SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac depan sukar diramal kerana banyak parti politik berlumba-lumba bertanding.
Penganalisis politik, Amir Fareed Rahim berkata, situasi PRN Johor sangat berbeza dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di mana ketika itu dua parti utama yang bertanding adalah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, keadaan itu menjadikan PRN Johor sebagai satu pilihan raya yang sangat menarik.
"Sekarang ada 2.5 juta pengundi di Johor dan 750,000 daripadanya adalah pengundi pertama kali termasuk 150,000 pengundi berusia 18 ke 20 tahun.
"Tidak ada siapa yang boleh ramalkan pengundi baharu itu akan undi parti mana," katanya selaku panelis pada Wacana 'English Edition' bertajuk 'Johor Polls: Emergence Of A New Power' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Khamis.
Dua lagi penalis yang bergandingan bersama Amir adalah Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr Thanussha Francis Xavier sementara Tehmina Kaoosji bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Amir menjelaskan, impikasi penyertaan banyak parti politik itu adalah kepada pengundi kerana mereka mempunyai banyak pilihan dan kemungkinan pilihan yang terlalu banyak itu akan mengelirukan mereka untuk membuat keputusan.
Tegasnya, PRN Johor juga tidak boleh disamakan dengan PRN Melaka kerana ia sebenarnya berlainan.
"Ramai orang cakap trend atau momentumnya akan sama seperti di Melaka tetapi hakikatnya Melaka lebih kecil dari Johor dan berbeza dari segi demografi terutama dari segi jumlah pengundi dan ia belum termasuk dari segi pengundi muda atau Undi 18," jelasnya.
Oleh itu, katanya, setiap parti politik perlu agresif memperkenalkan calon masing-masing di platform yang menjadi tumpuan anak muda dan perlu mempunyai manifesto yang memenuhi kehendak pengundi terutama golongan muda.
Dari segi platform untuk memperkenalkan calon dan menyebarkan manifesto kepada pengundi di bandar dan luar bandar, Amir mencadangkan agar parti politik menggunakan aplikasi Tik Tok yang sangat dekat di hati anak muda ketika ini.
Menurutnya, dua kumpulan umur utama yang menggunakan aplikasi Tik Tok adalah yang berusia 18 hingga 25 tahun dan 16 tahun ke atas.
"Tik Tok mengandungi video menarik, tiada teks yang sarat seperti portal berita. Sebab itu saya rasa ia adalah medium paling efektif ketika ini untuk berinteraksi dengan pengundi serta untuk menyebarkan tentang polisi dan manifesto mereka.
"Dengan penggunaan medium ini, capaian juga meluas kerana penggunanya terdiri daripada masyarakat bandar dan luar bandar," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca