PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang bermula dengan penamaan calon semalam bakal menyaksikan catatan demokrasi terbesar negeri selatan tanah air ini apabila hari pengundian tiba pada 12 Mac ini. Mempunyai 56 kawasan Dewan Undangan... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang bermula dengan penamaan calon semalam bakal menyaksikan catatan demokrasi terbesar negeri selatan tanah air ini apabila hari pengundian tiba pada 12 Mac ini.

Mempunyai 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bertanding di semua kerusi menjadikan terdapat sekurang-kurangnya 168 calon. Ini belum termasuk parti kecil seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Berdasarkan kenyataan-kenyataan media semua parti itu, tidak mustahil jumlah calon yang bertanding kali ini akan mencecah 220 orang. Dengan begitu banyak parti dan calon yang bertanding merebut 56 kerusi, perpecahan undi akan memberi BN peluang cerah untuk kembali menjadi kerajaan negeri. Selain itu, dua faktor yang menjadi kelebihan kepada BN ialah kestabilan politik dan perwatakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamed.

Sungguhpun terdapat serangan bahawa UMNO sendiri adalah punca ketidakstabilan politik yang menyebabkan PRN Johor dan Melaka, namun pada masa sama parti-parti lawan BN tidak memberi banyak pilihan kepada pengundi. Dalam PRN Johor kali ini, Pakatan Harapan (PH) yang merupakan lawan terkuat BN kini tampak sedikit berpecah belah kerana gagal mencapai kata sepakat dalam penggunaan logo yang sama. Walaupun mereka berjaya mencapai persetujuan dalam pembahagian kerusi, namun kegagalan menggunakan logo yang sama menimbulkan kecurigaan pengundi mengenai kemampuan mereka.

PH dilihat gagal pulih selepas perpecahan pada tahun 2020 yang menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan pakatan tersebut. Berhadapan dengan kecaman sebahagian rakyat mengenai kegagalan mereka mengurus negara sepanjang 22 bulan pentadbiran, PH tidak berbuat apa-apa untuk memulihkan kepercayaan tersebut.

PN mempunyai kemampuan untuk menawarkan kestabilan politik setara BN. Malangnya, ikatan politik ini masih baharu dan tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera. Majoriti pengundi Cina dilihat masih tidak memaafkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawa Bersatu meninggalkan PH.

Dalam kalangan pengundi Melayu, Bersatu belum berjaya mempunyai sokongan yang signifikan berbanding UMNO. Mereka hanya bergantung kepada pengaruh Muhyiddin dan Pas. Namun Pas juga bukan satu kuasa politik (political force) yang kuat di Johor.

Dalam keadaan sokongan orang Melayu kepada UMNO masih signifikan, kehadiran PN, PH dan Pejuang merebut kerusi yang sama akan memberi kelebihan kepada BN memenangi sebahagian besar kerusi majoriti Melayu.

Malah, BN berpeluang memenangi kerusi-kerusi yang mempunyai pola pengundi Melayu – Cina hampir seimbang, jika masyarakat Cina yang masih kecewa dengan DAP memilih untuk menjauhi pilihan raya ini.

Selain kestabilan politik, faktor perwatakan dan kredibiliti calon Menteri Besar Johor juga harus memberi keyakinan kepada pengundi untuk memilih BN kali ini.

Hasni adalah jawapan kepada serangan perwatakan ke atas pemimpin BN di peringkat pusat. Musuh-musuh BN berpecah namun mereka bersatu pendapat bahawa kemenangan parti itu akan memberi laluan kepada beberapa pemimpin UMNO yang mereka gelar sebagai kluster mahkamah untuk kembali berkuasa.

Namun PRN Johor bukan mengenai politik nasional. Ia bukan mengenai pemilihan Perdana Menteri dan parti memerintah di peringkat Persekutuan. Ia berkenaan negeri dan menteri besar.

Hasni telah menunjukkan kematangan politik dan sifat kepimpinan bersama rakyat. Beliau berjaya mengurus politik negeri tanpa banyak kekecohan dan kekacauan.

Daya kepimpinan ini adalah ramuan penting dalam menstabilkan politik negeri selain menjadikan Johor antara negeri yang menerajui pembangunan ekonomi negara.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca