SAYA menerima sebuah video yang menarik daripada seorang sahabat WhatsApp. Sekali pandang, video itu bagai video untuk suka-suka. Saya terhibur dengan lagu dalam video tersebut tetapi saya lebih kagum apabila mendapati penyanyi lagu itu adalah seorang penjual kacang putih!
Bhuban Badyakar, seorang penjual kacang putih jalanan di Bengal Barat, India. Tiada sesiapa pun yang peduli dengannya setiap kali dia sampai ke pekan-pekan dengan motosikal buruknya untuk menjaja kacang.
Bagi menarik perhatian, Bhuban menjaja sambil bernyanyi ala-ala rap. Rentaknya yang unik itu telah menarik sebuah syarikat tempatan, Godhulibela Music membuat remix hingga lagu itu menjadi tular.
Kegilaan yang dicetuskan oleh lagu tersebut telah menarik lebih 77 juta tontonan dan 2.4 juta tanda suka dalam masa dua bulan. Di mana-mana laman sosial, lagu itu menjadi pilihan. Ia memunculkan Kacha Badam Challenge di TikTok. Kini syarikat Godhulibela Music telah menerbitkan versi rap dengan mengundang Bhuban sendiri sebagai penyanyinya.
Dengan bayaran awal berjumlah RM15,000 daripada syarikat berkenaan, kehidupan Bhuban bakal berubah kerana sudah menjadi sensasi di dunia.
Pepatah Melayu mengatakan, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Benar, tuah manusia tiada sesiapa yang tahu. Tetapi ia boleh disedari dengan dua cara iaitu oleh orang lain dan diri sendiri.
Dari masa ke masa, mereka yang berada hampir dengan seseorang itu akan nampak bakat terpendamnya. Terdapat ribuan contoh bakat seseorang anak disedari ibu bapanya.
Yang terkini, Muhammad Haziq Mohd Asyraf yang terkenal sebagai ‘wartawan cilik.’ Sikapnya yang pandai berceloteh dan memasak dipupuk oleh ibu bapanya. Bakatnya tular apabila videonya melaporkan ‘penemuan ular sawa yang amat dahsyat’ telah mengangkatnya sebagai selebriti muda.
Ramai yang menyandang jawatan tinggi dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam dan korporat juga berjaya kerana disedari oleh guru-guru mereka. Guru yang mengajar merekalah yang seterusnya mencadangkan mata pelajaran dan aliran pendidikan hingga mereka mencapai cita-cita.
Dalam syarikat korporat, menjadi kebiasaan staf-staf yang muda dan berpotensi diberi peluang oleh ketua atau majikan untuk menyandang jawatan lebih tinggi dan akhirnya ‘mencemerlangkan’ potensi dan prestasi seseorang.
Dalam pada itu, jika kita merenung di sekeliling, kita akan dapati ada dalam kalangan teman kita yang mempunyai bakat terpendam seperti menjadi pengacara, perunding, jurujual malah pemimpin kerana personalitinya amat trampil dan menyenangkan kita.
Sekiranya bakat yang ada itu digilap dan diketengahkan, kawan gurau senda kita itu mampu menjadi hebat. Cuma yang sukar disedari adalah menyedari kebolehan yang ada dalam diri kita.
Bakat itu tiada sesiapa pun yang tahu. Namun, ALLAH Maha Adil. Setiap insan dilahirkan unik dengan jodoh, ajal, maut dan rezekinya yang telah ditetapkan. Rezeki bukan sahaja berupa material tetapi juga dalam bentuk bakat dan kebolehan. Bawalah diri menelusuri jalan kenangan untuk mengingati apakah kebolehan dan kegemaran yang pernah kita ada.
Dengarlah suara hati. Bila bermuhasabah, kita akan dapati bahawa kita mempunyai satu atau lebih dua bakat tidak ternilai. Oleh kerana tidak menganggapnya suatu anugerah Ilahi yang khusus untuk diri, kebolehan itu tidak diasah hingga ia malap, tumpul dan tenggelam dalam diri.
Hati tiba-tiba akan menjadi riang bila kita teringatkan kebolehan yang kita ada. Semangat akan muncul tatkala imaginasi mula melingkar di minda. Inilah lombong emas atau goldmine yang kita ada. Terlalu lama kita duduk di atasnya. Angkat dan gilaplah kebolehan itu. Letakkan sasaran, mulakan melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.
Insya-ALLAH, lombong emas yang merupakan khazanah tersimpan itu bakal memberi dimensi dan sinar baharu untuk masa depan. Selongkar dan gali. Sesungguhnya lombong dan emas itu adalah milik mutlak anda.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca