SELALUNYA apabila sesuatu musibah melanda mana-mana negara, tidak kira sama ada pandemik Covid-19, bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh dan banjir, kita akan mendengar pihak kerajaan mengarahkan satu kajian saintifik dilaksanakan... Klik di sini untuk terus membaca

SELALUNYA apabila sesuatu musibah melanda mana-mana negara, tidak kira sama ada pandemik Covid-19, bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh dan banjir, kita akan mendengar pihak kerajaan mengarahkan satu kajian saintifik dilaksanakan segera.

Kajian ini penting untuk melihat puncanya daripada sudut sains, tetapi kita jarang sekali menilai dan mengkaji impak sosial ke atas manusia yang ditimpa musibah tersebut. Sedangkan itu akan membantu kita memahami keperluan sebenar mangsa.

Kegagalan mengkaji dan memahami impak kepada masyarakat boleh menyebabkan kita memberi salah ubat untuk penyakit yang tidak wujud. Dikhuatiri menjadi satu lumrah kerana semua individu yang berada pada kedudukan penting selalu merasakan mereka mempunyai solusi terhadap semua masalah tanpa memerlukan sebarang bukti empirikal.

Pada hemat saya, inilah yang menambahkan tragedi kepada apa juga bencana atau musibah yang melanda negara. Sedangkan dalam ilmu sains sosial atau sains kemasyarakatan, ia juga menggunakan kaedah saintifik tetapi untuk mengkaji bidang kemanusiaan.

Bidang sains sosial merangkumi pelbagai aliran ilmu; antaranya ilmu antropologi, ekonomi, linguistik, psikologi, sosiologi, pendidikan dan komunikasi. Melalui semua aliran ilmu ini sekiranya digunakan dengan baik membantu kita mendalami dan memahami sesuatu perkara lebih menyeluruh.

Sebagai contoh, dalam konteks menangani Covid-19, sekiranya pakar ekonomi melihat daripada sudut ekonomi, ahli sosiologi membuat penelitian daripada sudut sosiologi, ahli antropologi pula mengkaji aspek budaya dalam pelbagai masyarakat Malaysia dalam menghadapi pandemik ini, ahli psikologi pula memberi perhatian kepada masalah kemurungan dan tekanan.

Saya pasti satu dasar lebih baik untuk membantu rakyat akan dapat dihasilkan kerana semua aspek tersebut mempunyai korelasi dengan apa yang menimpa masyarakat.

Malah, penyelidikan seperti ini tidak perlu menunggu sesuatu musibah melanda negara untuk dibuat kajian. Kerajaan perlu menggalakkan dan memperuntukkan dana secukupnya untuk penyelidikan dalam bidang sains sosial.

Ini juga dapat mengelakkan spekulasi dan tohmahan yang sering dijadikan bahan menggembar-gemburkan keadaan dalam negara yang hujungnya menimbulkan keributan kepada perkara tidak wujud.

Bayangkan kalau ada pelabur yang berminat untuk melabur di Malaysia sekiranya hanya berpandukan kepada indeks antarabangsa dan laporan-laporan media luar negara yang kemungkinan tidak tepat, sudah tentu ia tidak membantu mereka membuat keputusan yang memihak kepada Malaysia.

Tetapi apa pilihan kita pada ketika pelbagai laporan mengenai masalah rasuah yang melanda negara, ada pihak masih beranggapan usaha melengahkan penyediaan akta dana politik untuk Malaysia tidak ada kena-mengena dengan persepsi buruk menimpa kita. Kalau mereka merasakan perkara itu penting, sudah lama ia dilaksanakan.

Kefahaman yang salah seperti ini perlu diperbetulkan dengan bukti-bukti hasil kajian agar imej negara kita tidak terus dimomokkan di mata dunia.

Inilah antara usaha sedang diambil oleh Pusat Jaringan Global Pengajian Malaysia (GMSN) di Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjalinkan kerjasama bersama beberapa universiti luar negara; antaranya Universiti Kebangsaan Australia, Universiti Ohio, Universiti Goethe Frankfurt, Universiti Pennsylvania, Universiti Moscow dan Universiti Cambridge.

Selain melaksanakan penyelidikan melalui program pasca kedoktoran di universiti-universiti luar negara ini, GMSN juga telah membina satu pangkalan data menghimpunkan ahli akademik yang banyak menulis dan mengkaji tentang Malaysia.

Sebuah bibliografi himpunan tulisan ahli-ahli akademik dikenali sebagai Malaysianist akan diterbitkan tidak lama lagi sebagai usaha membantu masyarakat dalam negara dan pengkaji di luar untuk mengenali serta memahami Malaysia secara lebih adil.

Semoga usaha murni ini akan diberkati.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca