SHAH ALAM - Pengundi automatik berumur 21 hingga 100 tahun adalah penentu kepada masa hadapan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Saintis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, mereka berkemungkinan terdiri daripada kumpulan yang tidak peduli dengan politik dan mampu membuat perubahan kepada minit-minit terakhir pengundian.
"Apa yang lebih menarik adalah pengundi yang selebihnya masuk ke dalam senarai pengundi kerana pendaftaran pengundi automatik, kumpulan ini adalah mereka yang tidak kesah akan politik.
"Jadi kalau dahulu dia rasa nak mengundi, dia kena mendaftarkan diri tiga bulan lebih awal atau lebih kalau tidak terlewat, sekarang tidak lagi, minit-minit terakhir dia rasa marah dan boleh pergi mengundi.
"Saya rasa kumpulan ini dia akan jadi penentu masa depan. Jadi kalau mereka keluar mengundi disebabkan mereka marah atau gembira ini menjadi satu amaran yang besar kepada ahli dan parti politik untuk bekerja lebih keras,” katanya dalam satu rancangan bual bicara Bersama Wong Chin Huat.
Program tersebut dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar akan bertindak selaku moderator bagi sesi bual bicara berkenaan.
Dalam pada itu, Chin Huat berkata, generasi anak muda perlu mempunyai sikap yang lebih rasional dan berani untuk membincangkan isu mencari jalan penyelesaian daripada melaporkan tenaga dan emosi dalam kemarahan.
Menurutnya, mereka mudah menunding jari kepada mana-mana pihak yang dirasakan jahat dan membawa pelbagai masalah sama ada kapitalis dan ahli politik.
"Bagaimanapun, dunia ini jauh lebih rumit.
"Jadi apa yang kita perlukan sekarang adalah hati yang terbuka dan keberanian pada masa yang sama untuk mengupas masalah dan mencari penyelesaian,” ujarnya.
Tambah beliau, golongan muda menjadi pemilih berkemungkinan akan membawa perubahan kerana mereka lebih bertanyakan apa diperoleh dalam manifesto ditawarkan oleh parti-parti.
"Ini kerana sebagai contoh harga rumah semakin mahal tetapi gaji tidak meningkat dengan kadar yang sama.
"Jadi itu isu ‘bread and butter’ dan ramai orang muda rasa tertekan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca