SEJAK tahun 2017, Atan ketagih dadah ice dan mencederakan isterinya, Mawar sehingga parah sebanyak dua kali. Kali pertama, Mawar dipatahkan tangan dan kakinya. Kali kedua, Atan memukul kepala Mawar dengan tukul sehingga menerima 27 jahitan... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK tahun 2017, Atan ketagih dadah ice dan mencederakan isterinya, Mawar sehingga parah sebanyak dua kali. Kali pertama, Mawar dipatahkan tangan dan kakinya. Kali kedua, Atan memukul kepala Mawar dengan tukul sehingga menerima 27 jahitan dan mematahkan kaki isterinya itu sekali lagi.

Selepas insiden kedua, Mawar mencari perlindungan di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu wanita didera. NGO itu kemudian membantunya mendapat pekerjaan sebagai tukang masak di Pahang. Mawar berhasrat menyimpan wang untuk hidup bersama anak-anaknya.

Mawar berjaya mendapat hak jagaan sementara pada Julai 2019. Tidak lama kemudian, dia turut memohon penceraian. Ketika itu, Atan telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun di Kelantan kerana kes dadah.

Akan tetapi, Mawar tidak dapat mencari ketiga-tiga anaknya yang disorokkan keluarga suaminya. Usahanya tersekat oleh larangan merentas negeri dalam tahun 2020 dan 2021.

Akhirnya dia mendapat cerita bahawa anak-anaknya telah diletakkan di bawah penjagaan sebuah NGO dakwah agama asing dan dimurtadkan.

Cerita di atas adalah kisah benar kecuali nama individu ditukar – Mawar sebenarnya ialah Loh Siew Hong dan Atan ialah Nagahswaran - supaya pembaca boleh menilai peristiwa ini tanpa terpengaruh dengan mana-mana perspektif yang sudah menular di media sosial.

Polemik hak jagaan anak Loh membawa dua soalan pokok. Yang pertama, patutkah tali kekeluargaan diputuskan kerana perbezaan agama? Dalam sejarah Islam, kita diajar bahawa Rasulullah amat sayang bapa saudaranya, Abu Talib yang melindungi baginda daripada pelbagai ancaman di Makkah tetapi tidak memeluk Islam sampai akhir hayatnya.

Yang kedua, Mahkamah Persekutuan telah membuat pentafsiran sahih terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam kes Indira Gandhi bahawa penukaran agama anak di bawah 18 tahun tidak boleh berlaku tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa. Patutkah keluhuran perlembagaan dibelakangkan?

Ada rakan Muslim yang berpendapat bahawa umat Islam mesti mempertahankan pengislaman seseorang sekalipun ia salah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Seolah-olah pengislaman seseorang itu akan gagal tanpa bantuan manusia. Ini mengelirukan saya sebagai seorang bukan Muslim.

Tidakkah ini bercanggah dengan pegangan Muslim bahawa hidayah itu hak ALLAH. Kalau diingini ALLAH, tiada siapa yang akan gagal menerima hidayah Islam.

Apa yang dapat menghalang anak-anak Loh memeluk Islam apabila mereka genap 18 tahun, sekalipun kedudukan agama asal, Hindu dipulihkan sekarang? Sebaliknya, tidakkah memisahkan anak daripada ibunya hanya akan menjauhkan bukan saja anak-anak Loh tetapi juga orang lain daripada Islam?

Jangan termakan propaganda bahawa orang bukan Muslim sentiasa ingin mencabar atau melemahkan Islam. Ingat, nenek Chee Hoi Lam di Kuala Lumpur yang membesarkan Rohana Abdullah, juga datuk Lim Peng Chik di Ipoh dan cikgu Connie Wong di Kota Kinabalu yang juga membesarkan beberapa orang anak Muslim. Mereka dikagumi dan dihormati kerana mengasuh anak Muslim tanpa menukar agama mereka.

Jika Muslim sebagai kaum majoriti dua pertiga di tanah air mengambil pendekatan sama dalam mengutamakan kasih sayang kekeluargaan, bukan saja mereka akan dikagumi dan dihormati, malah Islam juga akan senang didampingi.

Sememangnya isu ini sensitif, tetapi itu bukan dalihnya rakyat Malaysia pelbagai kaum tidak boleh bertindak secara munasabah, berempati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Lukisan lama jangan dipadam,

Hutang lama jangan dikira,

Semua manusia zuriat Adam,

Lain agama tetap saudara.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca