KEPUTUSAN unilateral Presiden Putin untuk menghantar sejumlah tentera Rusia ke wilayah Donetsk dan Luhansk serta memperakui bahawa ia adalah sebuah negara merdeka telah menggoncang kestabilan dan keamanan Eropah. Ia juga menimbulkan... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN unilateral Presiden Putin untuk menghantar sejumlah tentera Rusia ke wilayah Donetsk dan Luhansk serta memperakui bahawa ia adalah sebuah negara merdeka telah menggoncang kestabilan dan keamanan Eropah.

Ia juga menimbulkan spekulasi bahawa sekiranya Ukraine bertindak balas dengan cuba menawan kembali kedua-dua wilayah itu, Rusia akan masuk campur dan menyerang Ukraine.

Kedua-dua wilayah tersebut merupakan sebahagian dari negara merdeka Ukraine apabila negara bekas wilayah Soviet itu berpisah dari Soviet Union pada tahun 1991. Kepimpinan politik yang gagal memajukan sistem ekonomi selain pertelingkahan etnik dan ideologi telah menyebabkan Ukraine menjadi tidak stabil.

Apabila Presiden Ukraine yang pro-Rusia telah disingkirkan pada tahun 2014, rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk di wilayah-wilayah yang mempunyai penduduk majoriti etnik Rusia memuncak.

Mereka telah memberontak dan menguasai wilayah Donetsk serta Luhansk dari kerajaan Ukraine lalu mengisytiharkan pembentukan sebuah republik merdeka dikenali sebagai Donbass. Tindakan ini tidak disokong oleh mana-mana negara kecuali Rusia yang dipercayai telah membekalkan pelbagai senjata kepada pemberontak.

Sejak dari itu, kerajaan Ukraine telah berusaha merampas kembali kedua-dua wilayah yang telah ditawan namun dengan bantuan Rusia, pemberontak di Donbass telah berjaya menghalang kemaraan mereka. Beberapa gencatan senjata dan rundingan untuk cuba menghentikan pertempuran telah menemui jalan buntu.

Amerika Syarikat yang mempunyai hubungan politik rapat serta penyumbang bantuan utama kepada Ukraine turut bersuara paling lantang di arena antarabangsa dalam memberi kecaman dan amaran kepada Rusia. Selain itu pihak negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah mula menempatkan beberapa ribu anggotanya di negara-negara berjiran dengan Ukraine.

Tindakan mengiktiraf dua wilayah yang pro-Rusia sebagai negara merdeka telah mendapat reaksi segera dari negara-negara Eropah Barat dengan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan bahawa Britain akan mengenakan pelbagai sekatan terhadap Rusia.

Wakil blok 27 negara Eropah, European Commisioner for Justice menyatakan bahawa mereka akan bersidang dan membincangkan tindak balas dalam pelbagai bentuk terhadap Rusia seperti sekatan perjalanan terhadap individu tertentu, entiti ekonomi Rusia serta aset-aset di Eropah dan negara lain.

Untuk memahami kenapa Rusia bertindak menyokong negara pemberontak Donbass yang berisiko menjerumuskan Eropah ke dalam kancah konflik bersenjata dan kemungkinan Perang Dunia Ketiga memerlukan kefahaman kepada persepsi Rusia terhadap kedaulatannya.

Apabila Soviet Union dan Pakatan Warsaw bubar, negara-negara bekas blok Komunis Eropah Timur yang selepas Perang Dunia Kedua menjadi penampan kepada sempadan Rusia dari serangan langsung pihak NATO turut terungkai.

SIMPAN STOK NUKLEAR

Ukraine adalah negara yang mempunyai sempadan langsung dengan Rusia dan mampu menjadi kunci kepada kemaraan NATO sekiranya konflik bersenjata tercetus. Perang Dunia Kedua telah memberi pengajaran kepada Rusia bagaimana pihak Nazi telah melancarkan operasi menakluk Rusia dari arah Ukraine.

Kedudukannya begitu strategik kepada Rusia sehinggakan tanpa diketahui oleh kepimpinan politik Ukraine, sepanjang Perang Dingin, Soviet Union telah menyimpan sejumlah stok senjata nuklear yang besar jumlahnya di negara itu.

Pada tahun 1992, dunia mendapat tahu bahawa Ukraine adalah ‘negara’ ketiga paling banyak menyimpan senjata nuklear selepas Amerika Syarikat dan Soviet Union. Kesemua senjata ini kemudian dipindahkan semula ke Rusia apabila Ukraine diisytiharkan merdeka.

