SEKALI lagi persoalan identiti (definisi, persepsi dan manipulasinya) menjadi isu utama dalam budaya popular, sukan dan politik. Dalam Tinder Swindler, seorang lelaki telah menggunakan identiti anak lelaki kepada seorang jutawan, memperdaya... Klik di sini untuk terus membaca

SEKALI lagi persoalan identiti (definisi, persepsi dan manipulasinya) menjadi isu utama dalam budaya popular, sukan dan politik.

Dalam Tinder Swindler, seorang lelaki telah menggunakan identiti anak lelaki kepada seorang jutawan, memperdaya wanita untuk jatuh cinta kepadanya, dan kemudian menipu mereka untuk mendapatkan sejumlah wang yang besar agar dapat membiayai gaya hidupnya yang mewah, melibatkan wanita-wanita yang menjadi mangsa seterusnya.

Inventing Anna menunjukkan bagaimana seorang pewaris berketurunan Jerman mengejar usul perniagaan dalam masa yang sama berbelanja mewah, serta menipu bank, hotel dan kawan-kawan.

Kedua-dua karya terbitan Netflix ini adalah berdasarkan kisah benar, amat menghiburkan dan bernas, tetapi hal yang memberikan pencerahan adalah reaksi yang diberikan terhadap watak-watak ini.

Seorang rakan berpendapat bahawa disebabkan si Tinder Swindler hanya menjadikan wanita yang tidak bersalah sebagai mangsanya, dia sememangnya seorang yang jahat. Manakala si Anna pula mencuri dari institusi-institusi yang korup, mungkin adalah satu bentuk keadilan yang setimpal.

Malah, dalam drama itu, Anna merujuk kepada prasangka yang dihadapi oleh wanita muda yang ingin berjaya dalam perniagaan jika dibandingkan dengan pengalaman yang dilalui oleh lelaki kulit putih yang mendapat hak istimewa, seolah-olah menggambarkan satu justifikasi kepada penipuannya. Di media sosial, ramai nampaknya bersetuju dengan perkara tersebut.

Perlakuan penipuan yang berbeza boleh dilihat dalam pelbagai cara, ditentukan oleh identiti seseorang;atau lebih spesifiknya, pengalaman identiti seseorang berbanding persepsi orang lain.

Satu perbualan lain mencadangkan bahawa pengalaman serupa merupakan satu kebiasaan di Malaysia. Di mana-mana sahaja terdapat penyamar yang cuba mendapatkan keabsahan di mata mereka dan orang lain – melakukan penipuan dengan sedaya upaya sehingga ia menjadi kenyataan – mencari tawaran, pekerjaan, dan gelaran untuk menambah kewibawaan dalam aktiviti mereka.

Kekayaan yang diperoleh secara haram boleh dikaburi dengan cara sumbangan derma yang strategik atau yang paling ironi, sumbangan kepada aktiviti ziarah keagamaan.

Di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing baru-baru ini, persaingan geopolitik bertukar menjadi percubaan untuk menuntut para atlet berdarah campuran menumpahkan kesetiaan kepada sebuah negara sahaja. Pemenang pingat emas acara ski gaya bebas etnik Cina kelahiran Amerika Syarikat, Eileen Gu, menawan tetapi tegas ketika menerangkan kesetiaannya.

Tetapi untuk pihak lain, memberikan pendapat membawa kepada laluan toksik ke arah kedudukan binari iaitu cinta kepada sebuah negara dan benci kepada sebuah negara lain. Perkara yang hilang dalam perdebatan ini adalah kenyataan bahawa mewakili sesebuah negara bukan bermaksud satu sokongan terhadap para pemimpin atau dasarnya.

Satu isu yang lebih berlanjutan di banyak negara berkisar kepada paparan awam simbol keagamaan.

Prinsip sekular Perancis, laïcité, merupakan satu contoh tersohor untuk hal ini, tetapi hari ini satu dasar yang membenarkan pihak sekolah mengharamkan pemakaian hijab sedang dicabar di mahkamah di negeri Karnataka, India. Namun di Malaysia, beberapa jawatan dalam industri keraian – syarikat penerbangan terutamanya – hijab juga dilarang pemakaiannya.

Hujah yang digunakan kini sudah biasa kita dengar, berkisar kepada hak kerajaan untuk memastikan keharmonian, hak syarikat untuk mengkhususkan pakaian seragam, atau hak individu untuk menunjukkan identiti mereka. Setiap orang akan mengutamakan hal berbeza berdasarkan pandangan ideologi dan keagamaan masing-masing maka, perdebatan ini akan tetap berterusan.

Walaupun begitu, apabila melibatkan hal kanak-kanak, semua boleh bersetuju bahawa kebajikan mereka harus menjadi keutamaan mutlak (semua agama bersetuju untuk melindungi kanak-kanak). Disebabkan itulah hal ini amat menyedihkan apabila terdapat satu lagi kes kanak-kanak terperangkap dalam perebutan hak penjagaan bertambah parah disebabkan oleh pertukaran agama salah seorang ibu bapa dan anak-anak kepada Islam. Perkahwinan asal adalah antara dua orang bukan Islam.

Kes terbaharu yang melibatkan Loh Siew Hong ini, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan hak penjagaan penuh kanak-kanak tersebut kepada ibu dan pada masa yang sama, duluan undang-undang telah disebut.

Pakar undang-undang terkenal, Datuk Profesor Dr Shad Saleem Faruqi telah mengingatkan kita akan kes Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 yang telah memutuskan bahawa perkataan tunggal parent harus dibaca sebagai kedua-dua ibu dan bapa memberi persetujuan dalam penukaran agama anak-anak, manakala saintis sosial Dr Syed Farid Alatas menambah bahawa penukaran agama sepihak adalah "salah menurut mana-mana piawaian moral, tidak beretika kerana kanak-kanak tidak berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka membuat keputusan sebegitu”.

Satu penyelesaian alternatif telah digubal di Negeri Sembilan pada tahun 2015 yang memerlukan seorang pasangan suami atau isteri yang ingin bertukar kepada agama Islam perlu membubarkan perkahwinan sivil mereka terlebih dahulu, lalu mengelakkan perebutan hak penjagaan kanak-kanak jika berlaku pertembungan keputusan mahkamah syariah dan sivil.

Hal ini dapat membantu menjaga kesucian agama Islam kerana mungkin terdapat dakwaan satu-satunya sebab penukaran ke agama Islam adalah untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Hal tersebut akan menjadi satu ejekan kepada Islam.

Beberapa individu merasa yakin dalam mengawal identiti mereka dan menggunakannya untuk memanipulasi orang lain. Tetapi sebahagian yang lain gemar untuk mengawal identiti orang lain agar dapat mendakwa mereka sedang melindungi ‘orang mereka'.

Apabila menyentuh mengenai hal kanak-kanak, harus ada garisan pemisah yang jelas. Saya berdoa agar undang-undang dan penguatkuasaannya, dan paling penting, semangat belas kasihan Malaysia yang berkekalan akan mengelakkan kes serupa berulang.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca