SHAH ALAM - Untuk mewujudkan kestabilan politik, pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak semestinya perlu memilih parti yang sama dan calon muka lama.
Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr Thanussha Francis Xavier berkata, kestabilan yang sebenar adalah memiliki kerajaan yang memahami kehendak rakyat.
"Pada saya kestabilan adalah memiliki kerajaan negeri atau kerajaan pusat yang boleh bantu rakyat ketika diperlukan terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.
"Misalnya kalau saya ada masalah dengan pinjaman bank dan pembelajaran dalam talian, kerajaan boleh bantu," katanya selaku panelis pada Wacana 'English Edition' bertajuk 'Johor Polls: Emergence Of A New Power' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Khamis.
Dua lagi panelis yang bergandingan bersama Thanussha adalah Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan penganalisis politik, Amir Fareed Rahim sementara Tehmina Kaoosji bertindak sebagai moderator.
Berikutan itu, Thanussha meminta pengundi dalam PRN Johor nanti memilih pemimpin yang boleh bekerja untuk rakyat.
"Pengundi Johor buatlah pilihan bijak dan tidak mengundi berdasarkan kesetiaan kepada parti semata-mata," katanya.
Sementara itu, menurutnya, sebagai strategi menambat hati golongan muda dalam PRN Johor, Muda mencalonkan ramai calon muda dan muka-muka baharu.
"Barisan calon kami semuanya segar dan berbeza (dengan calon parti lain). Kami tonjolkan calon pelbagai kaum dan calon-calon wanita," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca