SHAH ALAM - Perang di Eropah antara Rusia dan Ukraine adalah sekadar gambaran yang dicipta oleh media Barat untuk memperlihat seolah-olah Rusia yang mencetuskan perang ke atas Ukraine.
Penganalisis Politik Antarabangsa, Dr Chandra Muzaffar berkata, Rusia dengan jelas menegaskan mereka tidak mahu berperang dan kedudukan tentera berhampiran Ukraine hanya aktiviti biasa di sempadan.
Tambahnya, media Barat dengan sengaja mahu memberikan gambaran bahawa Rusia ini adalah musuh yang berhasrat untuk berperang.
"Ini kerana kita tahu mereka (Amerika Syarikat) mahu masukkan Ukraine dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Itu adalah satu pakatan ketenteraan untuk memperkuatkan kedudukan Barat khususnya di negara yang berjiran dengan Rusia seperti di Ukraine dan 13 negara lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Chandra berkata, media Barat memainkan peranan luar biasa dengan sengaja mengapi-apikan Rusia supaya berperang.
"Jadi kita harus mencari fakta sebenar dan cuba membetulkan gambaran palsu terutama daripada media lain seperti media China, Korea Selatan dan Arab.
"Ini kerana mereka memberi gambaran yang lebih tepat. Mereka lebih tahu bahawa bukan Rusia hendak serang Ukraine tetapi isu ini ditimbulkan untuk memenuhi cita-cita kuasa Barat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia perlu menyokong sepenuhnya segala usaha untuk mencapai perdamaian dan mengurangkan ketegangan antara dua negara tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca