KIEV - Penduduk Ukraine yang ketakutan bertempiaran lari ke stesen kereta api bawah tanah selepas siren amaran dibunyikan di seluruh bandar utama di negara itu susulan kempen serangan dilancarkan Rusia pada Khamis. "Kami perlu menyelamatkan... Klik di sini untuk terus membaca

KIEV - Penduduk Ukraine yang ketakutan bertempiaran lari ke stesen kereta api bawah tanah selepas siren amaran dibunyikan di seluruh bandar utama di negara itu susulan kempen serangan dilancarkan Rusia pada Khamis.

"Kami perlu menyelamatkan diri. Kami berharap stesen metro boleh jadi tempat berlindung kerana kedudukannya di bawah tanah,” kata Ksenya Michenka yang bersama anaknya ketika mendapatkan perlindungan di Dataran Maidan yang terletak di ibu kota Kiev.

Difahamkan, dataran bersejarah itu pernah menjadi titik tumpuan dua revolusi pro-Barat yang cuba diterbalikkan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada 2004 dan 2014.

Tetapi, negara bekas Kesatuan Soviet berterusan menolak Moscow dan menjalinkan hubungan dengan Barat.

Selepas lapan tahun, Putin kembali menceroboh Ukraine dengan melancarkan serangan udara dan darat secara habis-habisan ke atas Kiev atas alasan untuk melindungi Republik Donetsk dan Republik Lugansk setelah Kremlin mengisytiharkan ‘kemerdekaan’ ke atas kedua-dua entiti berkenaan.

Sebuah pesawat tentera Ukraine yang membawa 14 penumpang dilaporkan terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh di lokasi terletak kira-kira 20 kilometer dari selatan Kiev.

Tindakan Rusia memulakan operasi ketenteraan ke atas negara tersebut adalah perkara yang paling ditakuti penduduk Ukraine sejak beberapa bulan lalu malah ada yang sudah membuat persediaan termasuk menyimpan bekalan senjata dan menyertai pasukan tentera simpanan demi untuk melindungi diri, keluarga serta tanah air mereka.

Kebanyakan penduduk di bandar berpopulasi tiga juta penduduk itu sedang lena tidur ketika siri ledakan dahsyat menggegar Kiev.

"Saya bingkas bangun selepas terdengar bunyi seperti letupan bom. Saya bergegas mengemas beg dan barang keperluan serta cuba untuk melarikan diri. Kami duduk di stesen metro ini dan menunggu keadaan mungkin kembali tenang,” ujar Maria Kashkoska, 29.

Ancaman pencerobohan yang lebih besar menyebabkan penduduk Ukraine sanggup beratur panjang di luar premis penukaran wang dan stesen minyak kerana bimbang krisis tersebut mungkin akan menjadi lebih buruk berbanding konflik pada 2014 ketika Crimea dirampas Rusia.

Bagi meredakan kebimbangan orang ramai, kereta peronda polis turut melalui kawasan utama di Khreshchyatyk Avenue untuk menggesa penduduk supaya bertenang dan mencari tempat perlindungan yang selamat.

Stesen bas dan kereta api juga sesak dengan orang ramai yang cuba untuk meninggalkan ibu kota tersebut dan berpindah ke kawasan barat.

Kenderaan di bandar barat Lviv berpusu-pusu ke stesen minyak kerana bimbang bekalan bahan api mungkin terjejas akibat kempen pencerobohan Moscow tersebut.

Hakikatnya, tiada tempat yang benar-benar selamat di negara itu.

Di bandar barat Lviv yang menjadi lokasi kedutaan baharu diplomat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah turut menjadi sasaran bedilan.

Kharkiv terletak kira-kira 35 kilometer di selatan sempadan Rusia dan pernah menjadi ibu kota Ukraine ketika ia masih menjadi sebahagian daripada negara anggota Kesatuan Soviet.

Kumpulan pemisah yang disokong Rusia pernah cuba merampas bandar berpopulasi 1.4 juta penduduk itu ketika mereka melancarkan pemberontakan pada 2014.

Ketika ini, pertempuran paling sengit dan menakutkan dilaporkan berlaku di bandar miskin yang terletak di kawasan pasukan barisan hadapan Ukraine dengan sempadan yang memisahkan kawasan itu dengan kumpulan militia di timur.

Orang ramai beratur panjang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai persediaan jika Moscow memperhebatkan serangan mereka.

Media asing memaparkan keadaan di bandar Chuhuiv selepas dibedil malah pasukan bomba dilihat berhempas-pulas cuba untuk memadamkan kebakaran di sebuah apartmen yang menjadi sasaran serangan tersebut walaupun Moscow mendakwa kononnya mereka tidak menyasarkan bandar atau orang awam.

"Saya akan mencari senjata dan mempertahankan tanah air ini jika Rusia berterusan mengebom kami,” tegas Vladimir Levichov, 62.

Seorang warga emas yang cedera menunggu bantuan perubatan selepas bandar timur Ukraine dibedil tentera Rusia.
Klik di sini untuk terus membaca