APABILA kita bertemu dengan kawan-kawan yang agak celupar mulutnya, sering kali kita terdengar ungkapan seperti: "Siapalah yang belah mulut kamu semasa kecil dahulu?”. Secara umumnya, ‘belah mulut’ adalah merujuk kepada upacara tahnik... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA kita bertemu dengan kawan-kawan yang agak celupar mulutnya, sering kali kita terdengar ungkapan seperti: "Siapalah yang belah mulut kamu semasa kecil dahulu?”. Secara umumnya, ‘belah mulut’ adalah merujuk kepada upacara tahnik yang sunat dilakukan kepada bayi yang baru dilahirkan. Kebiasaannya ‘belah mulut’ dilakukan oleh orang yang alim, baik tutur kata dan mulia akhlaknya.

Justeru ungkapan ‘Siapalah yang belah mulut kamu?' adalah lebih bersifat gurauan semata-mata kerana sikap mulut celupar sepatutnya tidak berlaku kerana telah melalui proses tahnik dengan baik semasa kecil dahulu.

Yang jelas, keceluparan mulut tidak sedikit pun dipengaruhi oleh upacara tahnik berkenaan, sebaliknya bergantung kepada proses dan usaha kita yang berterusan untuk menjaga akhlak dengan baik.

Mengimbau kembali didikan keluarga dan masyarakat semasa kecil dahulu, jika kita tersilap mencarut atau menggunakan perkataan yang agak kasar atau menghina orang lain, sudah tentu rotan akan ‘singgah’ di betis atau punggung pada waktu itu juga. Malah, anak-anak tidak dibenarkan mendengar perbualan orang-orang tua kerana tidak mahu perkataan-perkataan yang tidak baik mempengaruhi mereka. Malah, kelompok masyarakat juga bertindak dengan menegur dan menasihati anak-anak yang agak kasar tutur katanya.

Sebetulnya, setiap kata-kata mencerminkan keperibadian kita sendiri. Menurut perspektif psikologi, bagi individu yang mempunyai personaliti agresif, mereka cenderung bercakap laju, intonasi suara yang agak tinggi, sebutan kurang jelas serta kata-kata yang tidak sesuai dengan situasi atau konteks perbualan.

Namun, bagi individu yang berpersonaliti assertive atau menyenangkan orang lain, mereka cenderung untuk menghormati orang lain dengan bertutur secara berhemah, intonasi suara yang sederhana serta bijak menyusun dan memilih kata-kata yang sesuai dalam setiap konteks perbualan.

Namun begitu, fenomena hari ini menampakkan lebih ramai yang berpersonaliti agresif berbanding dengan assertive. Hasil penelitian dan renung nilai terhadap perkongsian individu menerusi pelbagai platform media sosial, saban hari terdapat perkongsian video berkaitan dengan ketidakpuasan hati dengan cara memaki orang itu dan orang ini. Malah, terdapat juga individu yang berpengaruh di alam maya berasa tindakan memaki, menghamun seseorang itu adalah kebanggaan bagi dirinya. Pendek kata, ungkapan "Aku peduli apa”, "Lantak engkaulah” sudah menjadi lambang keperibadiannya.

Hakikatnya, apa sahaja alasan yang diberikan untuk berkata buruk, maka buruk juga penyudahnya nanti. Berkaitan hal itu ALLAH SWT berfirman: "ALLAH tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) ALLAH sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nisa’, 4:148).

Selain itu, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda menjawab, "Taqwa kepada ALLAH dan baik akhlaknya”. Lalu Baginda ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda menjawab; "Mulut dan kemaluan”. (Hadis Riwayat Ibn Hibban).

Pada hemat saya, sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab bertegas dengan menyekat penyebaran video memaki hamun, mencarut serta menghina yang disebarkan menerusi media sosial. Saya cukup takut dengan kesan langsung video-video berkenaan yang sudah menjadi ikutan kepada anakanak kita hari ini terutamanya dalam kalangan remaja.

Malah, undang-undang yang lebih ketat perlu digubal agar dikenakan hukuman yang sewajarnya kepada mereka yang sengaja memuat naik video yang berstatus ‘sampah’ berkenaan.

Ingatlah, setiap kebebasan ada hadnya. Janganlah nanti, bicara yang memanaskan telinga lebih dominan berbanding dengan kata-kata yang menyejukkan hati menjadi budaya.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca