SHAH ALAM - Malaysia turut berisiko berdepan impak buruk sekiranya berlaku perang antara Rusia dan Ukraine. Penganalisis Politik dan Antarabangsa, Dr Oh Ei Sun berkata, perang itu akan memberi kesan langsung kepada rakyat Malaysia di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia turut berisiko berdepan impak buruk sekiranya berlaku perang antara Rusia dan Ukraine.

Penganalisis Politik dan Antarabangsa, Dr Oh Ei Sun berkata, perang itu akan memberi kesan langsung kepada rakyat Malaysia di kedua-dua negara selain membawa masalah berhubung pembelian aset keselamatan atau senjata yang diimport dari negara terbabit.

"Ada banyak senario yang tidak disangka boleh berlaku. Walaupun kedudukan Malaysia jauh dari benua Eropah, kepentingan Malaysia masih boleh diancam.

"Terdapat penuntut-penuntut Malaysia di kedua-dua negara. Pengajian mereka bukan sahaja tergendala, malah mungkin terpaksa berada di negara tersebut semasa pertempuran berlaku. Begitu juga dengan warga Malaysia lain yang berada di situ.

"Kedua, walaupun Malaysia tidak mempunyai perdagangan yang besar jumlahnya dengan Rusia atau Ukraine, Malaysia ada membeli senjata-senjata berat dari kedua-dua negara.

"Jika berlaku peperangan, ketersediaan alat-alat ganti dan penyenggaraan bagi senjata-senjata tersebut mungkin akan menjadi satu masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan Sinar Harian

Ei Sun turut mengingatkan supaya Malaysia tidak melibatkan diri dengan situasi tegang yang melanda dua negara tersebut sekarang, sebaliknya menjadikan peristiwa pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 2014 sebagai pengajaran.

"Peristiwa dahsyat pesawat MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu semasa melalui ruang udara Ukraine pada tahun 2014 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

"Sehingga hari ini pihak-pihak terbabit masih bertelagah berhubung siapa yang bertanggungjawab atas tragedi tersebut.

"Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun Malaysia tidak ingin terlibat dalam perbalahan Rusia-Ukraine, malapetaka masih boleh berlaku,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan bertindak memberi amaran kepada rakyat Malaysia di kedua-dua negara agar tidak mengunjungi atau singgah di kawasan yang mungkin berlaku pertempuran buat sementara waktu.

"Pengangkutan udara, laut dan darat juga perlu dielakkan daripada melalui kawasan konflik."Kerajaan juga perlu berkomunikasi dan membekalkan maklumat kepada rakyat Malaysia di sana supaya mereka mendapat maklumat yang terkini,” ujar Ei Sun.

Klik di sini untuk terus membaca