AKHBAR Sinar Harian baru-baru ini melaporkan ketagihan bahan pornografi yang membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
Tabiat itu bukan sahaja membawa kepada perbuatan jenayah seksual, malah mencemar minda khususnya kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Lebih mengejutkan, terdapat kes budak lelaki berusia tujuh tahun menjadi pelaku seksual apabila bertindak merogol rakan perempuan yang berusia enam tahun gara-gara ketagihan bahan lucah di media sosial.
Hakikat ada anak kecil sudah ketagih menonton video lucah adalah hal yang menggerunkan kita. Ia memberi isyarat bagai ada yang tidak kena dengan masyarakat hari ini.
Malaysia sebuah negara majoriti penduduk beragama Islam tetapi menjuarai carta penonton video lucah di Asia. Begitulah statistiknya.
Bahkan trafik pornografi di Malaysia dilaporkan meningkat sehingga 84 peratus sepanjang wabak Covid-19, keempat tertinggi di dunia selepas Slovakia, Bulgaria dan Ireland.
Saintis mengatakan ketagihan adalah sejenis gangguan otak yang menginginkan suatu rangsangan meskipun mendatangkan keburukan.
Pornografi bukanlah satu-satunya, tetapi banyak lagi jenis ketagihan yang boleh merosakkan minda, kesihatan dan kewangan seseorang.
- Dadah: Ketagihan dadah paling banyak membawa maut sehingga hari ini. Dadah merosakkan struktur otak. Lebih lima peratus populasi dunia didapati menggunakan dadah terlarang.
Tahun lalu di Seremban, Negeri Sembilan, seorang kanak-kanak tiga tahun dilaporkan ‘ketagih’ dadah angkara bapa tiri.
- Alkohol: Banyak kes pemandu mabuk di negara kita adalah disebabkan ketagihan alkohol. Pengambilan berlebihan menjadi salah satu punca penyakit berkaitan hati, sistem saraf, perut dan jantung.
Menurut Cleveland Clinic, 14.5 juta rakyat Amerika Syarikat seawal usia 12 tahun ketagih minuman keras.
- Merokok: Salah satu ketagihan paling bahaya di dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih tujuh juta populasi Malaysia adalah perokok.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang pernah mendedahkan ada kanak-kanak berusia lapan tahun di negara ini sudah pandai menghisap rokok.
- Judi: Lelaki dikatakan lebih cenderung mengalami ketagihan judi berbanding wanita. Kanak-kanak pula mudah terdedah kepada judi online yang semakin menjadi ancaman.
Ada juga kes kanak-kanak berumur 10 tahun ditahan polis kerana dibawa ibu bapanya yang datang bermain judi tanpa lesen.
- Seks/Pornografi: Di Amerika Syarikat sahaja lebih 40 juta orang dewasa melayari laman web pornografi sekurang-kurangnya selama 12 jam seminggu.
Pornografi juga dikaitkan dengan ketagihan seks, depresi, gangguan emosi, penggunaan dadah, masalah ingatan dan mati pucuk.
- Gajet: Kanak-kanak adalah antara kumpulan yang ramai terlibat. Kalau melihat telefon adalah perkara terakhir anda lakukan sebelum tidur dan perkara pertama dilihat selepas bangun, ia salah satu tanda anda ketagih gajet.
Simptom lain ialah terus capai telefon bila dapat notifikasi dan gelisah kalau tak dapat akses ke media sosial. Ketagih gajet dan internet berpotensi merosakkan keupayaan mental seseorang.
Keinginan melampau terhadap sesuatu mungkin dianggap normal dalam kalangan orang dewasa, tetapi tidak bagi budak tujuh tahun ketagih pornografi.
Bayangkan kesan ke atas perkembangan minda dan dirinya. Perkara ini harus ditangani sebelum bertambah parah.
Kita harus mengambil iktibar daripada betapa susahnya untuk membuang ketagihan merokok.
Baru-baru ini ada usaha untuk melarang penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas tahun 2005. Namun ada orang merasakan ia mustahil dilakukan.
Larangan merokok di kedai makan pun orang tak patuh, adakah usaha ini akan diambil serius oleh orang ramai?
Tetapi tentu saja mencegah lebih baik daripada mengubati.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca