INDONESIA baru-baru ini digemparkan dengan kisah Ghozali Everyday atau nama penuhnya Sultan Gustaf Al Ghozali, seorang pelajar berusia 22 tahun yang berjaya menjual gambar-gambar selfienya dalam bentuk digital art pada harga terkumpul hampir AS$1 juta (RM4.19 juta).
Gambar-gambar itu yang jumlahnya 933 NFT dirakamnya setiap hari – menurut katanya, ada juga hari dia tercicir sejak tahun 2017 hinggalah pada Disember lalu apabila dia memutuskan untuk menjualnya dalam bentuk NFT di sebuah platform.
Harga suka-suka yang diletakkannya hanya AS$3 atau RM12.57 atau 0.00001 ETH (Ethereum). Harga itu mula melonjak apabila seorang cef selebriti Indonesia membeli salah satu daripadanya dan membuat promosi secara dalam talian.
Dalam masa singkat, harga baharu setiap imej NFT itu melonjak kepada 0.9 ETH atau AS$3,000 (RM12,570) dan sehingga 25 Januari lalu, sebanyak 387 NFT telah terjual. Jumlah itu terus meningkat, bermakna pendapatan Ghozali termasuk daripada royalti NFT yang dijual semula juga akan terus bertambah.
Sayugia diingat, yang menjadi subjek berita dan cerita di sini bukanlah Agnes Mo, Raisa, Citra Kirana, Maudy Ayunda atau selebriti-selebriti Indonesia lainnya. Dia juga bukan Angga Yunanda, Iqbaal Ramadhan, Rizky Nazar, Reza Rahadian dan lain-lain yang tampan-tampan.
Sebaliknya, dia hanya anak muda biasa, pelajar dalam bidang sains komputer yang barangkali tidak pernah berangan akan menjadi jutawan dalam waktu terdekat.
Yang dijual Ghozali pula bukan lukisan potretnya yang menggunakan kanvas dan cat minyak atau cat air. Bukan juga gambar pemandangan indah yang dirakam dengan teknik fotografi paling unik.
Tidak. Ia hanya gambar potretnya sendiri, dirakam dalam bentuk digital, kemudian dijual pula secara maya, juga dalam bentuk digital.
Maknanya, si pembeli hanya boleh menikmati gambar-gambar asli Ghozali itu secara virtual. Kalau dicetak dan digantung di dinding pun, ia bukan asli kerana yang asli berada di dunia maya.
Ia memang boleh disalin dan tampal berulang-ulang, namun itu juga bukan asli. Yang asli, yang di dunia maya itu menjadi milik mutlak pembelinya.
Pening? Memang itulah NFT, keajaiban baharu bukan sahaja dalam dunia digital tetapi juga dunia ‘perniagaan’. Bagi yang tidak faham atau baru hendak memahaminya, NFT boleh menyebabkan kita hilang keinginan untuk senyum dan ketawa buat seketika.
Menekuninya sama seperti mengopek kerang dengan sebelah tangan. Yang susahnya bukanlah memahami prinsip-prinsip asas NFT itu atau bagaimana ia berfungsi tetapi tentang pentas baharu itu secara keseluruhan, tentang penjual, pembida, pembeli, yang dijual, yang dibida, yang dibeli, yang kesemuanya kelihatan seolah-olah tidak masuk akal.
Saya sendiri dahulu ketika mula-mula mendengar orang asyik menyebut NFT, yang terlintas di fikiran adalah satu lagi program gusti (wrestling) yang sama macam NXT, yang dihasilkan WWF.
Hanya selepas terbaca berita artis digital Mike Winkelmann atau lebih dikenali sebagai Beeple menjual karya digitalnya bertajuk ‘Everydays – The First 5000 Days’ dengan harga AS$69 juta (RM289.14 juta) barulah saya tertarik untuk mengetahui lebih mendalam tentang NFT.
