Si jejaka kemudiannya membeli sejambak bunga mawar buat sang kekasih untuk memujuknya dan berakhirlah kisah duka merpati dua sejoli itu. Mat Taici akui agak cemburu juga dengan adegan tersebut maklumlah diri ini belum menjumpai pasangan sehidup semati.
Dalam masa yang sama, Mat Taici terfikir, senang juga ‘mendiamkan’ wanita yang sedang merajuk ini. Beli sahaja apa yang mereka suka, pasti hati akan terpujuk dan mengikuti segala kehendak si jejaka.
Itu baru bunga dan belum lagi dicurahkan intan berlian serta wang ringgit di depan mata. Silap-silap bau kentut pun dikatakan harum semerbak kasturi.
Malas memikirkan kejadian semalam, Mat Taici pun bukalah media sosial untuk mengetahui isu semasa dan Mat Taici amat tertarik pada satu isu hangat ini apabila seorang kekasih meminta rumah banglo bernilai lebih RM40 juta untuk tutup mulut.
Teman wanitanya itu dikatakan pernah menjalinkan hubungan dengan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dari tahun 2003 hingga 2013.
Pada 2018, Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bersetuju untuk bekerjasama membantu siasatan kerajaan.
Leissner kemudian mengakui bahawa beliau telah menggunakan AS$10 juta (RM41.8 juta) wang 1MDB untuk membeli sebuah rumah banglo di London untuk kekasihnya pada tahun 2013.
Leissner yang juga merupakan saksi utama perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, mendakwa beliau memberi Banglo mewah buat bekas kekasihnya itu selepas dia mengugut mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.
Katanya, bekas kekasihnya itu tidak gembira dengan keputusan Leissner untuk menamatkan hubungan mereka bagi membolehkan dia bersama dengan bakal isteri iaitu bekas model antarabangsa terkenal, Kimora Lee Simmons.
Pengakuan Leissner ini secara tak langsung sudah membuktikan terdapat unsur rasuah yang berlaku dan siasatan segera perlu dilaksanakan kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC).
Bayangkanlah itu baru satu Banglo yang didedahkan jumlah sehingga puluhan juta ringgit. Bagi Mat Taici sekiranya betul dana itu telah disalah guna, maka pemiliknya perlu mengembalikan wang atau rumah tersebut kepada Malaysia.
Mat Taici juga lihat rata-rata netizen di Twitter sangat geram dan marah dengan pendedahan ini dan tidak kurang juga ada yang memerli sekurang-kurangnya sesiapa yang bersubahat dengan 1MDB boleh mendapat habuan sehingga RM40 juta namun penyokong tegar yang bermatian-matian mempertahankan ‘si pesalah’ itu tidak mendapat apa apa.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, setakat pertengahan 2021, hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion.
Tahun ini kerajaan harus membayar dalam RM16 billion hutang 1MDB dan perkara ini amat dikesali apabila Mat Taici memikirkan berapa banyak hospital dan kos rawatan boleh digunakan dengan wang tersebut terutamanya apabila Kes Covid-19 mencanak naik baru-baru ini.
Seorang netizen Twitter yang dikenali sebagai Laga Cawan juga menggambarkan kekecewaannya dengan kenyataan memeritkan apabila jumlah hutang 1MDB yang perlu dibayar kerajaan pada tahun 2022 adalah lebih daripada jumlah yang telah dibayar sejak tahun 2017 hingga 2021.
Kalau begini mungkin sampai tahun 2039 pun kita harus menanggung beban hutang tersebut.
Pss: Ada kawan-kawan nak bagi tahu skandal mereka tak? Boleh Mat Taici ‘claim’ rumah sebagai cagaran... Klik di sini untuk terus membaca