SHAH ALAM - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa menegaskan DUN itu bukan milik mana-mana parti sehingga dipilih oleh rakyat Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa menegaskan DUN itu bukan milik mana-mana parti sehingga dipilih oleh rakyat Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan.

Amira Aisya Abd Aziz yang juga Setiausaha Agung Muda merupakan calon pertama Muda yang diletakkan di kerusi tersebut.

"Bagi saya kerusi ini bukan milik mana-mana parti terutamanya apabila DUN sudah dibubarkan kerana Puteri Wangsa milik rakyat Puteri Wangsa.

"Rundingan kerusi itu dijalankan pada asalnya antara keempat-empat parti iaitu Amanah, DAP, PKR dan Muda dan semua bersetuju setiap parti di dalam Pakatan Harapan (PH) boleh berunding terus dengan Muda tentang kerusi mana yang perlu diagihkan,” katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini, wakil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan tidak berpuas hati dan kecewa apabila Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kerusi mudah menang itu kepada Muda.

Amira Aisya menambah, dia tidak menafikan kerusi itu sebagai ‘safe seat’ di pihak pembangkang namun tidak bersetuju dengan pihak yang mengambil mudah kerana menganggap kerusi itu sebagai kerusi mudah menang.

"Saya tidak menafikan kerusi DUN Puteri Wangsa adalah kerusi pembangkang berdasarkan tren kemenangan sebelum ini berbanding kerusi-kerusi lain. Namun, saya tidak setuju dengan tanggapan sekiranya itu kerusi mudah, kita tidak perlu bersusah payah membuat kerja.

"Kita harus ingat bahawa apa sahaja kemungkinan boleh berlaku pada masa yang singkat oleh kerana keadaan politik semasa yang sangat fleksibel dan menarik. Oleh itu, saya rasa kita tidak boleh ambil mudah mana-mana kerusi sekalipun,” katanya.

AMIRA AISYA


Sebelum ini, Ketua Wanita Keadilan Johor, Napsiah Khamis Maharan yang dikatakan sebagai calon pilihan pernah menyifatkan tindakan Amanah sebagai satu pengkhianatan dengan tanggapan kerusi itu patut dipertahankan di atas tiket Amanah yang diberikan sebelum ini atas kesepakatan rakan lama dalam PH.

Amira Aisya mendakwa, Muda telah menjalani proses rundingan tersebut dan apabila proses itu telah selesai dan muktamad, dia berharap agar semua pihak dapat menghormati keputusan yang telah dibuat.

"Saya berharap kita semua dapat ketepikan perbezaan pendapat dan terus jalan ke hadapan untuk fokus kepada isu-isu dasar dan perjuangan kita dalam PRN Johor.

"Apabila parti Amanah memberi peluang untuk bertanding di sini, kita buat sebaik mungkin dan kita biarkan rakyat yang memutuskan sama ada mereka mahu kita berada di sini atau tidak,” katanya.

Amira turut meluahkan rasa bersyukur apabila namanya dipilih oleh parti sebagai calon pertama Muda bagi PRN Johor tahun ini yang juga pertama kali parti itu layak bertanding.

"Saya bersyukur apabila diberikan tanggungjawab untuk memegang kerusi Puteri Wangsa walaupun ramai yang mengatakan kerusi ini merupakan kerusi mudah namun amanah ini semestinya bukan sesuatu yang mudah bagi saya.

"Untuk memenangi undi dan hati rakyat, kami perlu memberikan yang terbaik dan yakinkan rakyat tentang perubahan yang ingin dibawa,” katanya. Klik di sini untuk terus membaca