DITUKAR GANTI
Saya terangkan secara ringkas apa itu NFT. Ia adalah akronim kepada Non-Fundable Token. Fundable itu maksudnya boleh diganti. Ertinya sesuatu yang boleh ditukar ganti dengan sesuatu yang lain, yang dipersetujui sebagai sama nilainya.
Jika saya ada sekeping duit RM10, saya boleh tukarkan ia dengan sekeping duit RM10 yang lain atau dengan dua keping duit RM5 atau 10 keping duit RM1. Nilai RM10 tidak hilang. Ia juga boleh ditukar dengan barangan lain yang dipersetujui sama nilai dengan duit RM10 itu, contohnya sekilo ikan kembung sebesar dua jari atau sebungkus nasi lemak kayangan.
Non-fundable pula adalah sebaliknya. Ia sesuatu yang tidak boleh ditukar dengan apa pun kerana nilainya tidak sama dengan apa pun jua. ‘Guru-guru’ NFT di internet selalunya menjadikan lukisan Monalisa, karya Leonardo da Vinci sebagai contoh. Walaupun lukisan yang nilai semasanya mencecah RM3.8 bilion itu boleh didapati dalam bentuk poster, poskad, cetakan di atas kanvas, malah dilukis semula, namun nilainya tetap tidak sama dengan karya asal da Vinci yang kini menjadi hak milik kerajaan Perancis.
Upahlah pelukis paling mahir di dunia untuk menirunya, hasilkanlah lukisan serupa, ia tetap tidak akan sama dengan yang asal dalam erti kata sebenar.
Token pula secara umumnya bermaksud tanda. Jadi apa yang dimaksudkan dengan NFT adalah tanda yang tidak boleh ditukar ganti. Token dihasilkan melalui teknologi blockchain, satu teknologi bersifat desentralisasi dan berbentuk open ledger system.
Sesiapa sahaja boleh mengangkat sesuatu karya, sama ada seni digital, muzik, permainan komputer, memes, catatan di media sosial, kad perdagangan digital dan serba-serbi yang lain menjadi produk NFT. Dengan teknologi blockchain, produk-produk NFT itu terjamin unik dan tidak boleh diganti oleh pendua lain. Ia menjamin pemilikan pemilik yang asli.
Pengkarya atau pedagang boleh memasarkan karya-karya NFT mereka di platform-platform yang tersedia dengan membayar sejumlah yuran atau gas yang kadarnya berbeza antara satu platform dengan platform yang lain.
Perlu disebut bahawa urusan di dunia NFT ini menggunakan mata wang kripto, contohnya Ethereum (ETH) di platform OpenSea yang Ghozali gunakan.
Jika ada yang berkenan membeli dengan harga ditawarkan atau harga dibida, bermakna rezeki menggolek datang. Yang membeli itu pula tujuannya ada dua, pertama untuk menyimpan NFT sebagai simbol status, yakni memuaskan hati sendiri sebab dia memiliki sesuatu yang unik dan tiada duanya, manakala kedua, untuk membuat keuntungan dengan menjualnya pada harga lebih tinggi jika ada permintaan pada masa hadapan.
Dalam kes kedua ini, pengkarya asal biasanya mendapat tambahan rezeki melalui peratusan royalti. Perlu disebut bahawa NFT tidaklah terbatas pada aset digital semata-mata.
Telah muncul platform-platform yang membolehkan pengguna menjual atau membeli aset-aset di dunia nyata– rumah, bangunan, hartanah, lukisan, arca, barang kemas dan sebagainya melalui kaedah NFT.
Ruang ini tidak cukup untuk membolehkan saya berkisah mengenainya. Sama-sama berdoa supaya ada kesempatan yang lain.
Secara umumnya, NFT menambahkan kemudahan dalam hidup. Ia ada ruang yang patut diisi dan peluang yang harus direbut. Tetapi jangan pula selepas memuat naik hasil kerja di platform NFT, masing-masing terus berangan hendak menjadi Ghozali.
Ingat satu dik, dunia tidak dibina dengan angan-angan tetapi dengan cita-cita dan usaha. #dush!
Klik di sini untuk terus membaca