Rusia juga merasakan bahawa NATO telah memungkiri janji untuk tidak membenarkan negara-negara bekas Warsaw untuk menyertai NATO. Hari ini isu itu menjadi perdebatan antara NATO dan Putin.

Putin menyatakan bahawa secara lisan, pihak NATO pada tahun 1990 telah berjanji bahawa mereka tidak akan mengambil ahli dari negara-negara bekas blok Eropah Timur. Pada 1991 kenyataan ini diulang sekali lagi oleh Perdana Menteri Britain kepada Menteri Pertahanan Soviet Union.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sejak tahun 1997, sebanyak 14 buah negara bekas komunis atau Warsaw telah diterima oleh NATO sebagai ahli.

Keadaan ini membimbangkan Putin dan beliau telah bertegas bahawa Ukraine mestilah dilarang daripada menyertai NATO. Alasan beliau ialah Ukraine bakal menawan kembali Donbass dan kawasan yang dipertikai dengan bantuan NATO sekiranya ia menjadi sebahagian dari pakatan tersebut.

Antara kawasan pertikaian termasuklah isu Pulau Tuzla dan Selat Kerch, Laut Azov, Semenanjung Krimea dan tanah dataran Sarych.

Untuk meredakan keadaan, seharusnya pihak Eropah Barat dan Amerika Syarikat perlu memahami apa yang bermain dalam fikiran Putin. Keadaan di Ukraine sejak dari kemahuan kepimpinan politik mereka untuk merdeka, sebenarnya tidak kondusif kepada kestabilan Eropah sekiranya isu-isu tertentu tidak diselesaikan dahulu.

Perkara ini diperakui sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, George Bush pada tahun 1991 ketika mengadakan lawatan ke Ukraine.

Beliau memberi amaran kepada kepimpinan politik Ukraine ketika itu agar tidak terlalu bersifat pelampau nasionalis yang hanya bakal membakar diri. Sebaliknya tambah beliau mereka perlu kekal dalam negara Soviet Union. Kenyataan ini telah mendapat kecaman dari pelbagai strata politik negara itu.

REAKSI KETERLALUAN

Hari ini apa yang berlaku di Ukraine telah membuktikan kebenaran kata-kata Persiden Amerika tersebut. Kegagalan menyelesaikan isu etnik dan politik yang tidak stabil oleh kepimpinan politik Ukraine kini seakan mahu menarik seluruh Eropah ke kancah Perang Dunia yang baru.

Mungkin reaksi dari negara-negara NATO dan Eropah Barat juga boleh dianggap sebagai keterlaluan. Ini mungkin disebabkan krisis berlaku di belakang rumah sendiri dan bayang Soviet Union yang masih menghantui mereka walaupun telah berpuluh tahun negara tersebut dan Pakatan Warsaw terbubar.

Analogi boleh dibuat dengan keadaan atau konflik antara Arzebaijan dan Armenia apabila kedua-dua negara bertelagah mengenai siapa yang sepatutnya menguasai Nagorno Karabakh pada penghujung tahun 2021. Ia akhirnya ditentukan oleh konflik bersenjata dan tidak merebak ke negara lain. Selain itu tiada suara lantang dari Eropah Barat mahupun NATO.

Kali terakhir umum merasa kebimbangan apabila Amerika Syarikat dan Rusia mungkin terlibat dalam perang nuklear adalah dalam insiden yang dikenali sebagai Krisis Misil Cuba pada tahun 1962.

Insiden menyaksikan bagaimana Soviet Union telah memasang misil berkapasiti nuklear di Cuba yang hanya berada kurang 200 kilometer dari sempadan Amerika Syarikat.

Ancaman Krisis Misil Cuba ditamatkan melalui rundingan dan tolak ansur di peringkat tertinggi antara dua pihak. Kegagalan untuk berpijak di bumi nyata dan kecenderungan untuk mempertaruhkan keamanan benua Eropah hanya kerana dua wilayah di Ukraine mahu memerdekakan diri adalah satu taruhan yang tidak berbaloi.

Perkara ini sebenarnya telah terpahat dalam strategi geopolitik Eropah Barat dan dirasakan laungan oleh kepimpinan Eropah Barat hari ini lebih bersifat populis dan mahu dilihat sebagai pejuang kemerdekaan dan kebebasan serta demokrasi mengatasi sosialisme.

Apabila dentuman bom dan roket mula kedengaran di belakang rumah, lazimnya logik akan mengatasi segala-galanya.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca