SHAH ALAM - Majoriti pembinaan dan pembangunan di Malaysia tidak mengambil kira elemen atau ciri-ciri gempa bumi sehingga menyebabkan gegaran kecil turut dirasakan penduduk susulan gempa bumi yang berlaku di Indonesia pada Jumaat. Pensyarah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majoriti pembinaan dan pembangunan di Malaysia tidak mengambil kira elemen atau ciri-ciri gempa bumi sehingga menyebabkan gegaran kecil turut dirasakan penduduk susulan gempa bumi yang berlaku di Indonesia pada Jumaat.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, ia kerana kedudukan Malaysia berada di luar lingkaran api pasifik berbanding Jepun dan Indonesia.

"Kedua-dua negara ini mengambil kira mengenai elemen gempa bumi dalam pembinaan bangunan mereka yang betul-betul berada pada lingkaran tersebut. Dari segi reka bentuk, bahan binaan serta pelan avakuasi bangunan di sana sudah tersusun.

"Sebagai contoh, di Jepun terdapat teknologi dalam bahan konkrit yang mengandungi campuran getah agar struktur asas bangunan boleh menahan gegaran akibat gempa bumi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, gegaran gempa bumi yang berlaku di Utara Sumatera Indonesia pada pagi Jumaat turut dirasakan di bahagian barat Semenanjung Malaysia terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.1 pada jarak 76 kilometer (km) barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan berkedalaman sejauh 10km itu bagaimanapun tidak memberikan amaran tsunami kepada Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhammad Azwan berkata, walaupun Malaysia dilihat kurang berisiko dengan ancaman gempa bumi, tetapi kekerapan getaran itu dilihat semakin meningkat.

Justeru, beliau meminta agar pihak berwajib memberi perhatian dan terus memantau keadaan agar kesannya kepada bangunan di negara dapat diminimumkan.

"Sekarang skalanya mungkin 6.2, tetapi jika berlaku sekitar skala 8.0 ke atas seperti tsunami sebelum ini, berkemungkinan akan memberi kesan kepada bangunan-bangunan di negara kita.

"Jadi perlu pantau perkara ini dengan lebih kerap. Pihak pengurusan bangunan perlu kaji dan semak bila berlaku gempa bumi. Lihat kondisi bangunan ada berlaku retakan atau tidak,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca