SEORANG wartawan televisyen Rusia berdiri dengan memakai jaket dan topi keledar berhampiran beberapa berek tentera pada waktu tengah hari yang cerah.
"Adakah anda sudah bersedia," kedengaran suara yang bertanya kepadanya sebelum kamera memulakan rakaman.
Wartawan itu mengangguk dan tembakan kemudian kedengaran ketika dia mula berlari dan menjerit tercungap-cungap ketika membuat laporan dengan menggunakan mikrofonnya mengenai sekumpulan pensabotaj telah menyerang kedudukan pihak yang disokong oleh Rusia di Ukraine timur.
"Inilah apa yang dikatakan sebagai propaganda Rusia," menurut keterangan pada sebuah akaun Telegram di sebelah satu klip video yang menunjukkan laporan tersebut.
Konflik lebih tujuh tahun di wilayah Ukraine timur yang disokong oleh Rusia tersebut telah disertai dengan maklumat palsu antara Moscow dan Kiev yang juga cuba melibatkan pihak lain dalam jenayah yang membawa maut itu.
"Saya rasa sebahagian besar berita palsu ini ditujukan terutamanya kepada penonton antarabangsa Rusia," kata bekas Menteri Pendidikan Ukraine dan Pengarah Kewartawanan Sekolah Mohyla, Sergiy Kvit.
"Ia seperti Rusia sedang melakukan persediaan untuk melakukan pencerobohan," katanya kepada AFP yang merujuk kepada maklumat palsu tersebut.
Maklumat sebenar telah membongkarkan tentang permintaan yang dibuat oleh pemimpin pemisah Ukraine.
PINDAH KE RUSIA
Permintaan kecemasan telah dibuat menerusi video yang meminta penduduk tempatan berpindah ke Rusia pada Jumaat lalu.
Namun, permintaan itu sebenarnya telah direkodkan dua hari lebih awal.
"Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky akan segera mengeluarkan perintah agar pasukan tenteranya untuk terus menyerang," kata Ketua Pemisah wilayah Donetsk yang pro-Rusia iaitu Denis Pushilin dalam mesej menerusi videonya.
"Justeru, pada pada 18 Februari, kami sedang mengatur satu pemindahan penduduk awam secara besar-besaran ke Rusia," kata Pushilin.
Bagaimanapun, maklumat pada Telegram menunjukkan bahawa mesej Pushilin dan satu mesej yang dirakamkan oleh seorang lagi pemimpin pemisah lain dimuat naik ke aplikasi tersebut pada 16 Februari lalu.
Ia dirakamkan ketika Washington mencadangkan Rusia mungkin melancarkan serangan di Ukraine.
"Semua yang berlaku pada hari ini dilakonkan dengan jelas," menurut ciapan seorang wartawan penyiasat, Mark Krutov menerusi Twitter ketika terdapat kebimbangan bahawa pihak pemisah pro-Rusia memindahkan orang awam keluar bagi membolehkan pergerakan masuk kereta-kereta kebal Rusia.
BOM KERETA
Penganalisis dari Bellingcat iaitu kumpulan penyiasat yang pernah memenangi anugerah penyiasatan 'online' yang dilabelkan oleh Moscow sebagai ejen asing pada tahun lalu telah menjadi sibuk dalam tempoh beberapa minggu yang terakhir ini.
Bellingcat dan pejuang yang menentang maklumat palsu lain menemui bukti visual yang menunjukkan bahawa bom kereta yang didakwa menyasarkan seorang ketua polis kumpulan pemisah yang pro-Rusia sebenarnya telah diletakkan pada sebuah kenderaan lain.
Mereka menunjukkan gambar plat nombor pendaftaran kenderaan ketua polis kumpulan pemisah itu yang merupakan sebuah kederaan utili lasak (SUV) model baru dan berkilat.
Plat yang sama kemudian dilekatkan pada sisa-sisa kenderaan tentera hijau yang lama dan diletupkan di tempat letak kenderaan yang kosong pada Jumaat lalu.
Tidak ada yang cedera atau terbunuh dalam kejadian itu tetapi televisyen negara Rusia menyiarkan apa yang didakwanya sebagai pengakuan daripada seorang perisikan Ukarine yang terlibat dalam rancangan pengeboman tersebut.
Terdapat kisah lain pula yang mendakwa kumpulan pemisah pro-Rusia telah membunuh dua warga Ukraine yang cuba meletupkan tangki simpanan klorin.
Ia merupakan cerita yang menyokong tuntutan Moscow bahawa Kiev sedang merancang serangan senjata kimia.
Organisasi yang meminta supaya berita palsu dihentikan, Stopfake dari Ukraine menunjukkan beberapa catatan mengenai protes anti-perang yang kononnya diadakan secara besar-besaran di Moscow tetapi sebenarnya ia menggunakan gambar perhimpunan yang berlaku pada tahun 2014.
Seorang ahli psikologi kanak-kanak dan keluarga, Kateryna Goltsberg menyatakan bahawa berita-berita palsu media yang tidak berkesudahan itu telah menyaksikan peningkatan tahap kegelisahan penduduk Ukraine tentang pencerobohan Rusia.
"Dalam dua bulan terakhir ini, tahap kepanikan sangat tinggi. Ini mungkin dikaitkan dengan serangan maklumat yang lebih besar, " kata Goltsberg.
"Penduduk (Ukraine) berasa sangat risau," katanya.
"Mereka bimbang untuk diri sendiri, anak-anak mereka, orang yang mereka sayangi," ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.
Seorang editor akhbar Ukraine, Kateryna Kiselyova menawarkan satu kes untuk direnungi.
Dia menyatakan bahawa keluarganya mempunyai beg galas kecemasan dan rancangan yang jelas sekiranya berlaku peperangan.
"Saya bercakap dengan anak-anak mengenai apa yang perlu mereka lakukan," katanya ketika menghadiri majlis peringatan untuk lebih 100 orang yang terbunuh di Kyiv semasa pemberontakan pro-Kesatuan Eropah (EU) 2014 di Ukraine.
"Sekarang saya ingin memastikan ruang bawah tanah sekolah mereka telah disiapkan untuk menghadapi kecemasan (peperangan dengan Rusia)," katanya.
Yang lain pula bimbang bahawa perasaan bahaya yang akan berlaku itu akibat ancaman perang mungkin akan melanda Ukraine untuk beberapa waktu lagi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca