti kapal laut dan kapal selam terutama di wilayah Crimea selain kerjasama membina laluan gas untuk membawa keluar gas dari wilayah di Rusia ke Eropah melalui Ukraine,” kata Mohd Mizan lagi.
Tidak dinafikan kepimpinan Ukraine di bawah Presiden Volodymyr Zelensky mencerminkan sentimen negara itu lebih cenderung kepada Barat namun Ukraine terutama sekali wilayah Crimea begitu berharga dan strategik untuk Rusia dan tidak mungkin Putin mahu menghancurkannya, ujar beliau.
"Rusia tidak mahu kehilangan Ukraine dan mahu ia kekal neutral, sama ada menyokong Rusia atau tidak itu perkara kedua.
"Moscow juga mahu mengekalkan status-quo di wilayah Crimea yang terletak di selatan Ukraine kerana di situ terletak aset ketenteraan yang membolehkannya mengawal Laut Hitam sehingga ke Eropah,” jelas Mohd Mizan.
Beliau yang juga Felo Kanan Institut Keamanan Global London berkata, kemungkinan untuk berlaku ketegangan tetap ada terutama sekiranya terjadi provokasi ditaja atau false flag attack."Contohnya, misil dilancarkan ke sebuah wilayah di Rusia dan ia dinampakkan seolah-olah serangan dilakukan oleh pihak Ukraine maka sudah pasti Rusia akan bertindak balas atau sebaliknya.
"Ini sekali gus akan meningkatkan ketegangan dan menjadikan situasi konflik lebih teruk,” kata beliau.
PERCATURAN LEMAHKAN PENGARUH RUSIA
Sementara itu, pensyarah Kanan Politik dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, konflik Rusia-Ukraine sebenarnya memperlihat matlamat Amerika Syarikat (AS) untuk menarik semula Jerman sebagai sekutunya dan menyekat Rusia daripada menjadi kuasa dominan di Eropah.
Tambahnya, konflik AS dan Rusia juga berkait rapat dengan projek pembekalan gas asli secara langsung dari Rusia ke benua Eropah dinamakan Nord Stream 2 diselenggara syarikat tenaga Gazprom yang dikuasai Rusia.
"Nord Stream 2 akan berupaya menyalurkan 55 bilion meter padu gas setahun kepada pengguna di Eropah.
"AS melihatnya sebagai alat yang boleh meningkatkan pengaruh Moscow ke atas Eropah.
"Bagi Ukraine, Nord Stream 2 bukan sahaja mencabar ekonomi negara itu tetapi juga keselamatannya. Ia beranggapan Moscow akan menggunakannya sebagai ‘senjata’ untuk mempromosi kepentingan geopolitik,” ujarnya.
Projek Nord Stream 2 siap pada September 2021 namun Jerman masih menangguhkan kelulusan untuk ia beroperasi atas alasan perlu terlebih dahulu mematuhi undang-undang negara itu namun Jerman sebenarnya dikatakan menerima tekanan AS dan Ukraine.
"Antara sebab Rusia meletakkan tenteranya di sempadan Ukraine adalah untuk melindungi Nord Stream 2, namun ia tidak bermakna Rusia akan melakukan serangan,” kata Azizuddin.
Klik di sini untuk terus membaca