SHAH ALAM - Biarpun lebih 220 individu mewakili pelbagai parti politik akan menghantar borang pencalonan sempena Hari Penamaan Calon, pada Sabtu, bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun hanya tiga gabungan utama akan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun lebih 220 individu mewakili pelbagai parti politik akan menghantar borang pencalonan sempena Hari Penamaan Calon, pada Sabtu, bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun hanya tiga gabungan utama akan memberikan saingan sengit, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Tiga gabungan utama yang akan menentukan siapakah bakal membentuk kerajaan selepas proses penjumlahan undi selesai pada 12 Mac nanti adalah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jadi, tidak hairanlah jika BN, PN dan PH berlumba-lumba meletakkan majoriti lebih 70 peratus daripada calon bertanding dalam PRN nanti terdiri daripada golongan muda, muka baharu dan berpengalaman, dilihat bersih dan tidak terpalit dengan sebarang skandal moral dan bebas dari kes dakwaan jenayah.

Oleh itu, ramai penganalisis dan pemerhati politik melihat tindakan BN, PN dan PH mengetengahkan lebih 70 peratus calon muda dan muka baharu serta bersih, pada PRN Johor kali ini adalah satu perkembangan positif untuk politik negara.

Penganalisis politik dan geostrategis, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, beliau menyambut baik tindakan gabungan PN, BN dan PH yang berani mengambil langkah proaktif bukan hanya menamakan calon muda, malah muka baharu untuk bertanding dalam PRN Johor kali ini.

Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, beliau juga memuji tindakan BN, PN dan PH mahu parti lain seperti Pejuang yang berani meletakkan muka baharu yang bersih dan tidak mempunyai liabiliti atau terpalit dengan mana-mana skandal atau kes jenayah sebagai calon PRN Johor.

"Nampaknya kebanyakan parti politik sudah banyak belajar dari PRN Melaka, walaupun ramai muka baharu menjadi calon, namun, hanya tiga orang sahaja menang. Jadi berbeza di Johor ini di mana kebanyakan calon muda dan muka baharu ini terdiri daripada mereka yang sebenarnya dikenali ramai dan yang sudah lama aktif sama ada dalam politik atau kerja kebajikan dan aktiviti sosial.

"Apa yang paling penting tindakan parti politik meletakkan calon muda adalah selari dengan aspirasi dan pertambahan lebih 700,000 pengundi muda berusia antara 18 hingga 21 tahun yang pertama kali akan mengundi pada PRN Johor kali ini," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium, pada Jumaat.

Justeru itu, Azmi memuji tindakan parti politik terutama BN kerana berani berubah dengan meletakkan lebih 70 peratus golongan muda sebagai calon mereka dalam PRN Johor kali ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, bukannya mudah untuk parti seperti BN/UMNO untuk mengetepikan orang lama atau penyandang kerusi sedia ada daripada menjadi calon pada PRN Johor kali ini.

"Saya berpandangan bukan mudah untuk parti seperti UMNO untuk mengetepikan pemimpin veteran yang mempunyai jawatan dalam parti daripada bertanding dalam PRN Johor. Jadi bagi saya ini adalah satu perkembangan sihat dalam senario politik negara," katanya.

Dalam pada itu, Azmi juga menyokong tindakan BN menamakan pemimpin veteran UMNO seperti Datuk Mohd Puad Zarkashi untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, pada PRN kali ini.

Beliau berkata tindakan itu penting kerana BN/UMNO perlu mempunyai gabungan muka baharu dan lama berpengalaman untuk memenangi PRN Johor kali ini. PRN Johor kali ini bakal menyaksikan saingan sengit antara tiga parti utama iaitu BN, PN dan PH.

"Saya bukan mahu memperkecilkan keupayaan parti lain untuk menang kerusi di PRN Johor tetapi kita mestilah realistik kerana pengundi akan memilih parti yang mampu membentuk kerajaan apabila mereka mengundi. Jadi kebanyakan pengundi tidak akan mengundi calon dari parti baharu seperti Pejuang, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam PRN kali ini," katanya.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, beliau melihatnya sebagai adalah suatu perkembangan menarik dan sesuai dengan persekitaran baharu serta pertambahan lebih 700,000 pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang pertama kali boleh menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Johor kali ini.

"Persaingan sihat untuk menang PRN Johor kali ini adalah bermula dengan pemilihan calon yang sesuai dan mampu memenuhi aspirasi serta kehendak pengundi setempat.

"Apa yang pasti semua pemilihan calon dibuat berdasarkan kerja lapangan dibuat dan setiap parti percaya individu dipilih berkenaan layak dan boleh meraih kemenangan. Justeru itu saya berpandangan pemilihan calon tepat penting bagi memastikan kemenangan mana-mana parti bertanding dalam PRN Johor kali ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca