EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) sedang melabur wang bagi mencipta dron, robot dan senjata-senjata yang tidak menggunakan tenaga manusia secara langsung dalam satu sistem peperangan baharu. Sistem peperangan baharu itu menjadi keutamaan selepas... Klik di sini untuk terus membaca

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) sedang melabur wang bagi mencipta dron, robot dan senjata-senjata yang tidak menggunakan tenaga manusia secara langsung dalam satu sistem peperangan baharu.

Sistem peperangan baharu itu menjadi keutamaan selepas UAE diserang dron-dron oleh kumpulan pemberontak dari Yemen, Huthi yang disokong oleh Iran baru-baru ini.

Ia dikenali sebagai sistem senjata yang telah diprogramkan terlebih dahulu bagi mencari sasaran untuk dimusnahkan tanpa penglibatan askar-askar di lokasi kejadian.

Pada 17 Januari lalu, kumpulan pemberontak dari Yemen melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyebabkan tiga orang pekerja minyak warga asing di Abu Dhabi, UAE terbunuh.

Justeru, sebuah konsortium senjata di negara beraja itu yang dikenali sebagai EDGE melaburkan sejumlah wang untuk menghasilkan peralatan senjata pintar bagi menghadapi peperangan dalam bentuk baharu itu.

"Sistem senjata autonomi semakin banyak digunakan di seluruh dunia," kata Miles Chambers yang merupakan pengarah pembangunan perniagaan antarabangsa EDGE ketika memberitahu AFP baru-baru ini.

Menurut Chambers, pihaknya telah banyak membuat pelaburan yang besar dalam membangunkan keupayaan sistem senjata itu termasuk dalam peperangan elektronik dan peluru pintar.

"Ini adalah tiga tonggak kami," ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Konsortium pertahanan itu yang berpangkalan di Abu Dhabi yang mengumpulkan sebanyak 25 firma di UAE telah ditubuhkan sejak tiga tahun lalu tetapi mempunyai jualan senjata dianggarkan berjumlah AS$4.8 bilion (RM20.09 bilion) pada tahun 2020.

Ia menduduki tempat yang ke-23 dalam kalangan 100 pengeluar senjata dan perkhidmatan ketenteraan terkemuka di seluruh dunia pada tahun 2020, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm.

UAE adalah sebahagian daripada pakatan ketenteraan yang diketuai oleh Arab Saudi bagi memerangi pemberontak Huthi Yemen sejak tahun 2015.

Pakatan ketenteraan itu menyokong kerajaan Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansur Hadi yang juga mendapat sokongan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas negara berkenaan terlibat dalam konflik politik dalaman.

Peralatan senjata kawalan jauh merupakan satu ciri peperangan pintar. - Foto AFP

Walaupun UAE menarik balik tentera daratnya daripada pertempuran dengan kumpulan Huthi pada tahun 2019, ia kekal menjadi 'pemain' utama dalam konflik yang meruncing itu.

Urus niaga EDGE yang paling menguntungkan adalah termasuk penyelenggaraan jet-jet tentera bernilai hampir AS$4 bilion (RM16.74 bilion) serta menyediakan peluru berpandu pada harga AS$880 juta (RM3.6 bilion).

Pada Selasa, ia melancarkan raifal serangan kawalan jauh yang dipasang pada kenderaan dan boleh berpusing pada kedudukan 360 darjah dan mempunyai pengimejan terma serta pencari julat laser tepat sehingga 50 sentimeter untuk sasaran lebih dua kilometer jauhnya.

EDGE sedang melihat untuk memperluaskan operasi antarabangsa pada tahun 2022, kata Chambers.

Pada minggu ini, dron besar berwarna hitam dengan logo konsortium senjata UAE itu yang berwarna oren dipamerkan di Pameran Sistem Tanpa Pemandu (UMEX) bersama-sama dengan mesingan kawalan jauh dan senjata pintar lain.

Penggunaan dron dan senjata-senjata pintar telah semakin menjadi trend di dunia.

Pada tahun lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyatakan sebuah dron Iran menyerang sebuah kapal yang diuruskan oleh bilionair Israel ketika ia belayar di luar pantai Oman.

Dua anak kapal itu terbunuh.

Pada bulan November tahun lalu, Perdana Menteri Iraq, Mustafa Al-Kadhimi terselamat daripada serangan dron yang membawa bom dan menurut laporan, pembunuhan seorang saintis nuklear terkemuka Iran yang didakwa dilakukan oleh Israel pada tahun 2020 dipercayai telah menggunakan mesingan kawalan jauh yang dipasang pada trak pikap.

Penggunaan dron juga digemari oleh kumpulan pemberontak Huthi.

Pada Disember tahun lalu, tentera pakatan menyatakan bahawa pihak pemberontak telah melancarkan lebih 850 dron serangan dan 400 peluru berpandu balistik ke Arab Saudi dalam tempoh tujuh tahun lalu sehingga menyebabkan 59 orang awam terkorban.

Sebanyak 401 serbuan udara pakatan ketenteraan dilakukan pada Januari lalu ke atas Yemen, menurut Projek Data Yemen iaitu sebuah pertubuhan bebas yang melaporkan kira-kira 9,000 kematian orang awam sejak tahun 2015.

Ahmed Al Mazrouei iaitu pemilik sebuah syarikat UAE yang kebanyakannya membangunkan kenderaan pacuan empat roda dan pengangkutan ketenteraan berkata, industri pertahanan UAE bersedia untuk membuat perubahan susulan serangan ke atas Abu Dhabi.

"Cabaran itu penting kerana ia mendorong kita untuk melakukan kemajuan bagi menghadapi cabaran. Matlamat kami adalah untuk mempunyai lebih banyak sistem dan lebih banyak teknologi," tambah Mazrouei.

EDGE telah menandatangani beberapa perjanjian dengan rakan kongsi asing termasuk firma AS, Lockheed Martin dan Raytheon serta Embraer dari Brazil pada tahun lalu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca