SHAH ALAM - Konflik yang melibatkan Rusia dan Ukraine turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar Malaysia yang kini sedang menuntut di Rusia. Perkara itu diakui sendiri oleh Aisyah Nursyaza Anuar, 24, yang ketika ini sedang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Konflik yang melibatkan Rusia dan Ukraine turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar Malaysia yang kini sedang menuntut di Rusia.

Perkara itu diakui sendiri oleh Aisyah Nursyaza Anuar, 24, yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Perubatan Negeri Kursk sejak lima tahun lalu.

Aisyah Nursyaza Anuar, 24

Katanya, dia sedar akan insiden yang berlaku antara kedua-dua negara Eropah berkenaan, malah menimbulkan sedikit kebimbangan terutama dari segi keselamatan.

"Serba sedikit mencetuskan kebimbangan bila tahu tentang konflik yang berlaku kerana ia melibatkan dua negara besar di Eropah.

"Kadang-kadang saya tak sempat nak baca berita semasa, tetapi bila keluarga bertanyakan keadaan di sini dan menyatakan konflik tersebut semakin besar, ia membuatkan saya menjadi semakin bimbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Isnin, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah di Timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah, Donetsk dan Lugansk.

Putin dilapor mengarahkan tentera Rusia melancarkan operasi mengekalkan keamanan di kawasan itu dengan mempercepatkan krisis yang dikhuatiri Barat boleh mencetuskan perang besar.

Bagaimanapun, Aisyah Nursyaza yang berasal dari Padang Temu, Melaka berkata, keadaan di Kursk ketika ini masih lagi terkawal dan tidak terfikir mahu pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat.

"Alhamdulillah semuanya normal dan berada dalam keadaan terkawal. Masih lagi rasa selamat. Jadi, buat masa sekarang tidak lagi rasa mahu pulang ke Malaysia, memandangkan pengajian saya berakhir bulan Jun tahun depan.

"Cuma, kalau apa-apa terjadi dan keadaan semakin tidak baik, saya akan balik ke Malaysia demi keselamatan,” ujar Aisyah Nursyaza.

Sementara itu, seorang lagi pelajar dari Universiti Perubatan Negeri Volgograd, Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, 20, pula berkata, walaupun bimbang dengan konflik yang berlaku di kedua-dua negara tersebut, namun dia percaya bahawa kedutaan Malaysia di Moscow, Rusia akan memaklumkan perkembangan dari masa ke masa.

Ahmad Ashraff Haiqal

"Jadi saya rasa selamat dan tidak terlalu risau. Sebaliknya, jika situasi bertukar menjadi serius, saya akan segera pulang ke Malaysia.

"Tetapi setakat ini tiada lagi arahan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air,” katanya yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Ahmad Ashraff Haiqal merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang perubatan dan bakal menamatkan pengajian di sana pada tahun 2025.

Klik di sini untuk terus membaca