TRAGEDI 7 Ogos 1978 menjadi titik sejarah hitam yang pasti dikenang seumur hidup veteran tentera, Koperal (B) Hamzah Hassan, 68.
Pada tarikh tersebut, beliau kehilangan kaki kanan selepas terpijak jerangkap samar ketika menyertai operasi menjejaki komunis.
Mengimbau detik itu, Hamzah berkata, beliau bersama rakan sepasukan ditugaskan dalam Ops Sedar Gubir 4 di Kedah.
"Jangan sesekali kita berlindung di bawah pokok tumbang, pokok besar dan busut apabila terdengar bunyi tembakan kerana kawasan itu biasanya musuh (komunis) telah memasang jerangkap samar,” kata Hamzah ketika ditemu bual Sinar Harian pada Program Santai Ukhwah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hamzah berkata, pada ketika itu, pasukannya diarahkan untuk menggantikan pasukan polis hutan yang sudah meninggalkan tapak operasi seminggu lebih awal.
"Pada ketika itu, komunis memasang jerangkap samar di kawasan berkenaan. Kejadian berlaku ketika kami baru sahaja tiba di kawasan operasi.
"Kami terdengar bunyi tembakan komunis. Saya cuba mencari kawasan selamat untuk berlindung, malangnya saya melanggar ‘pantang larang� lalu terkena jerangkap samar. Saya melihat kaki kanan sudah berkecai,” katanya.
Hamzah berkata, seorang rakan baiknya, Tajuddin Hassan sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkannya.
"Dia (Tajuddin) tanpa menghiraukan keselamatan diri memikul saya untuk dibawa ke lokasi selamat,” ujarnya.
Hamzah berkata, Tajuddin bagaimanapun cedera ditembak komunis dalam kejadian itu.
"Setelah diberikan rawatan kecemasan, kami dibawa keluar dari kawasan operasi dengan menggunakan teknik winching oleh helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dibawa ke hospital,” katanya.
Selepas mengalami kecacatan kekal, Hamzah tetap meneruskan tugas sebagai anggota tentera.
"Saya telah terputus hubungan dengan Tajuddin selama 10 tahun selepas insiden berkenaan.
"Saya berusaha mencarinya setelah mengetahui dia lumpuh. Akhirnya saya berjaya bertemu di rumahnya di Pokok Sena, Kedah,” katanya.
AYAH JADI PEMBAKAR SEMANGAT
Hamzah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, ahli keluarganya bangga terhadap pengorbanan yang dilakukannya sebagai anggota tentera.
"Saya menyertai anggota tentera pada usia 19 tahun adalah kerana dorongan ayah,” jelas Hamzah.
Hamzah yang merupakan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang mula berkhidmat dalam Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) pada 10 April 1974.
"Selepas menamatkan latihan di pusat latihan tentera, saya ditempatkan di batalion berkenaan berpangkalan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
"Waktu itu, unit saya masih lagi di Kem Semanggang, Sarawak. Saya menumpang di kem Sungai Besi dahulu sementara menunggu anggota lain pulang,” katanya.
Beliau berkata, dua tahun kemudian, unit itu berpindah ke Kem Kuala Batas di Alor Setar, Kedah.
"Di sana saya dinaikkan pangkat lans koperal dan beberapa bulan selepas itu dinaikkan lagi pangkat koperal,” katanya.
Menurutnya, lokasi pasukannya yang paling kerap ditugaskan adalah di Gerik, Perak untuk menjaga kerja-kerja pembinaan Empangan Temenggor.
"Komunis akan sentiasa mencari jalan untuk menggagalkan projek tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, kitaran tugas semasa di Gerik adalah tiga bulan berada dalam hutan dan satu bulan di luar hutan.
"Tempoh bercuti seminggu sahaja sebelum memulakan operasi yang telah diarahkan kepada pasukan kami,” katanya.
Hamzah berkata, pengalaman 22 tahun berkhidmat dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang menjalankan tugas.
"Saya bersama rakan sepasukan turut ditugaskan di kawasan Kroh, Perak yang merupakan antara kawasan hitam di kawasan utara tanah air,” katanya.
RAKAN DIGANGGU MAKHLUK HALUS
Hamzah turut berkongsi kisah mistik ketika bertugas di kawasan operasi di Kroh apabila salah seorang rakan setugas diganggu makhluk halus.
"Setelah selesai tugas rondaan pada sebelah petang, saya bersama 10 rakan lain pulang semula ke kem. Namun salah seorang daripada mereka didapati telah hilang,” cerita beliau.
Hamzah berkata, beliau bersama dua lagi rakannya ditugaskan untuk mencari rakannya yang hilang itu.
"Kami berjaya menemui semula anggota yang hilang itu. Dia mendakwa tidak nampak jalan dan rakan lain,” katanya.
Hamzah berkata, gangguan itu belum berakhir apabila rakannya itu mendakwa sekali lagi dikacau oleh makhluk halus.
"Saya menggunakan ilmu agama yang dibekalkan oleh ibu bapa untuk membantu rakan tersebut,” katanya.
Selain itu, Hamzah turut berkongsi pengalaman pasukannya terserempak dengan seorang anggota pengganas komunis yang sedang melakukan pengintipan terhadap kedudukan kem tentera.
"Peristiwa itu berlaku semasa kami sedang berehat selepas melakukan rondaan. Salah seorang rakan sepasukan memberitahu telah ternampak kelibat seseorang di busut yang berkedudukan 30 meter,” ujarnya.
Hamzah berkata, beliau bersama seorang rakan sepasukan bergerak perlahan-lahan untuk menangkap lelaki yang disyaki pengganas komunis.
"Ketika menghampiri, lelaki itu cuba melarikan diri, namun dia berjaya ditangkap oleh anggota pasukan polis hutan tidak jauh dari kawasan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati anggota komunis itu memiliki lukisan pelan kem tentera termasuk kedudukan kubu dan perimeter pertahanan,” katanya.
GESA HARGAI PERAJURIT
Bagi mengakhiri perbualan dengan Sinar Harian, Hamzah berkata, keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati rakyat ketika ini adalah hasil jasa dan bakti para perajurit terutama veteran tentera yang banyak berkorban demi negara tercinta.
"Pengorbanan mereka semasa zaman keganasan penjajah satu ketika dahulu merupakan satu perjuangan yang perlu dikenang oleh semua rakyat di negara ini terutama generasi muda,” katanya.
Hamzah sehubungan itu menyeru golongan muda untuk beramai-ramai menyertai pasukan keselamatan negara sebagai generasi pelapis dalam bersama memelihara kedaulatan, kesejahteraan dan keamanan negara tercinta.
Klik di sini untuk terus membaca