SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bekas ketua pegawai eksekutif sebuah firma, Datuk Rohana Rozhan dipercayai menerima sejumlah dana yang diselewengkan daripada syarikat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bekas ketua pegawai eksekutif sebuah firma, Datuk Rohana Rozhan dipercayai menerima sejumlah dana yang diselewengkan daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah merakam keterangan wanita tersebut susulan pendedahan dibuat oleh bekas kekasihnya, Tim Leissner ketika perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah New York, beberapa hari lalu.

Menurut beliau, SPRM akan menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

"Kita juga sudah merakam keterangan Rohana ketika wanita berkenaan hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9 pagi, Khamis lalu.

"Susulan itu, suruhanjaya akan memaklumkan mengenai perkembangan siasatan sekiranya perlu dari semasa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Leissner dalam keterangannya di Mahkamah New York pada Isnin, mendedahkan pembelian sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) untuk Rohana di London pada tahun 2013.

Leissner memberi keterangan tersebut semasa menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Menerusi keterangan yang dilaporkan Bloomberg itu, Leissner mendedahkan pembelian itu dibuat pada tahun 2013 selepas Rohana mengugut mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Ditanya pendakwa raya, Drew Rolle mengenai hubungannya termasuk bersama Rohana, Leissner memberitahu, hubungan itu berlanjutan dari tahun 2003 hingga 2013.Leissner pada tahun 2018 telah mengaku bersalah kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Pada 12 Mei 2021, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana 1MDB yang telah disita.

Sehingga kini, akaun amanah tersebut di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara dan telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita serta dipulangkan berkaitan 1MDB.

Klik di sini untuk terus membaca