HARIMAU Malaya nampaknya hampir pupus. Hanya masa yang menentukan. Kalau tidak dilakukan sesuatu, boleh menyebabkan hilang ditelan dek zaman. Rasanya untuk menjaga Harimau Malaya ini banyak duit perlu disediakan.
Persekitaran sekeliling juga patut diberi perhatian. Kalau kita lihat, banyak perkara telah disuarakan untuk dilakukan, tetapi masih tidak berubah keadaannya. Sepatutnya perlulah ada perubahan drastik dalam memastikan ia dapat dikenang oleh anak cucu.
Harimau Malaya ini diabadikan dalam lambang rasmi kerajaan Malaysia iaitu Jata Negara. Ia merupakan lambang rasmi negara kita yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.
Maka ia menjadi kebanggaan kita dan moleklah Harimau Malaya ini dijaga dengan sempurna. Apa yang tidak cukup, sepatutnya dicukupkan. Apa yang patut diberi, disediakan sepenuhnya supaya ia tidak hanya berkeliaran tanpa haluan dan tujuan.
Kalau tidak, mungkin anak-anak bangsa kita nanti tidak lagi mengenali dan berbangga dengan Harimau Malaya. Kita juga berharap haiwan berkenaan menjaga kesihatan supaya sentiasa cergas. Jangan makan sembarangan sahaja.
Pepatah Melayu lama banyak menyebut tentang harimau. Contoh yang selalu kita dengar ialah ‘harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading' manakala manusia mati meninggalkan nama.
Kita berharap Harimau Malaya ini tidaklah hanya meninggalkan belang. Tidak juga hanya menjadi garang di tempat sendiri, tetapi kecut hati pula apabila kawasan mereka, begitu mudah dimasuki lawan.
Kawasan mereka ini hendaklah dijaga supaya tidak mudah dibolos oleh pihak penceroboh. Mereka sepatutnya melindungi dengan sepenuh jiwa dan raga kerana ia merupakan kawasan perlindungan dan terpelihara. Kalau ada penceroboh mudah memasuki dengan sewenang-wenangnya, apa guna mempunyai kuku dan taring.
Ibarat kata pepatah ‘Bagai harimau beranak muda' . Harimau muda ini bengis, tidak boleh diusik sembarangan. Akibatnya buruk. Tetapi kalau merasa senang-lenang dengan banyaknya makanan terhidang, maka kebengisannya akan hilang dan senang dijinak.
Saya berharap juga ada pihak berkenaan memainkan peranan penting. Sebab isu-isu begini sudah lama diperkatakan. Kita tidak mahu Harimau Malaya ini pupus atau sudah tidak diingat orang.
Kalau dulu, Harimau Malaya kita dikatakan agak bengis. Tiada beraninya orang sembarangan datang untuk mengacau di dalam kawasan. Akan ditentang habis-habisan. Mana-mana lawan yang apabila sahaja melihat Harimau Malaya ini, akan tercirit melarikan diri.
Mungkin zaman sekarang, orang tidak berapa kisah lagi tentang Harimau Malaya. Lebih-lebih lagi apabila hanya melihat belang yang sama sahaja. Mereka sudah hilang gerun, hanya merasakan sebagai perkakasan sarkas sahaja. Boleh dilihat sambil bergelak ketawa. Mereka pun sudah seperti tumpul kukunya. Kadangkala boleh diambil gambar bersama untuk memeriahkan media sosial, sebagai gambar kenang-kenangan.
Harimau Malaya sepatutnya ibarat pepatah ‘harimau yang menyorokkan kuku'. Kelebihannya tersembunyi tidak diketahui, namun bila sampai masanya, maka bak kata pepatah lagi, harimau akan memperlihatkan kukunya.
Saya agak kecewa juga dan menanti keajaiban untuk memastikan Harimau Malaya ini baik yang muda atau tua tidak pupus. Biasanya saya melihat kelibat Harimau Malaya ini hanya dengan menonton di televisyen sahaja. Kalau ada masa dan peluang, barulah melihatnya di zoo.
Cuma sejak pandemik, tidaklah saya ke mana-mana melainkan hanya menonton televisyen sahaja. Cuma agak kecewa kerana Harimau Malaya selain kelihatan tidak bermaya, tidak segarang dulu dan mungkin akan pupus, tetapi sudah bagai pucuk pisang didiang.
Kalau begitulah keadaannya, eloklah diratakan sahaja hutan belantara.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca