MINGGU lalu ruangan ini membincangkan bagaimana ‘medan tempur’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertumpu di kawasan separa bandar yang jumlah pengundi Melayunya sederhana tinggi. Kerusi-kerusi ini sangat signifikan dalam menyumbang... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu ruangan ini membincangkan bagaimana ‘medan tempur’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertumpu di kawasan separa bandar yang jumlah pengundi Melayunya sederhana tinggi. Kerusi-kerusi ini sangat signifikan dalam menyumbang kemenangan Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka tahun lalu.

Ia turut menyentuh tentang bagaimana sesebuah PRN boleh dibaca dengan melihat pola pengundian dan demografi pengundi menerusi tiga angkubah; kawasan pengundi Melayu tinggi (melebihi 70 peratus), kawasan pengundi Melayu sederhana tinggi (sekitar 50-69 peratus) dan kawasan pengundi Melayu rendah (di bawah 50 peratus).Dengan PRN Johor membuka gelanggangnya secara rasmi hari ini, hal serupa juga boleh digunakan untuk mencongak pola pengundian dalam perebutan kerusi dalam kalangan parti-parti bertanding.

PRN Johor memperuntukkan 56 kerusi bagi keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi pecahan seperti berikut: 13 kerusi bandar, 23 kerusi separa bandar dan 20 kerusi luar bandar. Daripada jumlah tersebut, terdapat 15 kerusi yang mencatatkan jumlah pengundi Melayu melebihi 70 peratus iaitu di DUN Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Rengit, Kahang, Endau, Tenggaroh, Panti, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat dan Benut.

Sepertimana di Melaka, kerusi-kerusi ini merupakan kubu kuat BN (UMNO). Untuk rekod, ketika PRU14, BN menang 14 daripada 15 kerusi (sebelum tiga kerusi UMNO di Endau, Sedili dan Johor Lama melompat ke Bersatu) berbanding PH satu (DUN Semerah) yang dimenangi dengan majoriti tipis 98 undi. Jadi secara umumnya ini kerusi-kerusi selamat BN di Johor sepertimana 13 kerusi serupa dalam PRN Melaka.

Kerusi-kerusi selamat bagi PH pula berada dalam 16 DUN yang mencatatkan jumlah pengundi Melayu rendah (bawah 50 peratus). DUN tersebut ialah Jementah, Tenang, Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng, Penggaram, Mengkibol, Paloh, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Bukit Batu dan Senai.

Ketika PRU14, BN tewas di kesemua kerusi-kerusi tersebut berbanding PRU13 di mana BN menang dua kerusi (DUN Tenang dan Paloh) serta satu Pas (Puteri Wangsa). PH pula sebaliknya menyapu bersih kesemua 16 kerusi tersebut dengan DAP menang 13 kerusi, Bersatu (dua) dan PKR (satu). Di atas kertas barangkali agak sukar untuk mengalahkan PH terutamanya DAP di kerusi-kerusi ini, tetapi BN tetap berpotensi untuk sekurang-kurangnya merampas dua kerusi yang terlepas ketika PRU14 sepertimana BN berjaya merampas kembali kerusi DUN Machap Jaya dalam PRN Melaka.

Jadi perebutan sebenar dalam PRN Johor kali ini sudah tentulah di kawasan-kawasan DUN yang mencatatkan pengundi Melayu sederhana tinggi (sekitar 50-69 peratus). Terdapat 25 kerusi DUN sedemikian di Johor iaitu DUN Buloh Kasap, Pemanis, Kemelah, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Simpang Jeram, Bukit Naning, Maharani, Parit Yaani, Senggarang, Machap, Layang-Layang, Mahkota, Pasir Raja, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Pulau Sebatang, Kukup dan Pekan Nanas.

Kekalahan di kerusi-kerusi inilah yang menumbangkan BN di Johor dalam PRU14 sepertimana juga berlaku di Melaka. Untuk rekod, ketika PRU14. BN hilang 16 kerusi (menang lima daripada 21 kerusi diperolehinya dalam PRU13) sedangkan PH cemerlang memenangi 19 kerusi dengan PKR, Bersatu dan Amanah masing-masing menang enam kerusi dan DAP satu kerusi. Pas pula hanya menang satu kerusi di Bukit Pasir setelah menang tiga kerusi dalam PRU13 sebelumnya.

Terbukti ketika PRN Melaka, kemenangan majoriti dua pertiga BN disumbangkan tujuh kerusi (kecuali Bukit Katil yang masih kekal milik PH) yang berjaya dirampas semula di DUN Rembia, Gadek, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Duyong dan Bemban di samping mengekalkan DUN Asahan dan Rim daripada 10 kerusi DUN yang mencatatkan pengundi Melayu sederhana tinggi (sekitar 50-69 peratus).Johor memperlihatkan jumlah kerusi pengundi Melayu sederhana tinggi (sekitar 50-69 peratus) yang besar (25 kerusi) berbanding 10 di Melaka. Maka jelas parti mana yang mampu menguasai separuh daripada kerusi ini (sambil mengekalkan kerusi sedia ada dalam kubu kuat masing-masing di samping mampu untuk mencuri satu atau dua kerusi lawan di kawasan mereka) akan muncul pemenang.

Hal itu sudah terbukti dalam PRN Melaka. Dengan keadaan dan suasana ketika ini yang hampir serupa, maka apakah keputusan PRN Johor juga mirip dengan PRN Melaka?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca