DARI Chechnya ke Syria, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah terlibat dalam rentetan mengenai peperangan sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991.
Selepas beberapa bulan ketegangan yang memuncak sejak tahun lalu, Putin mengarahkan tenteranya untuk menyerang Ukraine pada awal pagi Khamis.
Ia dilakukan selepas beliau mengiktiraf Republik Donetsk dan Lugansk.
Rusia telah mengumpulkan lebih 150,000 askar di sepanjang sempadan Ukraine, menurut Washington serta Kiev dan terdapat kira-kira sehingga 190,000 anggota pemisah pro-Rusia di negara tersebut.
Ketika menjadi Perdana Menteri Rusia pada tahun 1999, Putin terlibat dalam peperangan di Chechnya pada Oktober tahun tersebut.
Ketika Rusia terlibat dalam peperangan di Chechnya itu, Boris Yeltsin menjadi Presiden Rusia tetapi beliau meletakkan jawatan pada Disember 1999 dan jawatan tersebut dipangku oleh Putin sehingga 7 Mei 2008.
Pada mulanya, Rusia menghantar tentera ke Chechnya pada akhir tahun 1994 selepas bertolak ansur tentang pengisytiharan kemerdekaannya dari Rusia pada tahun 1993.
Bagaimanapun, penghantaran tentera Rusia ke republik itu dilakukan pada Oktober melalui operasi antipengganas sebagai tindak balas kepada serangan maut di Rusia yang dipersalahkan oleh Moscow ke atas sebahagian penduduk Chechen dan serangan oleh kumpulan pemisahnya ke atas Republik Daghestan yang juga dikuasai Rusia yang berjiran dengan Chechnya.
Pada Februari 2000, tentera Rusia menawan semula ibu kota Chechnya, Grozny dan memusnahkannya dengan artileri serta serangan udara.
Namun, pada tahun 2009, Moscow menamatkan operasinya selepas puluhan ribu orang mati dalam konflik di Chechnya.
Pada 8 Ogos 2008, tentera Rusia menceroboh negara Georgia.
Rusia menyerang Georgia ketika Putin menjadi Perdana Menteri dan Dmitry Medvedev merupakan Presidennya.
Ia diserang selepas Presiden Georgia, Mikheil Saakashvili menghantar tentera ke wilayah Ossetia Selatan yang merupakan kubu kuat kumpulan pemisah yang anti-Georgia.
Dalam konflik itu, Rusia dan Georgia terlibat dalam peperangan selama lima hari.
Pada malam 7 hingga 8 Ogos, tentera Georgia melancarkan serangan maut untuk menguasai semula Ossetia Selatan daripada kumpulan pemisah tetapi Rusia segera menghantar tenteranya ke wilayah Georgia yang menyebabkan kekalahan besar negara bekas Kesatuan Soviet itu.
Selepas peperangan itu berakhir, Georgia kehilangan Ossetia Selatan dan Abkhazia iaitu sebuah lagi wilayah kumpulan pemisah anti-Georgia.
Ketika Putin menjadi Presiden Rusia, beliau terlibat dalam konflik di Ukraine selepas tercetusnya revolusi pro-Kesatuan Eropah (EU) di negara tersebut yang menyebabkan Presiden yang pro-Moscow, Viktor Yanukovych tersingkir daripada jawatannya.
Rusia kemudian bertindak menceroboh Semenanjung Crimea yang berjiran dengan Ukraine dan menjadikannya sebagai wilayahnya namun tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Kumpulan pemisah pro-Moscow kemudian muncul di wilayah Donetsk dan Lugansk di Ukraine timur di sempadan Rusia.
Kedua-dua wilayah tersebut mengisytiharkan kemerdekaan dan melancarkan konflik bersenjata yang sengit ke atas pemerintahan pusat Ukraine.
Namun, Ukraine dan Barat menyatakan bahawa Rusia menghasut kebangkitan penduduk anti-Kiev di Ukraine timur malah didakwa menghantar senjata serta tentera melintasi sempadan untuk menguatkan mereka.
Bagaimanapun, Moscow menafikan tuduhan itu sambil mengakui kehadiran sukarelawan Rusia.
Konflik itu sebahagian besarnya telah reda sejak tahun 2015 ekoran persetujuan pelaksanaan Perjanjian Damai Minsk.
Namun, sejak akhir 2021, Rusia telah meningkatkan gerakan ketenteraan melalui udara, darat dan laut serta menempatkan lebih 140,000 askar di sempadannya.
Pada Isnin lalu, Putin mengiktiraf kemerdekaan dua republik pemisah itu dan mengarahkan tenteranya untuk ditempatkan di sana.
Namun, pada awal Khamis, Rusia menyerang Ukraine atas alasan melakukan satu operasi ketenteraan di Ukraine untuk melindungi orang awam.
Serangan itu dilakukan selepas Rusia meminta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak lagi menerima anggota baharu dari negara-negara bekas Kesatuan Soviet bagi menyertai NATO.
Konflik di Ukraine telah menyebabkan lebih 14,000 maut sejak tahun 2014.
Ketika Putin menjadi Presiden, Rusia turut terlibat dalam konflik di Syria.
Rusia mengerahkan tenteranya ke Syria pada tahun 2015 yang dilanda dengan peperangan saudara pada tahun 2011 dengan menyokong tentera Presiden Bashar al-Assad.
Campur tangan Rusia, terutamanya dengan kekuatan tentera udaranya telah mengubah perjalanan konflik di Syria apabila ia memihak kepada Assad.
Tindakan campur tangan itu juga membolehkan rejim Damsyik mencatatkan kemenangan dengan merampas kembali wilayah yang telah hilang kepada kumpulan pemberontak dan pejuang jihad.
Moscow kini mempunyai dua pangkalan tentera di Syria iaitu Hmeimim di barat laut dan pelabuhan tentera laut di Tartus selatan negara berkenaan.
Lebih 63,000 askar Rusia telah dikerahkan ke Syria, kata Moscow. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca