SELEPAS penamaan calon selesai dijalankan, maka bermulalah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selama 14 hari sebelum tarikh mengundi yang telah ditetapkan pada 12 Mac depan.
Rata-rata beranggapan PRN Johor menjadi ‘sesi memanas badan’ untuk persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Lidah Pengarang Sin Chew Daily menulis, UMNO yang memiliki sokongan padu di Johor dijangka tidak menghadapi masalah untuk mencapai kemenangan sekali gus membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
"Cuma yang menjadi persoalannya, apakah Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh UMNO ini mampu mengulangi kejayaan di Melaka dengan memperoleh majoriti dua pertiga kerusi untuk menerajui kerajaan negeri Johor,” tulis akhbar itu.
Bagi Johor, PRN kali ini adalah satu sejarah kerana ia buat pertama kali tidak diadakan secara serentak dengan PRU.
Sin Chew Daily berpendapat, PRN Johor sepatutnya boleh dielakkan sekiranya tidak kerana akibat pergolakan yang berlaku dalam UMNO. Bagi UMNO, pihaknya yakin meraih kemenangan mudah dan menerajui kerajaan secara solo di Johor dan percaya sentimen sokongan daripada pengundi boleh diteruskan hingga ke PRU akan datang.
Jumlah pengundi yang layak membuang undi untuk PRN Johor ini ialah seramai 2,599,797 orang. Susulan pendaftaran Undi 18 dan pemilih secara automatik yang telah diwartakan pada 1 Disember tahun lalu, jumlah pengundi di Johor telah mencatatkan pertambahan kira-kira 28 peratus ataupun hampir 750,000 berbanding pilihan raya lalu.
"Berdasarkan jumlah pertambahan pengundi baharu ini, ramai yang percaya golongan ini bagaimanapun tidak mampu mengubah kedudukan yang sedia ada.
"Mengikut pemerhatian oleh beberapa pensyarah universiti tempatan, pengundi yang berusia antara 18 hingga 20 tahun dikatakan tidak mempunyai minat yang mendalam terhadap perkembangan politik di negara kita. Mereka sebaliknya banyak menghabiskan masa terhadap bidang yang mereka gemari,” kata akhbar itu.
Bagi pengundi baharu berusia 20 tahun ke atas, jelas Sin Chew Daily lagi, mereka tidak semestinya akan keluar secara ramai-ramai walaupun telah didaftarkan secara automatik.
"Sekiranya peratusan pengundi baharu yang keluar mengundi rendah, ia tentu tidak akan memihak kepada pembangkang. Bagi kebanyakan pengundi, mereka juga dikatakan tidak akan keluar mengundi kali ini disebabkan faktor penularan pandemik Covid-19 serta melakukan protes secara senyap kerana tidak puas hati terhadap perkembangan politik ketika ini.
"Mengenai pengundi yang berada di luar negara pula, mereka juga dikatakan kurang berminat untuk mengundi. Oleh itu, adalah dijangkakan peratusan mengundi di PRN di Johor kali ini tidaklah begitu menggalakkan,” jelas akhbar Cina itu.
Bagaimanapun, kemunculan golongan pengundi muda tetap menjadi tumpuan parti-parti yang bertanding terutama sekali Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda). Sejauh mana sokongan pengundi muda terhadap calon-calon Muda yang buat pertama kali bertanding dalam pilihan raya akan dapat ditentukan melalui keputusan PRN Johor.
"Jika dilihat perkembangan sehingga hari ini, BN boleh dikatakan hampir pasti mampu bentuk kerajaan yang baharu di Johor. Manakala bagi Perikatan Nasional (PN), keputusan dalam PRN Johor kelak menentukan sejauh mana gabungan ini dapat terus bekerjasama dan kukuh dalam arena politik tanah air.
"Bagi Pakatan Harapan (PH), biarpun telah menerima sokongan daripada Muda, tetapi kerjasama antara parti-parti dalam komponen itu tetap dilihat kurang stabil. Ini berlaku apabila PKR mengambil keputusan untuk bertanding menggunakan logo parti sendiri manakala DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo PH.
"Inilah sebahagian daripada tanda-tanda awal bahawa BN sebenarnya tidak sukar untuk mencapai kemenangan dalam PRN Johor,” ulas Sin Chew Daily.
*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca