SHAH ALAM - Sebaik sahaja tempoh penamaan calon selesai pada jam 10 pagi Sabtu, maka bermakna 'peperangan' dan kempen sebenar bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, bermula secara rasminya.
Biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 239 calon mewakili pelbagai gabungan dan parti politik serta Bebas bertanding pada PRN Johor kali ini namun saingan sebenar hanya terjadi antara wakil Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) - PKR sahaja.
Selain itu, PRN kali ini juga bakal menyaksikan saingan sengit antara tiga hingga tujuh penjuru antara calon BN, PN dan PH-PKR serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Parti Warisan (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.
Bagaimanapun, tumpuan utama ialah kepada 10 kerusi dianggap paling panas yang menjadi penentu gabungan parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri Johor yang baharu selepas PRN pada 12 Mac nanti.
Antara 'kawasan paling panas' dan bakal mencuri tumpuan adalah dua kerusi yang menyaksikan pertembungan tujuh penjuru iaitu DUN Kempas dan Tiram antara calon BN, PN dan PH, beberapa parti lain.
Kerusi DUN Kempas bakal menyaksikan pertembungan paling epik apabila anak bekas Menteri Besar (Bersatu), Allahyarham Datuk Osman Sapian iaitu Nornekman memilih bertanding atas tiket Pejuang untuk mempertahankan kerusi dimenangi bapanya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Kerusi DUN Tiram pula bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Dr Karim Deraman (PN-Pas) dan enam calon lain termasuk S Gopalakrishnan (PKR); Azizul Bachok (BN); Datuk Abdul Aziz Harun (Pejuang); Azmi Ali (PBM) dan dua calon bebas, P Bala Sundaram dan J Jayasangkar .
Turut mencuri perhatian ialah kerusi DUN Bukit Kepong yang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (PN-Bersatu) dengan tiga calon lain iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed (BN), Nurafiqah M Zulkifli (Muda) dan Md Taib Md Suhut (Pejuang).
Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad pula bakal menghadapi saingan sengit empat penjuru di DUN Benut, turut ditandingi oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid (PN-Bersatu), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Johor Haniff @ Ghazali Hosman dan Iskandar Noor Ibrahim (Pejuang).
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, pula dijangka berhadapan saingan empat penjuru bagi mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram yang turut ditanding oleh Zarul Salleh (PN), Datuk Lokman Md Don (BN-UMNO) dan Mahaizal Ayub (Pejuang).
Ketua Penerangan PN dan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri, yang berpindah dari DUN Tenang ke Gambir, pula bakal berhadapan dengan pertemuan empat penjuru dengan wakil BN, Sahrihan Jani; Suraya Sulaiman (Pejuang) dan Naim Jusri (PKR).
Untuk rekod kerusi DUN Gambir, sebelum ini dimenangi oleh Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan majoriti 3,088 dan mengalahkan calon BN, Datuk M Asojan yang memperoleh 7,192 undi, manakala Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Pas) hilang wang deposit, dalam PRU14 lalu.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, merangkap bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang membuat 'come back' ke arena politik pula bakal berhadapan dengan pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Rengit bersama Mohammad Huzair Lajis (PN), Khairuddin A Rahim (PKR) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir (Pejuang).
Bekas Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang bertanding atas tiket PKR pula dijangka berhadapan dengan saingan empat penjuru bersama tiga calon lain iaitu bekas ADUN Layang-Layang, Abdul Mutalib Abd Rahim (BN); K Alagathiran (PN) dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang).
Mantan Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Sri Gading dan Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh, pula bakal bersaing sengit dengan bekas ADUN Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN), pengetua Sekolah Menengah Agama Arab Almasriyah, Azlisham Azahar (PN-Pas) dan R Sangaran (Muda) bagi merebut kerusi Machap.
Pengerusi PH dan Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, pula akan berhadapan dengan pertembungan empat penjuru bersama tiga calon lain iaitu Ahmad Nawfal Mahfodz (PN-Pas), Datuk Mohd Najib Samuri (BN) dan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir (Pejuang) bagi mempertahankan kerusi dimenanginya, sejak PRU13.
Turut dijangka menjadi tumpuan pada PRN Johor kali ini adalah kerusi-kerusi DUN yang dimenangi dengan majoriti kurang 500 undi pada PRU14 lalu iaitu, Pemanis (PH-PKR dengan 363 undi), Sungai Balang (BN-UMNO, 174 undi), Semerah (PH-PKR, 98 undi) dan Layang-Layang (BN-UMNO, 364 undi).
Keputusan PRN Johor amat penting dan bakal memberikan impak besar kepada landskap politik Malaysia termasuk bilakah tarikh PRU15 akan diadakan, selain masa depan kerajaan campuran diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jadi kepada lebih 2.57 juta pengundi dan bangsa Johor yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Mac ini, maka buatlah keputusan terbaik demi masa depan anda untuk tempoh lima tahun akan datang.
Klik di sini untuk terus membaca