SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan boleh stabil dalam masa yang singkat bergantung kepada berapa lama kerajaan Ismail Sabri mampu bertahan.
Saintis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menambahkan legasinya dalam reformasi institusi.
"Dalam erti kata lain sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ismail perlu memperbaiki sistem kerajaan.
"Jadi tak kira apa kesudahan itu sama ada kembalinya UMNO memerintah dengan majoriti yang selesa ataupun akan wujud sekali lagi Parlimen tergantung tanpa satu parti majoriti,” katanya dalam program bual bicara dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, Malaysia berada dalam peralihan politik yang mana boleh dilihat semasa Barisan Nasional (BN) memerintah, negara mempunyai kestabilan, kurang persaingan namun tinggi rasuah.
"Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kita ada persaingan, kurang rasuah tapi tiada kestabilan. Tetapi sekarang ketika PN memerintah tiada saingan, tapi kurang kestabilan dan juga tinggi rasuah.
"Kita tidak perlu kembali ke masa lampau, tetapi ke masa depan di mana kita ada kestabilan dengan persaingan dan rasuah yang rendah,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kerajaan yang bertukar sebanyak tiga kali sejak tahun 2018, beliau berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana rakyat Malaysia mahukan perubahan.
"Kalau kita beralih daripada dominasi satu gabungan parti (BN) maka akan dapat persaingan daripada dua gabungan parti pembangkang.
"Kuasa di peringkat persekutuan dan negeri cukup teratur sampai pembangkang dapat bertahan.
"Kalau kita lihat selepas 1990, Gagasan Rakyat tumbang kemudian Angkatan Perpaduan Ummah, selepas 1999 Barisan Alternatif (BA) dan 2015 Pakatan Rakyat (PR) mereka juga tumbang kerana pembangkang tidak dapat bertahan dan 2018 Barisan Nasional (BN) juga berpecah sampai tinggal UMNO sahaja,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca