SUDAH puas mencari posisi paling selesa dengan harapan dapat tidur lena tetapi entah kenapa susah betul Mat Taici mahu lelapkan mata malam ini.
Nak kata lapar, sepinggan maggi goreng pedas dengan telur mata dan segelas kopi o ais sudah ‘settle’ masuk ke dalam perut.
Nak kata cuaca panas, Alhamdullilah hawa sejuk daripada hujan lebat petang tadi masih terasa hingga ke malam, apa lagi yang tidak kena?
Sudahnya Mat Taici capai telefon, satu-satu aplikasi media sosial Mat Taici buka, Facebook, Twitter malah Tik Tok semua penuh dengan berita tentang perang Rusia dan Ukraine.
Apa nak jadilah dengan dunia sekarang? Tidak cukup dengan Covid-19 yang tidak berpenghujung kini tambah lagi dengan perang.
Mat Taici bukanlah pakar yang arif untuk bercakap tentang strategi peperangan tetapi satu perkara yang pasti, perang tidak mendatangkan kebaikan dan tiada pihak yang benar-benar menang.
Selain kehilangan nyawa dan kemusnahan negara, kesan perang bukan hanya terlihat di pihak bertelagah tetapi juga seluruh dunia.
Dalam kes Rusia dan Ukraine, Presiden Vladimir Putin telah memulakan langkah pertama dengan menyerang ibu negara Ukraine, Kiev dan beberapa bandar sekitarnya.
Jika Ukraine yang mendapat sokongan Amerika Syarikat mengambil keputusan bertindak balas terhadap tindakan ketenteraan Rusia maka perang skala besar mungkin tidak dapat lagi dielakkan.
Malah sekiranya tidak segera dihentikan tidak mustahil kesan konflik Rusia dan Ukraine akan terasa hingga ke negara kita.
Perang antara dua negara bekas Kesatuan Soviet itu dilihat akan menyebabkan gangguan dalam pasaran makanan dunia berikutan status Rusia dan Ukraine sebagai antara pengeluar terbesar makanan komoditi seperti gandum, jagung dan soya.
Tidak berhenti di situ sahaja, malah pasaran kewangan, minyak dan ekonomi dunia secara keseluruhan pasti akan menerima tempias sekiranya perang tercetus.
Pendek kata, perang akan menyusahkan banyak pihak. Cukuplah di Malaysia dengan politik negara yang sentiasa berantakan tidak kira musim, jangan ditambah lagi derita rakyat.
Stress pula Mat Taici memikirkan masalah dunia, semakin tidak boleh tidur dibuatnya! Akhirnya Mat Taici ambil keputusan sambung layan cerita ‘Inventing Anna’ di Netflix.
Kisah gadis muda bernama Anna Sorokin @Anna Delvey (juga berasal dari Rusia) yang menjalani kehidupan mewah hanya dengan bermodalkan keyakinan dan penipuan lebih menarik berbanding daripada kisah negara berperang yang akhirnya hanya mendatangkan kerugian.
Menariknya, situasi perang Rusia dan Ukraine dan cerita Anna Sorokin mungkin ada persamaan. Kedua-duanya mahu mencapai matlamat masing-masing tetapi menggunakan cara yang salah.
Rusia dan Ukraine sepatutnya mencari solusi damai berbanding memilih jalan perang dan Anna pula seharusnya berusaha keras secara jujur dan bukannya menipu dalam memenuhi cita-citanya menjadi kaya dan terkenal.
Entah bila Mat Taici terlelap sedar-sedar sudah pagi dan 'alarm' untuk sembahyang Subuh pun sudah berbunyi.
Pss - Agak-agak ada tak orang seperti Anna Sorokin di Malaysia?
Klik di sini untuk terus membaca