SEORANG anak lelaki menangis bersebelahan mayat bapanya di antara serpihan peluru berpandu di sebuah daerah kediaman di bandar Chuguiv, Ukraine timur ketika negara itu dilanda peperangan pada Khamis akibat serangan tentera Rusia. "Saya... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG anak lelaki menangis bersebelahan mayat bapanya di antara serpihan peluru berpandu di sebuah daerah kediaman di bandar Chuguiv, Ukraine timur ketika negara itu dilanda peperangan pada Khamis akibat serangan tentera Rusia.

"Saya menyuruhnya untuk beredar," kata seorang pemuda berusia 30an yang sedih dan berdiri di sebelah kereta yang musnah dalam serangan itu.

Sebuah kawah peluru berpandu, selebar kira-kira empat hingga lima meter terbentuk antara dua buah bangunan apartmen lima tingkat yang musnah dalam serangan tentera Rusia.

Anggota-anggota bomba pula bertungkus-lumus memadamkan api di bangunan tersebut.

Beberapa buah bangunan lain turut mengalami kerosakan teruk.

Itu merupakan antara kerosakan awal yang dilaporkan setelah Rusia melancarkan pencerobohan ke Ukraine pada awal pagi Khamis dengan letupan kedengaran di beberapa lokasi di seluruh negara.

Pada awal Khamis itu, Presiden Rusia, Vladmir Putin memberitahu negaranya melancarkan operasi khas ketenteraan di Ukraine demi melindungi penduduk awam di Ukraine timur selepas terdapat ura-ura sebelum ini bahawa Moscow akan melakukan pencerobohan ke atas negara tersebut.

Pada ucapannya menerusi televisyen, Putin menyatakan operasi tersebut dilancarkan untuk melindungi penduduk yang dianiayai dan menderita serta genosid yang dilakukan oleh rejim Kiev.

Di bandar Chuguiv itu, seorang remaja berusia 13 tahun dikatakan adalah antara yang terbunuh tetapi tidak ada jumlah kematian yang diperoleh daripada pihak berkuasa.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Sergiy, 67, cuba menggunakan kaki meja perabot keluaran syarikat Ikea untuk menutup lubang tingkapnya yang musnah.

Sergiy turut cedera ringat tetapi menyatakan dia 'baik-baik' sahaja.

"Saya akan tinggal di sini. Anak perempuan saya berada di Kiev dan situasinya sama sahaja di sana," katanya kepada AFP.

Sergiy berpendapat sasaran serangan ialah lapangan terbang tentera yang berdekatan dan berhampiran dengan bandar raya kedua terbesar Ukraine iaitu Kharkiv yang terletak hanya 40 kilometer dari sempadan Rusia.

Bangunan apartmen musnah akibat serangan misil tentera Rusia di bandar Chuguiv, Ukraine baru-baru ini. - Foto AFP

"Ia (lapangan terbang tentera) adalah salah satu sasaran yang disebutkan oleh Putin. Saya tidak terkejut (dengan sasaran tersebut)," katanya yang menolak untuk memberikan nama keluarganya.

Asap hitam tebal dapat dilihat dari arah lapangan terbang itu dan merupakan salah satu lokasi strategik yang menjadi sasaran serangan awal Moscow.

Seorang remaja yang dikenali sebagai Anastasia memegang seekor kucing berwarna kelabu ketika dia melihat datuknya yang duduk di atas kerusi roda dipindahkan ke sebuah kampung berhampiran dengan menaiki sebuah bas mini.

"Kami tidak pernah dapat menjangkakan (kejadian ini). Kami akan pergi ke kampung itu," katanya seperti dilaporkan AFP.

Beberapa jam kemudian seorang guru, Olena Kurilo, 52, muncul dari sebuah hospital bandar tersebut dengan sebahagian wajahnya dibalut akibat kecederaan.

Peluru berpandu telah meletupkan tingkap dan dia terkena serpihan kaca pada wajahnya.

Doktor menyatakan 20 orang yang cedera mendapat rawatan perubatan di hospital tersebut.

Menurut guru itu, dia dapat berfikir sejenak dan menyatakan ketika kejadian: "Ya Tuhan, saya tidak bersedia untuk mati."

Kurilo tidak pernah menyangka bahawa serangan seperti itu akan berlaku tetapi berkata, dia tidak akan menyerah diri.

"Saya akan melakukan segala-galanya untuk Ukraine, semampu yang boleh," katanya.

"Tidak pernah, dalam apa keadaan pun, saya akan menyerah diri kepada Putin. Adalah Lebih baik mati," tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Anggota tentera dan trak Ukraine mengerumuni sekitar bandar itu ketika kerajaan negara itu menegaskan pasukan keselamatannya akan melakukan apa yang termampu untuk melindungi Ukraine.

Penduduk awam dan tentera bergegas untuk bertindak balas ketika tentera Rusia yang merupakan antara paling berkuasa di dunia memulakan apa yang diperkatakan sebagai pencerobohan berskala penuh di Ukarine.

Kira-kira 250 kilometer ke selatan negara tersebut, kumpulan pemisah yang disokong oleh Rusia bertempur dengan tentera Ukraine menyebabkan pihak berkuasa bergegas memindahkan orang awam.

Pentadbiran tempatan melaporkan berlakunya serangan peluru berpandu ketika tentera Rusia sedang mara selain bekalan elektrik dipotong dan orang awam di beberapa kawasan dipindahkan.

Seorang pegawai, Vladimir Vesyelkin menyatakan serangan-serangan peluru berpandu berlaku di kampungnya, Starognativka sejak pagi dan kuasa eletrik sudah diputuskan.

"Mereka (tentera Rusia) berusaha menghapuskan kampung itu dari muka bumi," katanya.

Yevgeny Kaplin iaitu ketua organisasi kemanusiaan, Proliska menyatakan serangan berlaku di wilayah Lugansk dan Donetsk.

"Pertempuran berlaku di mana-mana. Kami belum dapat menerima maklumat mengenai mangsa," katanya seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca